MELAKA: Rakyat negeri ini mahukan sebuah kerajaan baharu yang prihatin seperti mana yang ditonjolkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Persekutuan.
Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, pelbagai limpahan ekonomi, sokongan dan dukungan kepada rakyat telah diberikan semasa PN mentadbir di peringkat Pusat.
Jelas beliau, rakyat Melaka sebenarnya mengimpikan sebuah kerajaan negeri yang prihatin terhadap permasalahan dan kebajikan rakyat.
“Kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin cukup dikenali sebagai kerajaan prihatin. Setiap hari saya turun berkempen bersama rakyat, mereka beritahu mahukan perubahan.
“Mereka mahu sebuah kerajaan negeri yang prihatin sama seperti kerajaan Muhyiddin,” katanya dalam sidang akhbar 13 Ikrar Rafiq di sini hari ini.
Sementara itu, berhubung penerimaan pengundi terhadap PN, Mohd. Rafiq memberitahu, penerimaan tersebut setakat ini sangat positif.
Justeru katanya, beliau berharap agar rakyat memberikan mandat penuh kepada PN pada 20 November ini bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil.
“Saya tidak meletak sasaran berapa kerusi akan dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini. Apa saya boleh katakan adalah kita bertanding untuk menang,” katanya.











