KUANTAN: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini dipercayai tidak akan menjadi medan uji kaji rakyat bagi memilih kerajaan yang benar-benar layak mentadbir negeri Hang Tuah itu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, menjelang lima hari lagi sebelum hari pengundian, beliau percaya rakyat di negeri itu tentunya sudah bijak menilai antara kaca dan juga permata.
“Tiga gagasan politik utama iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang hadir dalam PRN kali ini pasti tampil dengan impian dan harapan untuk mentadbir serta membangunkan negeri Hang Tuah.
“Masing-masing parti politik bertanding mempunyai rekod lampau untuk dinilai oleh rakyat Melaka. Saya pasti pengundi di negeri itu tidak akan salah memilih kerana mereka sudah bijak menilai antara kaca dan juga permata,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada PRN Melaka 20 November ini, BN bertanding di semua kerusi DUN dengan UMNO akan bertarung di 20 kerusi, MCA (tujuh kerusi) dan MIC (satu).
PN pula menyenaraikan 15 calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas (lapan) dan Gerakan (lima) manakala PH menampilkan 11 calon dari PKR, DAP (lapan) dan Amanah (sembilan).
PRN Melaka menyaksikan pertandingan tiga hingga enam penjuru di semua 28 kerusi DUN.
Pertembungan enam penjuru di tiga kerusi DUN manakala lima penjuru pula di lima kerusi DUN.
Pertandingan tiga penjuru pula membabitkan 11 kerusi DUN manakala empat penjuru di sembilan kerusi DUN.
Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, ia bermakna persaingan merebut 28 kerusi DUN pada PRN Melaka kali ini cukup sengit antara parti-parti politik bertanding khususnya tiga gagasan parti politik dominan iaitu BN, PN dan PH.











