Bunga kertas pokok ‘kayangan’, kaedah kacukan bantu pohon tampil memukau - Utusan Malaysia

Bunga kertas pokok ‘kayangan’, kaedah kacukan bantu pohon tampil memukau

SEBAHAGIAN koleksi bunga kertas menyeri laman rumah Mashazini Sidek di Kampung Air Tawar, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUATU ketika dahulu, pokok bunga kertas dianggap tanaman hiasan murah kerana mudah ditanam. Kerat sahaja ranting dari pokok induk dan pacak ke tanah. Jika kena gaya, ia pasti tumbuh subur.

Anak pokoknya pula senang diperoleh secara percuma, sama ada diambil dari laman rumah saudara, jiran tetangga atau kenalan.

Namun pada zaman moden ini, segalanya berubah. Harga anak pokok lengkap dengan item penanda baka (ID) mutakhir ini dijual antara RM10 hingga RM100 bergantung kepada rupa, tekstur dan saiz.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dengan RM10, anda boleh dapat ranting tanpa akar berukuran 30 sentimeter manakala anak benih yang kukuh berakar dan berdaun dalam polibeg kecil. Ia dijual RM20 hingga RM50. Jika kanopi rimbun dan renek, nilainya tak kurang RM250 sepokok.

MASHAZINI Sidek bersama pokok penanti (induk) bunga kertas yang akan dibuat kacukan pucuk untuk memperolehi serlahan bunga yang pelbagai.

Dan jangan terkejut, pokok bunga kertas yang diberi nilai tambah menjadi bonsai, dikacuk dari pelbagai induk dengan ukuran maksimum 0.9 meter (m) atau topiari setinggi 1.5 m, nilainya mampu mencecah ribuan ringgit sepokok.

“Bukan payah untuk menjadi seorang usahawan bunga kertas. Hanya dengan hanya sedikit kemahiran pertanian, kita sudah boleh memanfaatkannya untuk menjana pendapatan sampingan.

“Lagipun, pokok bunga kertas sejenis tanaman yang lasak dan senang diurus,” demikian kata Mashazini Sidek, seorang pencinta ‘tegar’ bunga kertas dari Kampung Air Tawar, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan ketika ditemui baru-baru ini.

Mashazini, 38, seorang guru yang ‘gila’ menanam pokok bunga kertas sejak mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu. Hobi itu berbaloi kerana laman rumahnya kini berseri bak taman bunga.

Menurutnya, hingga kini dia berjaya menanam pokok bunga spesies Bougainvillea pelbagai warna, gara-gara bosan terlalu lama terperap di rumah akibat PKP.

“Di awal PKP, saya beli lima anak pokok bunga kertas dan tanamnya di laman rumah. Lama-kelamaan, jumlahnya bertambah, sekarang ada lebih 100 pokok pelbagai warna dan tekstur di laman rumah saya.

“Walaupun hobi ini boleh menjana pendapatan, saya hanya aktif berkebun pada waktu senggang atau sebelah malam supaya tugas hakiki sebagai pendidik menggunakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tidak terganggu,” katanya.

AKAR bunga kertas berubah menjadi batang. Ini adalah salah satu keunikan teknik bonsai sentuhan Mashazini Sidekyang ada dalam koleksinya.

Kejayaan Mashazini membiakkan pelbagai baka bunga kertas itu turut menyuntik semangat untuknya memasang impian membuka nurseri sendiri apabila bersara daripada tugas sebagai pendidik.
Bunga kertas dirujuk sebagai Bougainvillea Spp. dikatakan berasal dari Amerika Selatan dan namanya diambil sempena seorang Komander Laut Perancis, Louis Antoine de Bougainville yang barangkali orang pertama menemui spesies ini.

Bougainvillea kini dengan mudah berkembang biak ke seluruh dunia terutama di kawasan Tropika dan Khatulistiwa.

Ujar Mashazini, pokok ini tergolong dalam keluarga Nyctaginaceae mengandungi 250 spesies berbeza-beza dari segi serlahan warna bunga, susunan daun dan teksturnya.

“Ia berbunga sepanjang tahun dalam cuaca yang panas dengan bekalan air serta baja yang mencukupi dan baja yang disyorkan ialah NPK 12:12:17 yang mengandungi sumber lengkap bagi menggalakkan pengeluaran bunga.

“Sehingga kini terdapat ramai penggemar bunga kertas menanam pokok ini secara sambilan untuk dijual kepada pusat nurseri atau dilaksanakan dalam skala yang besar untuk industri niaga pokok penghias laman,” katanya.

Perkara paling utama, kata Mashazini, kemahiran mengacuk kerana hasilnya mampu menjadi nilai tambah kepada pokok tersebut. Jika kacukannya menarik dan unik, harga pokok itu pasti melambung di pasaran.

Tambah beliau, peralatan wajib ada bagi melancarkan aktiviti mengacuk pula antaranya ialah pisau dan gunting, plastik telus cahaya, pita PVC serta tali pengikat.

“Kemahiran seperti ini sebenarnya telah diajar dalam kurikulum pendidikan kita suatu masa dahulu untuk pelajar tingkatan satu hingga tiga iaitu Sains Pertanian yang mungkin sudah dimansuhkan.

Katanya, mula-mula, pilih pucuk sesuai untuk dicantum pada induk pokok bunga kertas. Potong pucuk pokok induk atau pokok penanti yang berdiameter sama dengan pucuk yang akan dicantum itu.

Pemotongan perlu dilakukan dengan berhati-hati.

“Buat belahan sepanjang kira-kira dua sentimeter. Buang semua daun besar pada pucuk yang hendak dicantumkan. Tinggalkan dua atau tiga pucuk paling kecil sahaja,” katanya.

Seterusnya bahagian hujung pangkal pucuk yang akan cantumkan perlu dibuat keratan baji untuk dimasukkan di celahnya ranting pucuk yang dibelah tadi.

“Ikatkan cantuman pucuk ini dengan pita PVC putih yang biasanya digunakan tukang paip untuk mengetatkan batang paip. Akhir sekali ambil satu plastik, sungkupkan pucuk yang telah dicantum dan ikat bahagian bawah untuk mengelak kehilangan air.

“Menjaga kelembapan pada bahagian cantuman pokok penting jika tidak akan menyebabkannya kering dan mati,” ujarnya.

Sekiranya cantuman itu berjaya, titisan air yang dibebaskan oleh pucuk yang baru dicantum akan kelihatan pada bahagian dalam sungkupan plastik dan tumbesaran pucuk seterusnya perlu dipantau.
Selepas seminggu, buang sungkupan plastik termasuk ikatan pita PVC pada cantuman.

“Lazimnya dalam 10 cantuman dilakukan, tak kurang tiga daripadanya gagal namun jangan berputus asa untuk terus mencuba,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini