MELAKA: DAP menyifatkan tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerang UMNO yang juga sekutu sendiri di peringkat Persekutuan dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai ekstremis.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, situasi sedemikian jelas memaparkan bahawa Barisan Nasional (BN) dan PN tidak lagi mampu mentadbir negara, kerana saling bercakaran semata-mata ingin menang di negeri ini.
Katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan, pengundi Melaka perlu menolak sentimen perkauman dan memilih parti bukan ekstremis untuk membentuk kerajaan negeri yang stabil selepas tanggal 20 November.
“Maju bersama Harapan, Pilihlah Pakatan Harapan (PH). Kalau tengok hari ini, Muhyiddin menyerang pemimpin UMNO dan berlaku serangan balas, bagaimana mereka mahu memimpin di Putrajaya?
“Itu tanda kerajaan gagal, gagal uruskan isu Covid-19, gagal uruskan rakyat. Dan ini masanya kita tolak kroni, kita sokong rakyat yang hanya mahukan kerajaan yang stabil dan bukannya yang melawan serta menindas sesama sendiri,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu pejabat DAP Melaka, Tengkera di sini hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin melahirkan rasa kesal dengan kenyataan veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang mencabar parti itu menarik sokongan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad.
Menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak wajar, bekas Perdana Menteri itu berkata, Shahrir tidak berfikir panjang kerana tindakan yang dicadangkan boleh menggugat keselamatan rakyat Johor.
Ia sebagai respons, susulan ucapan Muhyiddin pada satu majlis di Shah Alam, Selangor yang melabel UMNO sebagai parti mementingkan diri sendiri, walaupun ketika rakyat berdepan ancaman Covid-19.











