Suami adalah faktor penting menentukan keluarga yang bahagia. Ini dapat dicapai jika suami boleh mendidik isteri tentang tanggungjawab sekali gus menjadi orang kedua terpenting dalam melahirkan keluarga yang harmoni.
Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Yusni Mohamad Yusop berkata, sehubungan itu, golongan suami mesti mempunyai cukup ilmu rumah tangga dan hal yang berkaitan dengannya.
Katanya, meneliti data perceraian saban tahun, terdapat kes penceraian yang berlaku kerana kelemahan suami memainkan peranan yang baik sebagai ketua keluarga.
Suami tidak mempunyai ilmu mencukupi berkaitan rumah tangga lantas gagal mendidik isteri dengan baik, kurang bertanggungjawab, tidak pandai bertegas, wujudnya orang ketiga dan lain-lain lagi.
“Namun begitu, bukan semua perceraian disebabkan oleh suami. Ada juga penceraian yang berpunca daripada sikap isteri sendiri. Tidak pandai menghormati suami, kurang bertanggungjawab terhadap suami dan anak-anak, kecurangan dan lain-lain.
“Oleh itu, jika berlaku perceraian, bukan satu pihak sahaja yang harus dipersalahkan. Memandangkan perkahwinan itu menyatukan dua jiwa, maka suami isteri harus sama-sama bertanggungjawab memperbaiki kelemahan untuk mengendalikan bahtera yang mereka bina serta melahirkan kualiti hidup berkeluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas kes cerai yang remeh gara-gara isteri terlalu meminati pelakon Aaron Aziz selain ingkar arahan suami dan terlalu asyik melayari internet menjadi punca perpisahan berlaku.
Dr. Yusni menambah, perceraian tidak berlaku tanpa sebab-sebab yang tertentu.
Katanya, berdasarkan data dan pemerhatian pada kes-kes perceraian, lazimnya perpisahan suami isteri sebagai klimaks kepada suatu isu yang timbul menjadi punca pasangan tidak selesa atau tidak menyenangi antara satu sama lain sebelum detik berlakunya perceraian (jatuhkan talak).
“Sikap panas baran dan mudah bermain dengan kata-kata ‘talak’ atau cerai bukanlah sikap seorang suami yang bijak.
“Namun, dalam Islam perceraian diizinkan sebagai jalan terakhir selepas tiada lagi ruang dan ikhtiar yang dapat dilakukan.
“Mungkin juga ada sebab lain, yang mana punca yang tertera hanyalah trigger kepada sebab-sebab lain yang mungkin telah terpendam lama.
“Sebab-sebab yang dinyatakan hanyalah topeng kepada punca sebenar berlakunya perceraian,” katanya.
Tambah Yusni, ada kemungkinan wujudnya isu lain yang hanya akan disedari setelah merujuk sendiri kepada pasangan dalam sesi kaunseling.
“Dari segi penelitian dan perbincangan yang dibuat sewaktu sesi kaunseling, baharulah dapat difahami tindakan perceraian itu matang atau sebaliknya.
“Selagi perceraian dapat dielak, maka usaha untuk mengekalkan hubungan suami isteri adalah jalan yang terbaik,” katanya.
Komunikasi yang telus
Kata Dr. Yusni, suami isteri boleh mengelakkan perselisihan faham dengan mengamalkan komunikasi yang telus secara dua hala, penuh adab dan akhlak serta berlaku secara berkesan.
Katanya, komunikasi berkesan antara suami isteri boleh meningkatkan kefahaman mendalami diri sesama pasangan serta meningkatkan rasa dan sikap tanggungjawab. Kedua-duanya harus bersedia menerima teguran dan memberi teguran dengan cara yang paling beradab.
“Segeralah berbincang jika berlaku pertikaian tanpa menunggu isu menjadi lebih serius. Elakkan campur tangan orang ketiga. Saling amanah, jujur dan setia dalam hubungan.
“Pasangan perlu ‘curi’ masa untuk berdua-duaan tanpa kehadiran anak dan orang lain bagi meningkatkan kualiti hubungan selain sedia berbincang secara terbuka khususnya hubungan seks antara suami isteri. Tidak lupa amalkan doa dan amalan harian Rasulullah bersama-sama untuk meningkatkan kualiti hubungan dengan Allah,” katanya.
Inisiatif jabatan agama
Ujarnya, pihak berwajib seperti jabatan agama setiap negeri juga boleh membantu meningkatkan kualiti keluarga di Malaysia sekali gus dapat mengurangkan kadar perceraian.
“Perlu memantapkan kursus perkahwinan yang sedia ada dan memberi pendedahan ilmu yang lebih luas khususnya tentang aspek kaunseling keluarga dan psikologi perkahwinan.
“Merancang dan melaksanakan (secara wajib) kursus perkahwinan lanjutan mengikut tempoh perkahwinan dengan merujuk kepada fasa dan usia perkahwinan,” katanya.

Kegagalan institusi kekeluargaan
Situasi pandemik Covid-19 boleh menyebabkan masyarakat menghadapi tekanan tinggi terutama bagi suami isteri yang hilang pekerjaan menyumbang kepada peningkatan kes penceraian.
Ketua Pejuanita Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datin Paduka Che Asmah Ibrahim berkata, isu perceraian tidak boleh dipandang ringan kerana pengukuhan institusi kekeluargaan merupakan satu faktor penting dalam menentukan kestabilan dan kesejahteraan masyarakat.
“Setiap masyarakat itu dibina daripada unit-unit keluarga dan kita tahu bahawa masalah sosial negara juga sebahagian besar disumbangkan oleh situasi daripada keluarga-keluarga yang tidak efektif. Suami isteri yang tidak dapat jalankan tanggungjawab mereka dengan sempurna menyebabkan berlakunya perceraian dan anak-anak terbiar.
“Jadi, saya berpendapat, perkara ini perlu diangkat untuk menjadi agenda negara supaya dapat mengukuhkan lagi institusi kekeluargaan. Kita semua tahu bahawa dalam keluarga antara suami isteri perlu banyak bertolak ansur, bertoleransi, saling memahami, sedar tanggungjawab masing-masing dan melaksanakannya sebaik mungkin itu adalah secara asasnya rahsia perkahwinan itu dapat kekal sepanjang hayat,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen baru-baru ini dipetik berkata, statistik kes cerai menunjukkan peningkatan iaitu lebih 78,000 kes penceraian direkodkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac 2020 hingga Ogos 2021.
Lebih menyedihkan, daripada jumlah itu kira-kira 10,000 kes melibatkan pasangan bukan Islam manakala 66,440 kes adalah pasangan beragama Islam.
Justeru Che Asmah berkata, institusi-institusi keluarga ini perlu berfungsi dengan baik agar dapat melindungi dan memberi jaminan keselamatan kepada wanita.
“Wanita dalam institusi keluarga itu sama ada dia seorang isteri atau anak atau saudara perempuan yang tidak berkahwin sekalipun perlu mempunyai keluarga asas yang patut melindungi dan memberi jaminan keselamatan kepadanya.
“Apabila berkahwin, ia adalah satu keputusan yang besar dalam hidup wanita dan pasti mahu perkahwinan itu kekal sepanjang hayat. Oleh itu, amat penting kita melihat kembali agenda-agenda untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan ini,” katanya.
Nafas baharu kursus perkahwinan
Beliau turut menyentuh soal kursus perkahwinan yang perlu diberi nafas baharu.
“Pendekatan-pendekatannya juga sudah tidak menarik dan seringkali ia menjadi bahan ketawa apabila bercerita. Jadi, tidak ada keberkesanan. Sudah tiba masanya kursus perkahwinan ini perlu dilihat semula dan diberi nafas baharu untuk memastikan keutuhan keluarga itu berlaku.
“Kursus perkahwinan ini juga pernah dicadangkan untuk diberi juga kepada pasangan bukan Islam supaya mereka lebih bersedia untuk mengharungi dan menghadapi perkahwinan.
“Kita mahu daripada perkahwinan itu dapat melahirkan keluarga yang sejahtera dan anak-anak yang baik, soleh dan solehah,” katanya.
Bantuan psikososial
Menurut Che Asmah, jika alasan ingin bercerai adalah hal yang remeh-temeh eloklah mereka rujuk kembali dan melihat semula perkara-perkara yang menjadi penyebab perceraian selain perlu mendapatkan bantuan atau sokongan kaunseling dengan segera.
“Tetapi jika perceraian akibat pasangan didera atau keganasan rumah tangga, ini perlu diberi perhatian dan jangan dilengah-lengahkan. Ini melibatkan nyawa dan keselamatan individu-individu dalam keluarga itu termasuk anak-anak.
“Banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberi bantuan kaunseling dan kami di Pejuang juga ada memberi sokongan psikososial melalui kaunseling ini kepada pasangan-pasangan atau individu khususnya wanita yang menghadapi tekanan emosi,” jelasnya.










