Penyelidikan dan pembangunan (R&D) perlu diterus dan diperkasa bagi memastikan umat manusia menikmati kehidupan dengan lebih berkualiti dan inovatif.
Apabila pandemik Covid-19 tiba-tiba ‘hadir’ di muka bumi, seluruh warga dunia ibarat kehilangan punca setelah satu demi satu kematian direkodkan di Wuhan China dan mula tular ke pelosok dunia.
Ironinya bukan sahaja nyawa manusia diragut Covid-19 malahan segala aktiviti turut tergendala ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Mohd. Nazip Suratman, Covid-19 menyebabkan perkara luar biasa yang tidak pernah dilakukan sebelum ini kini diterima sebagai norma baharu selaras Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengekang pandemik itu.

“UiTM menjadi salah sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) pertama yang berjaya membangunkan alat pengesan pintar Covid-19.
“Alat yang menggunakan Sistem Modular dan Terbuka (MOST-Plus) itu berfungsi khas untuk memeriksa suhu badan individu selain sanitasi tangan dan semburan automatik pada kasut,” katanya ketika ditemui di Bangunan Canseleri UiTM, Shah Alam, baru-baru ini.
Mohd. Nazip berkata, teknologi alternatif itu dibangunkan penyelidik Institut Penyelidikan Pembuatan Pintar (SMRI) dan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) tahun lalu.
Beliau berkata, MOST-Plus dilihat dapat membantu komuniti dan pengusaha industri mematuhi prosedur ditetapkan kerajaan dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19.
“Alat ini merangkumi pelbagai fungsi serba guna kerana bukan hanya memeriksa suhu badan malah mengimbas identiti individu selain sanitasi tangan dan semburan kaki pada masa yang sama,” katanya.
Mengulas mengenai produk yang dihasilkan untuk menangani penularan virus Covid-19, organisasi di bawah seliannya iaitu Business Innovation & Technology Commercialization Centre (BITCOM) telah menghasilkan produk penyahkuman selain menghasilkan pelindung muka untuk digunakan petugas barisan hadapan.
Produk tersebut katanya, adalah bukti R&D perlu diteruskan walaupun dihimpit pandemik Covid-19 yang menyekat mobilisasi penyelidik UiTM itu sendiri.
“Dalam masa yang sama Institut Farmagenomik Integratif (iPROMISE) UiTM sedang bergiat aktif bagi menyokong usaha kerajaan dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman negara.
“Ia dengan menerajui bidang penyelidikan dan pembangunan genom dan vaksin dengan kerjasama konsortium tujuh makmal di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan dan Universiti Awam.
“Konsortium ini berperanan memudah cara kerjasama dan menjana hasil-hasil penyelidikan dalam bidang penyakit berjangkit virus SARS-CoV-2, seterusnya memangkinkan pembangunan vaksin tempatan,” katanya.
Mohd. Nazip yang juga pakar bidang perhutanan berkata, selain mengkomersialkan produk untuk manfaat orang ramai, beliau bersama kumpulan penyelidik UiTM juga aktif membuat kajian di Taman Negara di Pahang melalui penganjuran ekspedisi saintifik anjuran Institut Biodiversiti dan Pembangunan Lestari (IBSD).
Katanya, bukan mudah menguruskan pusat penyelidikan di dalam hutan yang terkandung 1,001 khazanah alam semula jadi pada waktu sebelum dan semasa pandemik Covid-19 masih belum menjadi endemik.
Tema penyelidikan yang dijalankan jelasnya, menyerlahkan peranan universiti dalam menyokong agenda global Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
“Sebagai seseorang yang mengkhusus dalam bidang perhutanan, keunikan khazanah alam di Taman Negara wajar didokumentasi dalam bentuk penerbitan untuk memastikan kepelbagaian biologi dapat dirujuk oleh generasi akan datang.
“Tambahan jika wujud sesuatu tumbuhan yang bersifat endemik, yang mana ia tumbuh di satu-satu kawasan sahaja, maka proses memelihara tumbuhan tersebut agar tidak dicerobohi menjadi satu cabaran.
“Selain spesies bersifat endemik, terdapat juga tumbuh-tumbuhan dalam kategori sangat terancam yang mengalami saiz populasi yang berkurangan disebabkan fragmentasi habitat.
“Sebagai contoh, pokok Keruing Padi (Dipterocarpus semivestitus) hanya terdapat di hutan paya air tawar di Hutan Simpan Parit di kampus UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar,” jelasnya.

Mohd. Nazip berkata, UiTM perlu terus fokus memperkasa bidang tersebut khususnya dalam kalangan pensyarah yang berkepakaran dalam bidang biodiversiti.
Jelasnya, UiTM perlu memantau sesuatu penyelidikan dengan komprehensif dan teliti kerana ia melibatkan geran yang besar.
“Pandemik Covid-19 memberi kesan terhadap perkembangan dan momentum penyelidikan.
“Untuk mengatasi masalah ini UiTM membenarkan pelanjutan tempoh penyelidikan sebanyak dua kali bagi penyelidikan yang dibiayai oleh UiTM.
“Bagi penyelidikan yang memerlukan penggunaan makmal dan bahan kimia, contohnya bidang biokimia, sains biologi dan kejuruteraan kimia, keperluan untuk menyesuaikan keadaan seperti jadual kerja dan jarak sosial, mungkin sedikit mencabar,” katanya.
Justeru, SOP yang mantap telah dihasilkan untuk disesuaikan oleh pelajar pascasiswazah dan penyelidik ketika berada di makmal.
Ujarnya, pihak universiti mengambil langkah-langkah tersebut bagi memastikan kelestarian dan kesinambungan penyelidikan di era pandemik ini.










