Anak tukang dobi jadi legenda Hollywood - Utusan Malaysia

Anak tukang dobi jadi legenda Hollywood

POSTER filem Daughter of The Dragon yang dibintangi Anna May Wong. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERGINYA wanita berjiwa besar ini selepas bertarung penyakit jantung dan hati.

Bintang seni dengan bakat luar biasa ini mengabadikan kehidupannya sepanjang 42 tahun dengan dunia lakonan sehingga diiktiraf sebagai pelakon ikonik Asia di Amerika Syarikat (AS).

Cintanya terlalu menebal dengan bidang perfileman sehingga hidup membujang sampai hujung usia.

Anna May Wong adalah pelakon Cina pertama di Hollywood, namun kariernya terhimpit dengan sentimen rasisme dan diskriminasi melampau di AS.

Walaupun beliau sering diberi watak sampingan di AS disebabkan stereotaip penerbit dan penonton terhadap pelakon Asia, namun Anna berjaya meninggalkan impak terhadap lakonan yang dipersembahkan.

ANNA MAY WONG

KEHIDUPAN & KELUARGA

Anna atau nama sebenarnya Wong Liu Tsong dilahirkan di Los Angeles, California pada 3 Januari, 1905.

Ibu bapanya, Wong Sam Sing dan Lee Gon Toy merupakan generasi kedua keturunan Cina di AS. Nenek moyang Anna tiba di California sebelum penghijrahan dari China ke AS dihalang pada penghujung abad ke-19.

Anna adalah anak kedua daripada tujuh beradik. Keluarganya menjalankan perniagaan dobi dan Anna membesar dengan menghabiskan banyak masa di dobi atau menghantar pakaian yang sudah dicuci kepada pelanggan.

Anna belajar di sekolah rendah bersepadu dengan kakak sulungnya, namun sering berdepan dengan kecaman perkauman daripada rakan sekelas.

“Setiap hari adalah hari penyeksaan buat kami,” luahnya.

Rentetan itu, ibu bapanya memindahkannya ke Chinese Mission School yang mempunyai badan pelajar China di AS.

KARIER LAKONAN

Zaman kanak-kanak Anna memberikan beliau peluang melihat penggambaran filem Hollywood di Chinatown.

Sejak itu, beliau mula menunjukkan minat mendalam sehingga digelar sebagai ‘anak Cina yang sentiasa ingin tahu’.

Anna pernah bermimpi meneruskan kerjaya dalam perfileman walaupun tidak dipersetujui oleh bapanya.

Wanita itu akhirnya memilih Anna May Wong sebagai nama pentas dalam bidang seni yang masyhur dengan limpahan populariti.

Anna memulakan karier lakonan ketika berusia 14 tahun dan hanya menggalas watak tambahan dalam filem The Red Lantern, 1919.

Beliau menamatkan pengajian di sekolah menengah pada 1921 untuk memberikan fokus dalam bidang lakonan.

Meniti usia 17 tahun, beliau diberikan watak dalam filem Madame Butterfly yang dinspirasikan dari The Toll of The Sea (1922).

KOSTUM yang pernah dipakai oleh Anna May Wong dalam filem Daughter of Shanghai pada 1937. Ia dilelong dengan harga 3,000 hingga 5,000 pound
di London. – AFP

Beliau memberikan persembahan terbaik dalam filem pertama yang menggunakan Technicolor di dunia.

Kejayaannya semakin terserlah selepas membintangi filem The Thief of Baghdad (1924) sebagai watak hamba kanak-kanak dan perisik Mongolia di samping Douglas Fairbanks.

Pada 1924, beliau menubuhkan syarikat produksi sendiri yang diberi nama The Anna May Wong Productions.

Namun, syarikat produksi tersebut tidak mampu bertahan lama akibat rakan kongsi perniagaan yang belot.

Bagaimanapun, Anna terus cekal menjalani kehidupan dengan semakin giat berlakon.

PINDAH KE EROPAH

Akibat kekangan dihadapi di Hollywood, Anna nekad berhijrah ke Eropah dan meneruskan karier lakonannya di Jerman dan England pada 1928.

Wanita itu diberi kepercayaan berlakon dalam filem Piccadilly, 1929, yang merupakan filem tanpa suara terakhirnya.

Anna kemudian membintangi filem Love (1930) yang menguji kebolehannya bertutur dalam banyak bahasa seperti Perancis, Inggeris dan Jerman.

Beliau digandingkan dengan pelakon lelaki, Laurence Olivier di London menerusi filem A Circle of Chalk.

Di Vienna, Anna berlakon dalam filem muzikal, Tschun-Tshi hasil karyanya sendiri.

Beliau bukan sahaja mengembangkan sayap lakonan di Eropah, bahkan turut mewarnai industri dengan menjadi model dan perintis (trendsetter) fesyen.

PULANG KE AS

Pada 1930, Anna kembali semula ke AS dan berlakon dalam filem On The Spot.

Namun, kepulangan ke negara asal kelahirannya dipenuhi halangan dan diskriminasi.

Walaupun dilahirkan di AS, beliau terpaksa pergi ke Perkhidmatan Imigresen dan Naturalisasi bagi mendapatkan sijil pengenalan yang membolehkannya masuk semula ke negara ini seperti terkandung dalam Akta Pengecualian China.

Anna meneruskan karier dengan menandatangani perjanjian bersama Paramount Studios.

Daughter of The Dragon (1931) dan Shanghai Express (1932) antara filem berkualiti tinggi yang dibintanginya.

Walaupun sudah berkecimpung dalam bidang lakonan sejak zaman sekolah dan membintangi banyak naskhah hebat, beliau melahirkan kekecewaannya terhadap industri perfileman Hollywood.

“Mengapa pelakon Cina sering mendapat watak sebagai penjahat, pembunuh dan pengkhianat? Sedangkan kami tidak begitu.

“Tamadun China jauh lebih tua daripada tamadun Barat. Kita ada kebaikan dan kehormatan tersendiri.

“Mengapakah mereka tidak pernah menunjukkan perkara ini di layar skrin?” soalnya.

KEMBARA KE CHINA

Selepas kecewa dirinya tidak terpilih menjadi pelakon utama dalam filem The Good Earth akibat diskriminasi perkauman yang menebal, Anna membuat keputusan besar dalam hidupnya apabila menamatkan karier seninya di Hollywood.

Wanita itu kemudian mengembara ke China pada 1936.

Beliau dihujani kritikan kerana menggambarkan stereotaip pada lakon layar, walaupun beliau menegaskan bukan dirinya yang bertanggungjawab menentukan peranan tersebut.

“Ia adalah situasi yang agak menyedihkan apabila ditolak oleh orang Cina sendiri kerana saya dilihat ‘terlalu Amerika’, sedangkan penerbit AS sendiri lebih menggemari suku kaum lain untuk melakonkan watak Cina,” jelasnya.

Filem-filem lain yang dibintangi beliau adalah Daughter of Shanghai (1937), Bombs over Burama (1942) dan Lady from Chungking (1942).

PENERBIT Filem, Yunah Hong memegang gambar Anna May Wong selepas ditemu bual di Festival Filem Antarabangsa Pusan ke-15 di Busan, 2010. – AFP

Anna bersara dari dunia lakonan pada 1942, namun tetap muncul di kaca televisyen dan menjadi rakyat Asia di AS pertama menggalas watak utama dalam siri televisyen, The Gallery of Madame Liu-Tsong.

Anna pernah berhajat membuat kemunculan semula di Hollywood menerusi filem muzikal Flower Drum Song.

Namun, beliau terlebih dahulu dijemput pulang ke negeri abadi sebelum produksi tersebut bermula.

KEMATIAN

Anna meninggal dunia akibat serangan penyakit jantung pada 3 Februari 1961 di Santa Monica, California ketika berusia 56 tahun.

Bintang seni itu turut menderita penyakit hati selama bertahun-tahun sebelum menemui ajal.

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Begitu juga buat legenda seni yang berkerdipan bakatnya di bawah sinar lampu Hollywood.

Namanya diabadikan di Hollywood Walk of Fame dan kisahnya dibingkaikan dalam dokumentari Anna May Wong: From Laundryman’s Daughter to Hollywood Legend dan Perpetually Cool: The Many Lives of Anna May Wong. – BIOGRAPHY.COM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×