PETALING JAYA: Keputusan Pas yang memilih Perikatan Nasional (PN) daripada mengutamakan Muafakat Nasional (MN) itu jelas menunjukkan bahawa MN tidak mudah dioperasikan dan hanya wujud pada nama, tidak pada semangatnya.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, laungan MN demi perpaduan ummah hanya halwa telinga, tetapi hakikatnya pelbagai kepentingan lain adalah keutamaan dalam politik.
Katanya, Pas tidak boleh mengikat UMNO dengan MN, tetapi pada masa sama mendambakan PN, maka Pas wajar meneruskan dengan PN kerana ia tidak boleh terus keliru dengan perkara yang parti itu kehendaki.
“UMNO tegas untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan kerana ia membelakangkan kepentingan ummah dan bangsa Melayu, tetapi kerana Bersatu itu dibidani kelahirannya untuk mengganti UMNO.
“Ia secara terang dan jelas, seteru UMNO. Pas wajar mengerti kedudukan ini, kerana itu UMNO tidak memerlukan Pas untuk mendamaikannya dengan Bersatu.
“Seperti UMNO juga tidak pernah mengusahakan damai antara Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah) demi kepentingan ummah kerana UMNO tahu sejarah keduanya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Pada 1 November lepas, media melaporkan, Pas menggunakan lambang PN bagi calon-calonnya yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hujung bulan ini.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dengan mengambil kira panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Ulama Pas.
Menurut Khaled, dalam politik, tiada parti yang sepatutnya mencari keuntungan dari pelbagai pihak dalam pelbagai keadaan dan pada setiap masa.
“Keputusan Pas sebenarnya memberikan UMNO ruang dan peluang untuk kembali kepada Barisan Nasional (BN) yang sederhana, multicultural dan progresif.
“Ia tidak lagi terbelenggu dengan sesiapa, bebas mencorakkan jalan kehadapanya, kerana UMNO sedar, jalan kemenangan ialah sokongan semua kaum dan bukan hanya Melayu. Kerjasama parti Melayu bukan satu-satunya jalan untuk menguasai kerajaan,” ujarnya.
Beliau menambah, dalam politik yang sangat disruptive, kemenangan dijangka banyak bergantung kepada tawaran dasar yang lebih baik, kepimpinan yang lebih dinamik, rencana ekonomi yang lebih lestari dan rencam generasi muda yang mesti difahami.
“Jika hanya mencongak jumlah undi UMNO, PAS dan Bersatu itu sebagai tanda aras kemenangan, maka sangat lah simplistik. Politik Malaysia bukan sebegitu simplistik.
“Ini kerana rumitnya politik itu lah, maka BN adalah taruhan terbaik UMNO untuk Malaysia. Yang lain hanya sampingan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











