Menanti pembaca berita ‘senyap’ - Utusan Malaysia

Menanti pembaca berita ‘senyap’

JIKA menonton berita atau siaran langsung di RTM, kita boleh melihat aksi jurubahasa isyarat di penjuru bawah kanan televisyen.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA menonton berita dan siaran langsung program tertentu di TV1 dan TV2 kendalian Radio Televisyen Malaysia (RTM), sudah terbiasa melihat di penjuru bawah kanan, ada individu ligat ‘bersilat’ tangannya, siap dengan pakej memek muka tanda menjiwai kandungan disampaikan. Itulah sumbangan besar jurubahasa isyarat agar setiap informasi dapat difahami oleh penonton istimewa yang mengalami masalah pendengaran dan bisu.

Kita mungkin terlupa, penerimaan golongan istimewa ini terhadap sesuatu mesej adalah berbeza terutama dalam penyampaian ilmu dengan kefahaman mereka bergantung pada bahasa isyarat, sari kata atau visual. RTM mula menonjolkan jurubahasa isyarat dalam berita ringkas pada 1986 menerusi Selamat Pagi Malaysia.

Maknanya sudah 35 tahun istiqamah RTM meraikan orang kurang upaya (OKU) dalam penyampaian berita.

Tahun hadapan, sesuatu yang menarik kerajaan sediakan untuk minoriti OKU yang boleh membuatkan mereka melekap di depan televisyen menonton siaran berita. Khabar gembira ini diumumkan dalam pembentangan Bajet 2022, baru-baru ini.

MINYAK PELARIS

Antara inti pati Bajet 2022 yang menarik perhatian saya ialah OKU terus mendapat perhatian khusus oleh kerajaan bagi memastikan golongan ini terus diperkasakan dan diiktiraf kemampuan mereka. Salah satunya ialah menjadikan OKU seperti pekak dan bisu mempunyai akses lebih luas kepada informasi media dan berita semasa.

Kaedahnya, kerajaan menetapkan mulai tahun hadapan, semua rangkaian penyiaran termasuk swasta akan mempunyai jurubahasa isyarat dalam penyampaian berita.

Dengan ada sesetengah saluran menjadikan berita sebagai ‘minyak pelaris’ 24 jam sehari, pastinya permintaan kepada keperluan jurubahasa isyarat lebih tinggi. Mungkin ini juga menjadi pintu rezeki kepada OKU yang berkebolehan untuk muncul di kaca televisyen menjadi pembaca berita ‘senyap’ selepas ini. Bak kata pepatah, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Ketika ini, masih rendah program televisyen yang mesra tontonan untuk OKU kerana tiadanya jurubahasa isyarat atau sari kata. Justeru, bermula dengan program berita, saya mengharapkan ia menjadi titik permulaan kepada lebih banyak kandungan televisyen yang mesra OKU dan lebih jauh ke hadapan, bahasa isyarat turut dimasukkan dalam silibus di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

PENULIS ialah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×