Pekerja bukan hamba - Utusan Malaysia

Pekerja bukan hamba

PEKERJA asing yang perlu tinggal berhimpit-himpit dalam persekitaran kotor memudahkan penularan wabak Covid-19. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA tidak pasti, apakah reaksi paling sesuai apabila terbaca laporan media mengenai jumlah kompaun lebih RM9.1 juta yang dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) terhadap 796 majikan atas kegagalan mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Akta 342). Sebenarnya isu penginapan pekerja yang daif, terabai, kotor dan memualkan bukanlah isu baharu.

Pekerja buruh yang hidup seolah-olah hamba alaf baharu, tinggal dalam kediaman yang tidak layak untuk didiami. Namun, penularan wabak Covid-19 yang mencanak naik dalam kalangan pekerja asing membuka mata banyak pihak tentang keadaan semasa penginapan mereka.

Meskipun buruk sekali keadaan ini tetapi isu penginapan pekerja jarang tular dan mendapat perhatian kerana kebanyakan buruh yang menjadi mangsa adalah dalam kalangan warga asing. Malah, lebih rumit lagi ia melibatkan pendatang asing tanpa izin. Maka aduan daripada pekerja terhadap pelanggaran peraturan-peraturan oleh majikan sukar untuk dilaporkan kepada pihak JTKSM.

Hakikatnya, Akta 446 bukanlah asing lagi bagi negara kita. Walaupun begitu, penginapan pekerja yang sering dilaporkan media adalah daif dan tidak sesuai untuk didiami oleh mana-mana manusia. Bahkan ada yang bukan sahaja perlu tinggal berhimpit-himpit tetapi persekitaran juga kotor.

Dalam keadaan sedemikian, sudah pasti apa-apa prosedur penjarakan fizikal hampir mustahil untuk dilakukan. Saranan mematuhi prosedur penjarakan fizikal hanya akan menjadi bahan jenaka semata-mata.

Secara idealnya, Akta 446 melindungi kebajikan pekerja. Misalnya Bahagian II adalah mengenai perumahan dan kemudahan lain yang perlu disediakan kepada pekerja.

Bahagian ini memperuntukkan bangunan-bangunan yang dibina bagi kediaman pekerja perlulah selamat untuk diduduki.

Kuasa juga diberikan kepada Ketua Pengarah untuk merubah, mengubah atau membina semula bangunan bagi memenuhi spesifikasi yang dikehendaki. Tidak cukup dengan itu, Seksyen 6 Akta 446 mengkehendaki kemudahan air dan elektrik dibekalkan kepada kediaman tersebut.

Selanjutnya di Bahagian III Akta 446 tentang perihal kesihatan, hospital, perubatan dan kebersihan. Bahagian ini mengkehendaki hospital dibina di estet bagi menyediakan kemudahan perubatan kepada pekerja dan tanggungan mereka. Malah menjadi tanggungjawab majikan untuk menghantar pekerja mereka mendapatkan rawatan.

Sekiranya gagal, majikan atau pengurus residen berhadapan risiko didenda.

Sebagai tambahan di bawah Bahagian III juga, ia menjadi satu tanggungjawab oleh majikan atau pengurus residen untuk melaporkan penyakit disyaki berjangkit dan mengasingkan pekerja yang menghidap penyakit berjangkit.

Akta 446 juga mempunyai peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi oleh majikan. Antaranya Peraturan-Peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020. Menerusi Peraturan 3, secara jelas menyatakan mana-mana majikan atau penyedia penginapan berpusat perlu menyediakan kediaman mengikut kehendak minimum untuk kelas bangunan sebagaimana dinyatakan dalam Jadual.

TONG SAMPAH

Sekiranya tidak mematuhi subperaturan 1, majikan telah melakukan kesalahan. Sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000, penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Jadual yang dirujuk dalam Peraturan Penginapan dan Penginapan Berpusat 2020 jelas menunjukkan kehendak minimum yang perlu disediakan oleh majikan. Misalnya bagi penginapan yang bukan berbentuk dormitori, kehendak minimumnya adalah:
– Satu ruang.
– Satu ruang makan dengan kerusi dan meja.
– Bilik tidur.
– Dapur.
– Bilik air dan tandas dengan nisbah 1:6 pekerja.
– Kipas bagi setiap ruang.
– Lampu bagi setiap ruang.
– Ruang menyidai pakaian.
– Alat pertolongan cemas.
– Tong sampah.

Sekiranya diamati secara mendalam, undang-undang semasa berkenaan standard minimum bagi perumahan, penginapan dan kediaman pekerja cukup holistik. Namun, persoalannya kembali kepada keberkesanan pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang.

Integriti dan kejujuran majikan merupakan kayu ukur keberkesanan segala undang-undang dan peraturan yang dirangka. Tidak wajar orang ramai sering melihat hukuman kepada pesalah yang mengingkari undang-undang sebagai jalan penyelesaian segala jenis masalah sosial dalam masyarakat kita.

Kekurangan ataupun ketiadaan aduan dan kurang pengetahuan akan hak pekerja menambah kesukaran bagi merealisasikan hasrat penggubal undang-undang untuk melihat kesejahteraan dan kebajikan pekerja dipelihara dan dijamin. Undang-undang yang baik sekalipun sekiranya tidak dikuatkuasakan tidak akan memberikan kesan kepada masyarakat.

Buktinya, kita lihat sahaja penularan wabak dalam kalangan pekerja asing yang bukan sahaja menyumbang kepada statistik kesihatan tetapi juga risiko penularan dalam komuniti awam lain.

Kegagalan majikan dalam menyediakan penginapan, perumahan dan kemudahan asas lain yang selesa dan selamat kepada pekerja menyumbang kepada penularan wabak Covid-19. Kesannya lebih besar apabila syarikat tidak dapat beroperasi sekiranya terdapat pekerja dijangkiti.

Cukuplah rakyat dikurung dan perniagaan ditutup dalam tempoh dua tahun ini. Kita perlu bangkit dengan penuh iltizam patuh kepada undang-undang untuk menghadapi fasa endemik. Kita boleh lalai, cuma kita harus ingat harga yang perlu dibayar sekiranya alpa.

PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (Wilayah Persekutuan) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (Macsa).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×