PETALING JAYA: Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai antara UMNO dan Pas sudah tiada nilai sekali pun Pas tidak berniat meninggalkan gagasan itu ketika kedua-dua parti bertembung dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.
Gagasan selalu dilaungkan menerusi MN iaitu memperjuangkan agama Islam dan menyatupadukan ummah disifatkan hanya suatu persefahaman di atas kertas namun hakikatnya, kedua-dua pihak sudah tiada peluang bekerjasama malah hala tujunya tidak jelas.
Lebih teruk apabila Pas terus mengambil pendekatan ‘selamat’ dengan memilih kedua-dua Barisan Nasional (BN)-UMNO dan Perikatan Nasional (PN)-Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta bertindak sebagai pendamai antara dua pakatan itu walhal ia sukar berlaku.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Jamaie Hamil berkata, kesungguhan UMNO dan Pas melalui MN jelas terbukti sejak awal pemeteraiannya namun kewujudan PN-Bersatu mempengaruhi hala tuju gagasan tersebut.
“Kita nampak dengan jelas bahawa angin-angin perpecahan sudah bertiup dalam MN terutama dengan keputusan UMNO di beberapa negeri yang memutuskan bertanding di semua kerusi Parlimen dan DUN jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berlaku.
“Maknanya, UMNO sudah tidak perlukan Pas lagi di dalam MN sementara Pas pula masih mahu mempertahan MN kononnya atas nama Islam. Sama juga keadaannya di Melaka, Pas bertanding di semua kubu kuat BN dan kalau bertanding pun, Pas tidak akan pernah menang mana-mana kerusi,” katanya ketika dihubungi semalam.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir pula berkata, Pas seharusnya membuat keputusan tegas dan jelas sama ada memilih BN-UMNO atau PN-Bersatu dan tidak boleh meraih keuntungan daripada kedua-dua pihak pada satu masa.
“Kalau Pas menyokong UMNO, peluang untuk menang lebih besar kerana jumlah ahli kedua-dua parti ini cukup besar berbanding Bersatu yang belum kukuh. Kalau di Melaka sudah jadi macam ini, saya yakin pertembungan yang lebih besar akan berlaku pada pilihan raya umum nanti yang menguatkan dakwaan MN sudah tidak wujud.
“Selain itu, Pas hanya mencetuskan keraguan dan kesangsian apabila dilihat lebih memihak kepada Bersatu. Sepatutnya perlu ada pendirian untuk memastikan akar umbi tidak keliru, berasa yakin dan percaya khususnya kepada UMNO,” katanya.
Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Man Tuan Ibrahim dilaporkan berkata, Pas tidak berhasrat meninggalkan MN dan mahu terus kekal bersama dalam gagasan itu di sebalik pertembungan kedua-dua parti pada PRN Melaka tidak lama lagi.
BN bertanding di 28 kerusi DUN secara bersendiri yang menyaksikan UMNO mempertaruhkan 20 calon, MCA (tujuh kerusi) dan MIC (satu kerusi) manakala Pas bertanding lapan kerusi iaitu Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Bukit Katil, Duyong, Serkam, Kelebang dan Merlimau yang kebanyakannya disandang UMNO.
Pensyarah Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd. Muis pula berkata, tindakan Pas ‘tidak berhasrat keluar MN’ seolah-olah mahu menunjukkan Pas sudah berusaha memainkan peranannya mengekalkan MN.
Pada masa sama, kata Mujibu, Pas mahu meletakkan kesalahan dan tekanan kepada UMNO selepas parti itu enggan bekerjasama yang menyebabkan status MN tergantung.
“Hakikatnya, apa yang berlaku di Melaka, menyaksikan pertembungan di beberapa kerusi antara BN dan Pas sedangkan kalau kata UMNO dan Pas masih ada semangat setia kawan, boleh sahaja Pas memilih tidak bertanding.
“Mungkin status MN masih boleh diputuskan selepas melihat keputusan pilihan raya negeri nanti. Jika UMNO menang majoriti dan bentuk kerajaan, mungkin MN boleh bubar. Kalau berlaku perpecahan undi dan perlukan gabungan membentuk kerajaan campuran, mungkin MN masih berjalan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











