MELAKA: DAP kekal dengan pendirian bahawa tiada kesepakatan dengan Pakatan Harapan (PH) berhubung isu penerimaan dua bekas pemimpin UMNO, meskipun Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan telah dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya tidak berganjak daripada pendirian menentang penerimaan mana-mana ‘pengkhianat’ termasuk dua bekas ahli dewan undangan negeri (ADUN) kerajaan itu.
Katanya, perkara sama juga ditegaskan kepada Majlis Presiden PH.
Ujarnya, kedudukan DAP jelas dengan sebab yang kuat iaitu tidak mahu membuka sebarang risiko bakal kehilangan jumlah undian.
“Kami akan kekal dengan pendirian tidak bersetuju dengan penerimaan dan pencalonan mereka.
“Kita juga menerima respons daripada penyokong mengenai ketidakpuasan hati dengan penerimaan dua wakil rakyat tersebut dalam PH dan terpaksa menjelaskan mengenai pendirian DAP,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat DAP Melaka di sini.
Sejak semalam, tular dalam media sosial berhubung sepucuk surat bertarikh 30 September 2021 ditandatangani Adly yang dikirim kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam, memohon Idris diangkat sebagai Ketua Menteri Ke-13.
Ia susulan Ketua Menteri Ke-12, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali tidak lagi mendapat sokongan dan kepercayaan sebilangan besar ADUN.
Mengulas lanjut, Anthony menambah, disebabkan kehadiran Idris dan Nor Azman juga, DAP terpaksa berusaha keras memujuk penyokong keluar mengundi atas dasar untuk memberikan semula mandat kepada PH.
“Walaupun kita tidak bersetuju dengan pencalonan, namun kita tetap mahu PH menang dan fokus DAP adalah kita nak pastikan lapan kerusi kita bertanding akan menang, sekali gus menyumbang kepada PH.
“Sekiranya PH berjaya membentuk kerajaan negeri, pendirian DAP menyokong Pengerusi PH negeri, Adly Zahari sebagai Ketua Menteri Melaka,” jelasnya. – UTUSAN











