Cinta selepas nikah - Utusan Malaysia

Cinta selepas nikah

Fendy Bakry bersyukur memiliki seorang wanita yang memahami diri dan kerjayanya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGAMBIL masa hanya dua bulan untuk membuat persiapan perkahwinan, kongsi pelakon Fendy Bakry, tiada niat untuk merahsiakan majlis bahagianya daripada pengetahuan umum.

Jelasnya, sama seperti pasangan mempelai lain dia juga mengimpikan majlis perkahwinan yang meriah dengan kehadiran tetamu.

Namun dalam tempoh dunia sedang berhadapan dengan penularan wabak Covid-19 ini ada peraturan yang pihaknya perlu akur dalam mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Bukan niat saya untuk merahsiakan perkahwinan ini. Memang dalam tempoh sekarang ada jumlah tetamu yang boleh hadir untuk majlis perkahwinan, tetapi bila fikirkan kembali dalam keadaan itu saya takut kalau dibuat secara terbuka kami tidak boleh kawal orang yang akan hadir.

“Jadi selepas berbincang antara keluarga kami buat keputusan hanya untuk teruskan majlis pernikahan dahulu. Dalam majlis itu juga hanya keluarga terdekat sahaja yang hadir,” katanya dia kini sedang merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan di Kuala Lumpur dan Perlis pada tahun hadapan.

Menolak dakwaan dia cuba menyorokkan berita perkahwinan ini hanya kerana takut menjejaskan populariti, kata pelakon drama Mr Grey ini, dia tidak pernah melihat kerjaya dalam bidang lakonan sebagai sesuatu yang membebankan.

Malah sepanjang bergelar seorang pelakon, dia yakin sentiasa dinilai melalui kualiti lakonannya.

“Bukan takut hilang populariti, jujurnya saya buat keputusan untuk berkahwin ketika waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Oleh itu, dalam tempoh singkat itu tidak banyak perkara yang boleh kami rancang.

“Sehingga ke hari ini saya dapat lihat peminat banyak memberi sokongan, malah menerusi perkongsian saya, hari pernikahan itu walaupun ramai yang terkejut tetapi mereka tetap mendoakan saya,” katanya yang bernikah dengan wanita pilihannya pada 30 Ogos lalu.

Berkongsi detik perkenalan dengan isterinya, kata Fendy, dalam tempoh tiga tahun mengenali Ayu Afnizar, 27, tiada fasa percintaan yang berlangsung antara mereka.

Turut menjelaskan hubungan mereka sebelum ini sebagai rakan, kata Fendy atau nama sebenarnya, Mohd Affandi Nor Bakri, ada satu sifat istimewa isterinya itu yang berjaya menawan hatinya.

“Kami tidak pernah bercinta, dalam tempoh tiga tahun berkenalan hubungan kami juga tidaklah rapat mana. Cuma baru-baru ini saya yakin untuk melamarnya, itupun dalam suasana yang cukup biasa tiada momen yang romantik. Senang cerita kami hanya bercinta selepas berkahwin.

“Istimewanya isteri saya, bagaimana sehingga ke saat ini juga kami masih mengamalkan prinsip berkawan seperti sebelum ini. Namun saya tidak mahu nafikan ada sesuatu yang istimewa tentang dia berbeza dengan orang lain, apa yang istimewa itu mungkin ini bukan waktu yang sesuai untuk dedahkan,” kata Fendy memberitahu isterinya itu merupakan seorang penjawat awam.

Mengakui antara sebab dia berkahwin untuk memastikan kehidupannya kini lebih teratur. Kata pelakon berusia 32 tahun ini, dia sangat bersyukur mempunyai seorang wanita yang bukan ahaja memahami dirinya, tetapi juga kerjayanya sebagai seorang pelakon.

“Antara sebab saya kahwin, (kerana) mahukan seseorang yang boleh membantu menguruskan kehidupan. Dahulu saya mempunyai pembantu peribadi yang tinggal serumah. Jadi apabila sudah berumur 30 tahun ke atas, ini memang sudah sampai masa untuk berkahwin.

“Orang kata fasa selepas berkahwin itu memang berbeza, apa yang lebih penting saya mempunyai seorang wanita yang sangat memahami saya kini,” katanya.

Kerjaya seperti biasa

 

Fendy akan terus memberikan yang terbaik dalam lakonan

 

Kembali ke set penggambaran selepas mengambil cuti panjang daripada dunia seni. Fendy yang sebelum ini dimasukkan ke hospital akibat demam panas dan jangkitan darah memberitahu dia kini masih perlu mengikuti beberapa rawatan.

“Alhamdulillah, cuma selepas berada di wad dalam tempoh yang lama, pihak hospital tidak boleh lepaskan saya secara keseluruhan. Buat masa ini saya masih perlu melalui beberapa rawatan yang sudah dijadualkan.

“Untuk sihat saya tidak mengambil sebarang suplemen cuma doktor syorkan mengamalkan makanan yang sihat sahaja. Isteri memang tahu apa yang saya alami jadi dia juga bertanggungjawab menjaga diet pemakanan saya,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai kerjaya lakonannya, kata Fendy, dia bersyukur kerana terus diberi peluang walaupun sering berhadapan dengan masalah kesihatan.

Tidak mampu menjanjikan apa-apa ketika ini, bagi Fendy perlu mereka di luar sana tahu kualiti adalah fokus utama lakonannya.

“Buat masa ini memang masih ada tawaran yang datang malah saya juga akan memulakan penggambaran tidak lama lagi. Cuma untuk berjanji yang kesihatan saya tidak akan menganggu dunia lakonan itu saya tidak boleh pastikan.

“Cuma saya akan terus memberikan yang terbaik dari segi lakonan selain tidak akan bersikap tamak untuk menerima tawaran,” jelasnya.

Sibuk dengan perniagaan kuetiau goreng ketika ini, siapa sangka minat dalam bidang masakan membuka peluang rezeki baharu untuk dirinya.

Kata Fendy yang memulakan perniagaan beberapa bulan lalu, pada mulanya usaha ini bagi membantu dia mendapatkan pendapatan sampingan dalam mengharungi tempoh PKP.

“Buat masa ini memang sudah ramai yang tahu mengenai perniagaan saya dan banyak yang menyokong. Ikutkan memang baru sahaja memulakan perniagaan ini memandangkan dalam tempoh PKP tempoh hari tidak boleh berlakon.

“Saya suka memasak jadi ini adalah perkara yang saya suka buat, selain untuk menambah pendapatan,” katanya yang turut memeriahkan Karnival Makanan Havoc 3.0 mendapat sokongan daripada Tourism Malaysia dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) baru-baru ini.

Selain Fendy, antara artis yang turut memeriahkan Karnival Makanan Havoc 3.0 ialah Bella Astillah dan beberapa selebriti lain.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×