PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah mempersoalkan sama ada Perikatan Nasional (PN) dan Perikatan Harapan (PH) sudah mempunyai calon Ketua Menteri Melaka atau sebaliknya.
Beliau berkata, ini berikutan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Ali sudah disahkan sebagai calon jawatan itu.
Katanya, pencalonan itu sebagaimana yang diumumkan Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan sekiranya mendapat mandat di Melaka nanti.
“Maknanya BN sudah jelas mengumumkan siapa calon Ketua Menteri Melaka. Bagaimanapun, PH dan PN nampaknya masih tidak berani menamakan sesiapa, semacam ada masalah siapa yang mahu dinamakan.
“Kemudian ada juga calon PH menonjolkan diri sendiri. Barangkali bimbang tercicir,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Justeru, katanya, jika sebelum ini PN dan PH memainkan isu calon Ketua Menteri daripada BN, maka pihaknya ingin mempersoalkan kembali kepada kedua-dua gabungan itu.
“Atau PN dan PH tidak berani menamakannya sekarang kerana ada masalah. Berebut mahu jadi Ketua Menteri ke?
“Cuba anda fikir kenapa PN dan PH tidak menamakan lagi siapa calon Ketua Menteri Melaka?,” soalnya. – UTUSAN ONLINE











