MUKADIMAH
Isu vaksinasi bagi mengawal pandemik Covid-19, ternyata mengundang pelbagai persoalan dan teka-teki. Ini bukan saja berkisar soal kes-kes kematian yang dilaporkan selepas disuntik, malah ada juga kes membabitkan ancaman terhadap keselamatan dan kedaulatan negara.
Ini kerana, terdapat kes membabitkan beberapa negara luar apabila syarikat farmaseutikal Pfizer mendesak mereka menggadaikan aset-aset negara, seperti pangkalan tentera serta rizab bank persekutuan dalam perjanjian perbekalan vaksin.
Kes-kes sebegini ternyata mengundang seribu satu persoalan dalam kalangan rakyat. Mereka bukan sahaja khuatir terhadap keselamatan diri, malah juga kedaulatan tanah pertiwi.
Soalnya, bagaimana dengan Malaysia? Apakah benar berlaku kematian selepas disuntik vaksin? Bagaimana pula halnya dengan perjanjian bersama syarikat Pfizer, adakah Malaysia turut ‘dibuli’?
Berusaha mendapatkan penjelasan, wartawan Mingguan Malaysia, FAHMI FAIZ dan OMAR ZIN menemu bual Timbalan Menteri Kesihatan, DATUK DR. NOOR AZMI GHAZALI di pejabat beliau di Putrajaya, kelmarin. Turut membantu, jurugambar FARIZ RUSADIO.
MINGGUAN MALAYSIA: Komen berhubung kematian akibat Covid-19, meskipun rata-rata sudah ambil dua dos vaksin?
NOOR AZMI: Vaksin ini bukan bermakna tidak kena jangkitan Covid-19. Tujuan memberi vaksin ialah untuk mengurangkan jangkitan, dan kalau dijangkiti, kesannya tidak serius. Tapi ada juga kematian. Setakat ini, sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dimulakan, kita ada 11 peratus daripada semua kematian akibat Covid-19, dilaporkan telah menerima dua dos lengkap.
Dari situ, majoriti mempunyai risiko tinggi yang disebut comorbid. Maknanya, mereka ada penyakit dan mempunyai komplikasi teruk. Datanya, 95 peratus kematian Covid-19 akibat comorbid dan 65 peratus kematian pula dalam kalangan warga emas.
Komen Datuk terhadap laporan individu mendapat kesan sampingan selepas divaksin?
Ini dipanggil laporan kesan sampingan, atau AEFI yang bermaksud kesan sampingan susulan imunisasi. Setakat ini, yang mengambil vaksin telah membuat laporan, iaitu kesan sampingan terbahagi dua. Sama ada yang ringan atau serius.
Ringan ini termasuk demam, tempat disuntik rasa sakit, ada sikit bengkak, dan kesan-kesan ini lazimnya hilang dalam tempoh sehari dua. Kebanyakan macam itu, malah lazimnya juga, ada yang langsung tiada sebarang kesan selepas divaksin.
Selaku Pengerusi PICK-Remaja, boleh kongsikan jumlah laporan remaja yang ada kesan sampingan yang teruk selepas divaksin, seperti pengsan dan meninggal dunia?
Untuk kumpulan remaja iaitu antara 12 hingga 17 tahun yang melaporkan kesan sampingan ini, untuk laporan terkini sehingga hari ini (12 November) ialah seramai 951 orang. Maknanya perkadaran sangat sedikit. Bermaksud, daripada semua remaja yang ambil vaksin, cuma 0.18 peratus melaporkan ada kesan sampingan.
Yang mengalami kesan ringan, ialah seramai 902, manakala yang serius pula seramai 49 orang. Jadi kadar laporan yang serius ialah 0.009 peratus per seribu dos. Yang disebut serius ini, 13 kes ada miokarditis iaitu keradangan otot jantung. Sembilan kes ada anafilaksis, iaitu alahan yang terjadi apabila seseorang terdedah kepada sesuatu bahan yang mereka alah kepadanya, selebihnya ada keradangan lapisan jantung yang disebut perikarditis. Jadi, semua mereka sudah mendapatkan rawatan dan sembuh.
MATI SELEPAS DIVAKSIN
Benarkah memang ada remaja yang mati selepas disuntik vaksin?
Setakat ini, ada tujuh kematian selepas vaksin, ini kematian selepas divaksin, bukan kematian akibat vaksin ya. Di Kelantan, dua kematian, Johor dua, Perak dua dan satu kematian di Kedah. Sementara itu, satu kes kematian tanpa siasatan sebab waris tak bagi buat post-mortem.
Bagaimana pula kematian lain-lain? Ada buat post-mortem?
Yang lain kita buat post-mortem, dan laporan post-mortem masih dalam siasatan. Jadi harus jelas bahawa ini bukan kematian disebabkan vaksin, tapi kematian selepas divaksin. Jadi, puncanya masih dalam siasatan, kena tunggu hasil post-mortem dan saya tak boleh dedahkan perkara itu sebab masih sedang dalam siasatan.
TEMPOH KEBERKESANAN VAKSIN
Berapa lama tempoh keberkesanan satu-satu vaksin?
Bila kita beri vaksin, kesan kepada seseorang itu berbeza-beza. Pertama, ada orang mencapai antibodi secara cepat, dan ada pula yang lambat. Malah, ada orang mungkin tiada kesan. Kajian menunjukkan tahap antibodi itu akan turun perlahan-lahan dalam tempoh enam bulan. Jadi sebab itu kita perlu beri satu lagi dos dipanggil dos penggalak. Ini untuk menyegarkan semula, mengingatkan semula sel memori kita agar aktif kembali.
Tempoh enam bulan ini untuk semua jenis vaksin?
Tidak, ia berbeza dari vaksin ke vaksin. Contohnya, Pfizer yang guna platform mRNA, ia enam bulan. Kalau Sinovac yang guna teknologi virus ternyahaktif pula, tiga bulan keberkesanannya. CanSino juga iaitu vaksin dari China, juga tiga bulan.
DOS PENGGALAK TAK WAJIB
Adakah kerajaan wajibkan rakyat ambil dos penggalak?
Ia tak wajib. Dos penggalak ini diberi percuma, dan penerimaan secara sukarela. Jadi kerajaan telah mendapat kelulusan bersyarat untuk beri dos penggalak ini, kepada syarikat Pfizer. Sebab itu kita beri setelah enam bulan, jadi orang yang suntik pada bulan dua, dah boleh ambil dos penggalak sekarang misalnya. Jadi kita mula pada 13 Oktober, dan sekali lagi Sarawak mendahului kerana mereka mula suntikan dos penggalak pada 18 Oktober.
Sambutan terhadap dos penggalak?
Setakat ini sambutan tak berapa bagus, saya ingat baru tiga juta lebih, maknanya sikit saja. Yang terakhir saya dengar, cuma kira-kira 3.7 juta saja.
Kenapa kurang sambutan?
Pertama, orang ramai sudah ada feel good factor. Ini bermaksud, masyarakat sudah rasa lega, rasa bebas. Kita buka saja fasa empat, kita lepaskan perjalanan rentas negeri dan bebas bergerak, boleh pergi makan angin, maka lupa semua SOP. Jadi, bila semua dah leka, apabila datang galakan untuk ambil dos penggalak, mereka dah kurang peduli.
Mereka rasa dah lengkap dua dos, sedangkan tak faham bahawa imuniti ini lama-kelamaan akan berkurangan. Ada juga yang tak ambil kisah. Oleh itu, mereka tak datang ambil suntikan penggalak. Kemudian pihak antivaksin juga ambil bahagian, menyatakan tak perlu dah ambil penggalak, sebab dah terima dua dos. Sedangkan dua tiga hari kebelakangan ini, kes Covid-19 naik semula. Jadi kerajaan akan teruskan kempen menggalakkan orang ramai dapatkan dos penggalak ini.
Kalau tak ambil dos penggalak, terkesankah sijil vaksin bagi masyarakat yang dah terima dua dos?
Jika tak ambil dos penggalak, ia tak akan mempengaruhi sijil vaksin. Sebab dos penggalak ini bukan wajib, dan bagi yang sudah mendapat dua dos vaksin, ini sudah kira bagus, sebab itu kita benarkan perjalanan mereka rentas negeri, kita benarkan makan di kedai dan sebagainya. Namun, harus ingat dos penggalak ini akan memantapkan antibodi. Sebab kajian menunjukkan, imuniti semakin berkurangan dari semasa ke semasa.
Apa komen terhadap penggunaan Ivermectin?
Jangan beli Ivermectin tak tentu arah, itu untuk lembu. Sewaktu dalam Dewan Negara baru-baru ini, saya ada sebut, ini ubat saya bagi kepada kucing, kepada anjing, kepada kuda, kepada lembu dan kepada babi. Sekarang saya harus bagi kepada tuan? Orang marah, pasal ada perkataan babi itu.
Tapi, Ivermectin ini untuk binatang. Untuk manusia di Malaysia, kita belum luluskan, itu nombor satu. Sebab kajian tak cukup kuat menyatakan ia berkesan. Sebab ia untuk binatang, maka dos untuk kita dan dos untuk kuda tentu lain. Kuda besar, lembu besar, dan kalau kita bagi, penyerapan, kesan sampingan dan sebagainya itu kita risau.
PFIZER UGUT NEGARA LAIN?
Apa reaksi berhubung laporan media antarabangsa, Pfizer ‘membuli’ Brazil serta Argentina dengan memaksa mereka cagarkan aset negara seperti pangkalan tentera serta rizab bank persekutuan dalam perjanjian vaksin?
Ini sebenarnya cerita politik dunia, atau lebih tepat lagi geopolitik. Pertama sekali, saya tak pandai dalam bidang geopolitik ini. Tapi apapun, sepatutnya perkara sebegini tak boleh berlaku. Kenapa pula kita buat vaksin Pfizer, tapi lepas itu mahu ugut negara lain pula? Kenapa mesti ugut orang?
Maksudnya, ugutan dan buli sebegini tak patut berlaku?
Sepatutnya tak berlaku begitu, kenapa kena ugut orang? Contoh, kalau kita hendak beli 1,000 dos, kita kena bayar siap-siap, itu pun kalau tak jadi beli, duit lesap tak silap saya, kalau macam itu saya rasa macam kena buli pula. Kita kalau beli barang, kita bayar dulu ke kita ambil barang dulu? Kita nak beli gula sekilo, kita ambil gula dulu, lepas itu kita bayar, kita ambil barang dulu baru kita bayar, kita bukan berhutang.
Kalau ada yang negara-negara yang bayar dulu, lepas itu tak ada jaminan boleh dapat duit balik umpamanya kalau tak jadi beli, itu saya rasa macam peringkat buli juga.
Kalau dia letak cagaran dan pangkalan tentera, itu saya rasa dah panggil perangai yang terlampau, melampau, sebab dia ambil kesempatan. Itu monopoli, sebab mereka lah kita ambil Pfizer, kalau Pfizer dibuat di 10 negara, mati mereka. Jadi, boleh dikatakan benda ini wujud sebab monopoli, kalau tak ada monopoli benda ini tak wujud.
Macam mana pula di Malaysia? Adakah wujud unsur buli oleh Pfizer?
Malaysia tak kena, kita tak dibuli. Cuma suka saya nyatakan, sebab kes-kes begitulah maka digalakkan negara-negara lain bangunkan vaksin sendiri. Macam di Malaysia contohnya, kita memang dalam proses bangunkan vaksin sendiri. Ini jelas melalui Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) yang dilancar awal November lalu.
Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga komited melalui langkah mengumumkan proses naik taraf Institut Genom Malaysia (MGI) kepada Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI). Naik taraf ini bersesuaian dengan skop MGI untuk beri tumpuan kepada penyelidikan genom dan biologi molekular dalam usaha penghasilan vaksin.
POLITIK
Apa reaksi terhadap perpecahan parti mewakili Melayu-Islam sekarang, khususnya Bersatu-UMNO?
Perpecahan ini tak bagus. Kalau berpecah, susah nak menang. Siapa yang bergabung senang menang, kalau blok Pakatan Harapan (PH) bergabung dia kuatlah, siapa yang berpecah dia tak kuatlah, tak kisahlah siapa pun. Saya sedih dengan keadaan macam ini dan tak seronok, saya rasa pemimpin-pemimpin politik dalam blok kerajaan sepatutnya bersatu padu.
Betulkah Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mahu langgar ‘kubu’ Datuk di Parlimen Bagan Serai?
Saya tak ada masalah, kita serah kepada pucuk pimpinan, kita walaq dengan pucuk pimpinan. Saya sudah buat kerja sembilan tahun. Saya turun, pegawai-pegawai pejabat saya dengan pasukan sahabat Parlimen, turun melayan semua masalah rakyat, jaga semua bangsa di Bagan Serai.
Kalau ada bencana berlaku, ada masalah berlaku, kecemasan, pasukan saya turun secepat mungkin memberikan bantuan permulaan.
Kita teruskan sahaja, bila masuk pilihan raya umum, tak ada benda baru kami nak buat sebab kami sentiasa buat. Saya sendiri berpuas hati dan berterima kasih kepada rakyat yang terus memilih saya dan saya menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk karier saya seterusnya. Akhir sekali keputusan rakyat untuk memilih siapa, sama ada dia atau saya dan keputusan Allah.
BELUM ADA DOKTOR KONTRAK DIBUANG
Komen terhadap isu babitkan kumpulan doktor kontrak?
Pertama, kita tak pernah buang seorang lagi pun orang, tak pernah ada seorang doktor kontrak lagi dibuang kerana habis kontrak. Kedua, untuk menangani masalah ini Kementerian Kesihatan telah berusaha di bawah menteri dahulu dan juga menteri sekarang, untuk menyelesaikan masalah ini. Kita dah tubuh jawatankuasa khas dan kita ada buat penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang. Jadi, kerajaan buat sesuatu, bukan kerajaan tidur tak buat apa-apa, kerajaan dah buat.
Boleh ulas lanjut?
Bila mereka masuk pakar, kerajaan tambah lagi empat tahun kontrak untuk jadi pakar, berapa tahun dah? 10 tahun. Yang itu tak disebut, oleh itu dari mula dia kerja, kerajaan telah beri 10 tahun kontrak, kalau umur dia 30, dah 40 tahun, keluar sebagai pakar, selepas itu apa jadi? Kerajaan akan mempertimbangkan.
Doktor kontrak yang hendak buat pakar ini doktor yang ditanggung kerajaan dengan dana RM100 juta, doktor yang tak buat pakar pun 10,000 akan disambung, betul? Yang kita nak ambil setakat ini 4,000 lebih, sebab ikut penilaian lulus untuk jadi tetap, sebab kita tak boleh beri semua orang.
Yang 10,000 lagi ini kita akan sambung kontrak untuk persediaan, kita taja dia, dulu mereka gaduh kata tak dapat hadiah latihan persekutuan (HLP), sekarang ini kita bagi program yang setara dengan HLP dan kerajaan tanggung mereka untuk jadi pakar. Tapi lepas 10 tahun, kalau dulu dia 30 tahun sekarang umur 40, dia jadi pakar bedah jantung, saya beri contoh, kalau kerajaan bagi kurang daripada ditawarkan di luar, agak-agak dia mahu tunggu kerajaan? Dia tak tunggu.
Apa langkah kerajaan pastikan tiada kerugian tenaga pakar yang cabut lari ke sektor swasta?
Ada langkah-langkah untuk memastikan doktor pakar terus kekal seperti menambah baik insentif pakar dalam lingkungan RM1,400 hingga RM2,400 kepada lingkungan RM1,900 hingga RM3,100. Peningkatannya adalah sebanyak RM500 hingga RM700, maknanya pakar jangan keluarlah.
Kita juga memberi bayaran elaun kerja luar waktu bekerja biasa, on-call bagi pegawai perubatan pakar iaitu RM230 untuk satu hari dan RM250 pada hari cuti mingguan atau cuti am. Itu satu hari, kalau dua hari RM500.
Kita turut beri bayaran insentif pakar perubatan dan pergigian yang bekerja di Sabah dan Sarawak, contohnya kadar bayaran lingkungan RM500 hingga RM2,000 bagi kawasan bandar seperti Kota Kinabalu, kalau pergi ke kampung, Tawau ke, lingkungan RM1,000 hingga RM2,500, itu banyak.
Ada lagi faedah lain ditawarkan?
Pegawai perubatan pakar yang melakukan kes-kes pembedahan pada cuti umum, contohnya hari Sabtu dia buat bedah untuk mengurangkan masa menunggu, mereka diberi bayaran insentif khas pembedahan elektif dengan RM200 sejam. Kalau empat jam sudah RM1,000 sehari.
Kita turut melaksanakan full-paying patient di hospital kerajaan. Contoh, doktor yang ambil kes itu duit dapat dekat dia sebagai sumber pendapatan tambahan kepada doktor-doktor pakar.
Malah, kenaikan pangkat doktor pakar lebih cepat berdasarkan tempoh perkhidmatan di kementerian, contohnya, bagi pegawai perubatan yang telah diwartakan sebagai pakar dan telah berkhidmat selama sembilan tahun, mereka dipertimbangkan kenaikan pangkat terus ke gred UD54, ini yang kurang orang bercakap, jadi bagus tak tunggu? Bagus, sebab di hospital luar ada risiko.
Di samping itu, kita beri peluang kepada pegawai perubatan pakar melanjutkan pelajaran dalam bidang sub-kepakaran, maknanya kalau dia buat pembedahan transplan, dia balik jadi pakar transplan, kerajaan yang tanggung, bukan duit sendiri. – Mingguan Malaysia









