4,186 lagi doktor kontrak diserap ke jawatan tetap - Utusan Malaysia

4,186 lagi doktor kontrak diserap ke jawatan tetap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 4,186 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi berstatus kontrak bo­leh diperakukan kepada Ja­ba­tan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk pelantikan se­cara tetap.

Memaklumkan kepada Utusan Malaysia, Kementerian Kesihatan berkata, jumlah itu setelah dinilai pihaknya dan merupakan sebahagian daripada 10,583 pegawai yang telah tamat tempoh khidmat wajib.

Menurut kementerian ter­babit, ia meliputi seramai 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian dan 300 pegawai farmasi.

“Seperti dimaklumkan sebelum ini, sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi me­rangka penyelesaian jangka panjang berhubung isu doktor kontrak.

“Jawatankuasa ini sedang meneliti keperluan bagi pindaan kepada beberapa akta yang berkaitan, termasuklah Akta Perubatan 1971 dan Akta Pergigian 1971,” kata kementerian tersebut semalam.

Jelas kementerian itu lagi, sebagai penyelesaian segera kepada isu doktor kontrak, kerajaan menerusi pembentangan Bajet 2022 bersetuju untuk menyambung pelantikan secara kontrak pegawai per­ubatan, pergigian dan farmasi.

Sebagai tambahan, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM100 juta sebagai penajaan pengajian kepakaran bagi 3,000 pegawai perubatan dan pergigian kontrak.

Kementerian itu membe­ritahu, pihaknya bersama JPA masih meneruskan perbincangan bagi melihat kesesuaian penawaran pelantikan tetap dengan lebih lestari kepada pegawai perubatan, pergigian dan farmasi.

Selain itu, pihaknya juga akan mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan dari semasa ke semasa agar isu doktor kontrak dapat ditangani secara berhemah.

Mengulas isu ketiadaan unjuran bagi keperluan doktor di negara ini sebagaimana dibangkitkan jurucakap Gerakan Doktor Hartal dan dilaporkan Utusan Malaysia, kementerian berkenaan berkata, pihaknya mempunyai unjuran keperluan doktor di dalam negara yang disediakan mengikut Rancangan Malaysia lima tahun.

Sebagai contoh, jelas kementerian tersebut, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan menetapkan sasaran nisbah doktor kepada penduduk iaitu 1:400 pada tahun 2025 berbanding 1:450 dalam RMK-11.

“Bagi tahun 2030, nisbah doktor kepada penduduk yang diunjurkan ialah 1:360. Berdasarkan statistik tahun 2020, jumlah doktor di Malaysia adalah seramai 73,996 orang.

“Jumlah ini merangkumi 54,338 doktor yang berkhidmat di sektor awam (Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pertahanan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat); 14,990 doktor di sektor swasta dan seramai 4,668 yang baru sahaja mendapat pendaftaran penuh daripada Majlis Perubatan Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Gerakan Hartal Doktor Kontrak mempersoalkan langkah kerajaan yang baru mahu membuat unjuran jumlah doktor kontrak yang perlu diserap ke perkhidmatan tetap sedangkan isu berkenaan sudah berlarutan lima tahun lalu.Jurucakap gerakan itu, Dr. Mustapha Kamal A. Aziz berkata, ketiadaan un­juran dalam tempoh lima tahun sebelum ini mencetuskan persoalan sama ada kerajaan be­nar-benar serius dalam mena­ngani masalah itu atau sebaliknya.

Gerakan itu juga merancang untuk memulakan siri mogok kedua di seluruh negara sebagai bantahan berikutan pembentangan Bajet 2022 baru-baru ini yang tidak menyebut mengenai lantikan tetap kumpulan itu ke dalam kerajaan seperti diharapkan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×