Harga ayam dijangka naik lagi - Utusan Malaysia

Harga ayam dijangka naik lagi

KERAJAAN akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya wujud kartel mengawal harga dan pengeluaran ayam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hanya dalam tempoh dua bulan setengah, harga ayam dijangka naik sebanyak RM1.40 melepasi RM9 sekilogram menjelang minggu depan berbanding sekitar RM8 sekilogram,  September lalu.

Alasan kenaikan tersebut adalah kerana ketiadaan tenaga buruh di ladang bagi tujuan memproses ayam dan kos bahan mentah seperti jagung, kacang soya serta minyak sawit yang membebankan penternak.

Malah, keadaan reban ayam yang uzur sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengakibatkan penternak kini sukar meneruskan operasi atau membina baharu ekoran kos  tinggi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak di Malaysia, Tan Chee Hee berkata, kehilangan pekerja asing sebagai tenaga buruh yang rata-ratanya pulang ke negara masing-masing menyebabkan proses produktiviti terganggu.

Katanya, PKP menyebabkan industri itu terjejas dan memaksa pekerja-pekerja asing meninggalkan Malaysia kerana tidak boleh bertahan hidup di sini.

Katanya, penternak-penternak kemudian menghadapi kesukaran mendapatkan semula tenaga untuk industri berkenaan.

“Susah mencari warga tempatan yang ingin bekerja di ladang ayam kerana keadaan yang kurang bersih dan memerlukan tenaga tinggi serta memaksa mereka bekerja lebih masa.

“Jika dahulu dengan lima tenaga pekerja boleh memproses 100 ekor ayam, kini dengan dua buruh hanya boleh menghasilkan separuh sahaja dari kebiasaan, menyebabkan bekalan rendah daripada permintaan,” katanya semasa dihubungi oleh Utusan Malaysia, semalam.

Chee Hee berkata, kos operasi menternak ayam juga meningkat berikutan kenaikan harga bahan mentah antara 50 hingga 70 peratus.

Sementara itu, pembekal ayam, Muhammad Faiz Hisyam Sah Hamid berkata, kehilangan pekerja asing sangat dirasai apabila proses penjagaan ayam terganggu dan menyebabkan ternakannya mati.

“Susah untuk kami (penternak) mencari pekerja warganegara yang betul-betul ingin bekerja, selalunya mereka bertahan satu ke dua hari sahaja, selepas itu hilang,” katanya.

Katanya, dalam sesetengah kes terdapat sebahagian besar reban ayam uzur kerana tempoh PKP yang membuatkan penternak rugi dan terpaksa berhenti beroperasi.

Situasi itu, katanya, menyebabkan penternak tidak dapat melayani permintaan tinggi terhadap keperluan ayam.

“Jika nak bina reban baru  kosnya sangat tinggi dengan masalah birokrasi yang menyusahkan penternak,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×