Manifesto Cikgu Ali janji perubahan baharu di Sungai Udang - Utusan Malaysia

Manifesto Cikgu Ali janji perubahan baharu di Sungai Udang

Mohamad Ali Mohamad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 15 Okt. – Calon Barisan Nasional (BN) Sungai Udang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad menjanjikan 14 isi kandungan dalam Manifesto untuk penduduk di sini jika BN berjaya mengekalkan kerusi tradisi yang dimenangi pada setiap pilihan raya umum diadakan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau yang mendapat jolokan Cikgu Ali berkata, sebanyak 14 perkara yang terkandung dalam manifesto itu telah mula diedarkan kepada penduduk bakal membawa perubahan baharu.

Menurutnya, antara perkara utama yang akan diberikan tumpuan ialah mengatasi masalah banjir kilat yang kerap berlaku, menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan belia, menaiktaraf sungai dan penstrukturan semula sistem saliran serta perparitan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selain itu katanya, tidak terkecuali ialah membina masjid baharu di Sungai Udang dan Bertam Hulu, membina sekolah agama, menyediakan tanah wakaf, membina Poliklinik Kesihatan dan membina balai raya bagi keperluan masyarakat setempat.

Turut terkandung dalam manifesto tersebut kata Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu itu ialah membina Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT), menaiktaraf Sekolah Menengah Agama (SMA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sebagai Kolej Islam dan membina mini stadium.

“Selepas 20 November ini, saya mahu bawa perubahan baharu di Sungai Udang. Kalau nak buat perubahan ini mesti ada kuasa politik, justeru rakyat di sini perlu memilih BN untuk kekal di sini.

“Janji BN tidak pernah dimungkiri, insyallah jika saya diberi mandat oleh rakyat di sini, saya akan laksanakan satu demi satu 14 perkara yang terkandung dalam manifesto saya,” ujarnya.

Mohamad Ali berkata, manifesto itu dibuat selepas seluruh masyarakat di sini melahirkan rasa kesal apabila bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Seri Idris Haron gagal melaksanakan sebarang bentuk pembangunan di DUN berkenaan.

Katanya, runggutan itu disuarakan penduduk yang ditemuinya sebelum hari penamaan calon pada 8 November lalu.

Menurutnya, sewaktu tempoh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tidak ada satu pun projek pembangunan wujud untuk dinikmati masyarakat di sini.

“Tamparan kena pada saya apabila saya datang menawarkan diri sebagai wakil rakyat baharu ke Sungai Udang, mereka luahkan rasa tidak puashati dan mahu sesuatu dilakukan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×