Muafakat Nasional sudah lama mati - Utusan Malaysia

Muafakat Nasional sudah lama mati

TENGKU RAZALEIGH HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

 

UMPAMA mencurah air ke daun keladi, nasihat, pandangan dan teguran TENGKU RAZALEIGH HAMZAH kepada parti bukan sekadar tidak diturut, malah tidak dirai sehingga beliau nekad meletak jawatan sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, dua bulan lalu.

Ditemui wartawan Utusan Malaysia, ZAAIN ZIN dan AIMUNI TUAN LAH selepas merasmikan mesyuarat UMNO cawangan secara berkelompok di Jeram Tekoh, Gua Musang pada Sabtu, beliau menegaskan tiada niat lain kecuali hanya mahu melihat UMNO kembali gemilang.

Selain mengulas mengenai Muafakat Nasional (MN) yang dianggap sudah lama mati tanpa kubur serta konflik dalaman UMNO, Ahli Parlimen Gua Musang yang juga arkitek pembangunan negara itu turut mengulas Bajet 2022 dan prestasi Kabinet baharu menjelang 100 hari.

 

UTUSAN: Apa perkembangan Mesyuarat UMNO cawangan-cawangan yang sudah bermula?
TENGKU RAZALEIGH: Saya baru rasmikan mesyuarat cawangan dalam Bahagian Gua Musang yang diadakan secara berkelompok sebab dalam suasana pandemik ini, susah nak adakan mesyuarat di setiap cawangan.

Saya nampak ia masih meriah walaupun jumlah yang hadir terhad kerana bagi mematuhi SOP.

Ahli yang hadir itu yakin kepada masa depan parti walaupun kita menghadapi cabaran pandemik, kemelesetan ekonomi, krisis politik dan krisis kepimpinan tetapi nampaknya di peringkat bawah, mereka sedar dan insaf kita telah kalah dan kini bersungguh-sungguh mahu tebus kekalahan ini.

Bahagian lain saya tidak pergi tapi diberitahu mereka mempunyai sikap yang sama iaitu menzahirkan keinsafan sebagai parti yang pernah kalah dan lemah.

Kita perlu buat perubahan yang boleh mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti politik yang semakin berkurangan, kerana kelemahan pimpinan sedia ada.

Apa pendapat Ku, Muryidul Am Pas masih kata nak MN dan PN tapi dalam PRN Melaka, mereka rela pakai logo PN dan arah ahli undi calon PN?
Saya rasa MN dah berkubur. Walaupun ada orang itu kata masih ada lagi, itu dia nak bohong pada kitalah. Sebenarnya sudah tidak ada MN. Kalau UMNO tidak mahu menjadi sebahagian daripada PN tetapi Pas tetap nak jadi PN, maka itu sudah berbeza (pendirian) dan jelas nampak, dia lebih pentingkan jawatan dalam kerajaan.

Pandangan saya bersama kawan-kawan, kami memikirkan MN sebenarnya dah berkubur, atau dah mati lama pun, kubur pun tak ada.
Sememangnya tidak ada keikhlasan di peringkat bawahan Pas untuk ‘bermuafakat’ bersama UMNO.

Di peringkat atas saya tidak tahulah tetapi di peringkat bawah tidak ada langsung.

Macam kita (UMNO) buat masjid di Gua Musang untuk rakyat tapi Pas buat pula bangunan di sebelah masjid seolah nak menghadang usaha yang kita buat. Ini nampak sangat dia tidak mahu terima apa yang kita lakukan walaupun untuk agama, untuk rakyat ramai.

Memang sudah tidak boleh bawa berbincang ke dengan Pas dan Bersatu ni?
Kita dah putus perkara ini sudah lama untuk tidak akan bekerjasama dengan Bersatu sejak dalam Perhimpunan Agung lagi. Tinggal lagi pelaksanaannya lambat dan tak ikut kehendak ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi, itu banyak orang marah kepada pimpinan parti.

 

PERJUANGAN Muafakat Nasional (MN) disifatkan sudah berkubur ekoran perbezaan pendirian politik dua parti iaitu UMNO dan Pas.

Mungkin BN boleh buat kejutan menang di Melaka?
Saya rasa samar-samar. Tidak tahu siapa yang boleh, tetapi nampaknya tidak ada penentuan dalam keputusan PRN yang akan datang. Mungkin UMNO tak ke mana juga.

Menjelang 100 hari, bagaimana Ku lihat prestasi Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob?
Apa bezanya dengan PM sebelum itu? Yang dijangkiti Covid-19 masih ribu-ribu orang sehari, cuma ada lah relaxation sikit. Dari segi ekonomi pula, tidak ada yang dinikmati rakyat sangat, cuma kebebasan pergerakan itu dibenarkan.

Dan bagi saya, memang sepatutnya dibenar bergerak. Sepatutnya tidak perlu lockdown, itu satu kesilapan besar kerana akhirnya ramai orang kita bankrap, hilang peluang berniaga, hilang pekerjaan. Sampai satu tahap, tiada pendapatan langsung bagi rakyat di bawah.

Yang kaya tetap kaya, tetapi yang miskin menjadi lebih daif.

PH dilaporkan puas hati dengan kandungan Bajet 2022 sebab turut ambil kira pandangan mereka. Ku rasa?
Saya hairan PH ini, saya tidak tahu dia fikir macam mana. Barangkali kerana nak jaga peruntukan yang PM janjikan apabila mereka menandatangani memorandum (MoU).
PH sudah jadi parti yang mementingkan kebendaan lebih daripada perjuangan. Nampak dia sudah berubah dan tidak boleh diharap lagi. Saya rasa PH dah rosak tak seperti PH yang digembar-gembur sebelum PRU-14. Itu pun banyak tak tunaikan semua janji yang dia buat. Banyak bohong dan karut.

Kalau PH yang pembangkang pun kata ok, boleh ke kita anggap Bajet 2022 sempurna atau hampir sempurna?
Tidak. Jangan harap. Bajet 2022 ini susah nak dilaksanakan kerana negara tidak ada pendapatan.

Kerajaan nak pinjam duit sudah tidak boleh, bahkan sebenarnya sudah melebihi had pinjaman yang dibenarkan oleh Parlimen dan ia boleh ditafsir sebagai salah atau illegal spending oleh kerajaan.

Cara kerajaan sekarang buat ialah pinjam duit melebihi daripada apa yang dibenar oleh Parlimen. Ini satu kesalahan besar. Baru-baru ini, dia pinjam duit untuk bayar pinjaman lama. Kita ini dah macam main congkak pula. Isi lubang dengan yang cara yang sudah pun berlubang ada caranya.

Tengok pada Bajet 2022 secara keseluruhan saya rasa ia impossible.

Siapa Menteri atau Timbalan Menteri yang Ku rasa paling menonjol dan perform dalam tempoh pendek?
Semua mereka menonjollah. Tapi dalam aspek negatiflah.
KJ (Khairy Jamaluddin) sampai paksa orang terima booster shot sebab dia nak habiskan vaksin yang dia sudah order dengan harga RM5 bilion duit yang kita pinjam.
Sedangkan pandemik tak berkurangan pun, jadi apa keberkesanan vaksinnya? Tengok pada perkembangan ini, jangan kata 100 hari, beri 1,000 hari pun belum tentu selesai. Saya bukan cakap main-main, Covid-19 memang tak ada progres sangat.

Satu lagi mereka kata tukar kerajaan, apa yang tukarnya, Perdana Menteri sahaja sedangkan yang lain orang sama dalam Kabinet. Muka itu juga.

Bekas Menteri Undang-Undang Datuk Zaid Ibrahim kata orang Melayu ‘miskin’ pemimpin berkualiti, manakala dalam ucapan tadi Ku ada sebut pula UMNO tak ramai pemimpin pelapis.
Ini kerana silap kita dulu. Sepatutnya leader mesti sediakan barisan pelapis siap-siap supaya bila dia undur, pelapis sudah sedia mengambil alih dan melangsungkan perjuangan yang dimulakan.
Tetapi nampaknya, sejak 30 tahun dulu, pemimpin kita tidak ambil peduli langsung pasal dia nak kekal (pegang jawatan) sampai dia bertongkat langit. Itu kesilapan besar.

Bayangkan hari ini, semua orang kononnya layak menjadi Perdana Menteri sampai berebut-rebut satu sama lain. Tetapi hakikat sebenarnya, semua sekali tak layak.

Adakah Ku letak jawatan sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO sebab nak hidupkan semula UMNO lama?
UMNO yang ada sekarang bermula 1988, sejarah kita merdeka bermula 1946, dengan perjuangan dianjur orang Melayu, bukan orang politik, orang Melayu dalam kalangan NGO, persatuan-persatuan, untuk kita jaga maruah bangsa, raja-raja, malah kita dapat restu raja sehingga UMNO ketika itu ditubuh di Istana Besar Johor Bahru.

Kita bawa roh perjuangan orang Melayu, bukan untuk sesiapa secara peribadi. Itu beza dan terpaksalah saya dilantik sebagai pengerusi untuk timbang tara apakah yang patut dilakukan?
Yang pertama imej parti. Imej parti kita kena baik. Kalau imej itu dah rosak ataupun tercalar, kita kena baiki dulu.

Kalau nak baiki parti UMNO baharu yang ditubuh sejak 1988, saya rasa tak terbuat, sebab ada banyak perkara.

Sebab itu ada orang diminta berhenti atau berehat dulu supaya kita dapat bersihkan imej dalam banyak hal yang ditimbulkan.

Kita juga kena sensitif kepada keluhan rakyat. Saya rasa UMNO baharu berhadapan dengan banyak masalah.

Kita tidak mahu sejarah perjuangan orang Melayu bermula 1988. Perjuangan Melayu sebenarnya bermula pada 1946 apabila raja-raja Melayu dikekalkan berkuasa, diikuti Perlembagaan Persekutuan dan kemerdekaan negara.

Ini semua urutan sejarah yang tidak ada kena mengena dengan UMNO baharu. Sebab dia bermula 1988, jadi apa perjuangan dia?

Kenapa tidak Ku bantu sahaja parti yang ada sekarang untuk berubah?

Kalau nak saya bantu, dia mesti dengar cakap saya.  Kalau dia tak dengar cakap saya buat apa? Saya bukan nak pada kedudukan, kuasa semua itu.

Yang saya mahu keadaan UMNO itu pulih semula seperti zaman Datuk Onn Jaafar, zaman Tunku.Sekarang orang nak masuk UMNO pun malu. Masakan tidak, bayangkan, urusan kewangan ekonomi pun boleh dicampur aduk dengan masalah peribadi. Jadi kita perlu restore dan reset keadaan ini. Jika tidak orang pandang jijik terhadap kita.

Apa kata Presiden UMNO tentang peletakan jawatan Ku?
Saya cakap dalam surat itu sebab-sebab saya berhenti. Saya bimbang orang yang dalam kerajaan PN sekarang ini tidak lagi bersatu hati dengan kita UMNO. Macam mana dia nak tolong kita dalam pilihan raya? Tak ada. Memang karutlah!

Sehingga kini, surat peletakan jawatan saya tidak diberi sebarang maklum balas oleh pimpinan parti, tetapi saya anggap saya dah free sejak hantar surat tu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×