MELAKA: Berbaki tiga hari sebelum hari mengundi, seorang calon Bebas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mendakwa menjadi mangsa godam yang menyebabkan akaun media sosialnya tidak dapat diakses.
Calon Bebas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Datuk Norazlanshah Hazali berkata, beliau memiliki lebih daripada 40,000 pengikut di laman sosial Facebook dan tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu seolah-olah cuba menutup peluangnya menjadi wakil rakyat.
Bagaimanapun, katanya, tindakan itu tidak melemahkan semangatnya untuk terus berkempen, meskipun hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk berbuat demikian.
“Saya dapati akaun Facebook digodam dan saya tidak dapat mengakses masuk dalam akaun tersebut. Masalah ini sebenarnya dijangka lebih awal dan saya bernasib baik kerana mempunyai beberapa platform media sosial lain.
“Saya sedikit kecewa kerana masih ada yang bersikap begini pada zaman sekarang. Mengapa mesti mengganggu pihak lain sedangkan persaingan boleh dijalankan secara sihat? Adakah mereka tergugat dengan kehadiran calon Bebas?” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sejak kempen PRN Melaka bermula 8 November lalu, satu tinjauan dalam talian yang dijalankan pihak ketiga bagi DUN Serkam menunjukkan Norazlanshah mendahului persaingan di kerusi tersebut.
Mengulas lanjut, Norazlanshah yakin ada pihak yang tidak senang duduk selepas melihat calon Bebas semakin mendapat tempat di hati pengundi.
Menurutnya, sejak 13 calon Bebas mengadakan sidang akhbar bersama pada 8 November lalu, terdapat parti-parti politik yang mula melihat mereka sebagai ancaman.
“Kami sepakat dan serius menubuhkan kerajaan negeri. Kami hendak buka minda para pengundi untuk memilih calon dan bukannya parti.
“Kami hendak lakukan perubahan dan tidak mahu mengikut acuan daripada sistem yang lama. Disebabkan ini mereka mula menyerang calon Bebas dan saya menjadi mangsa pertama,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











