MUKADIMAH
SETELAH Pas membuat keputusan untuk memilih logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, ramai tertanya-tanya, apa nasib Muafakat Nasional (MN), sama ada hancur atau Pas masih lagi meneruskan tindakan untuk bermain dua kolam?
Kepada wartawan Utusan Malaysia, ASLINDA NASIR dan jurufoto, FARIZ RUSADIO, Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, DATUK KHAIRUDDIN AMAN RAZALI memberikan penjelasan berhubung isu ini.
Ikuti temu bual tersebut yang berlangsung di ibu negara, kelmarin.
UTUSAN: Kenapa Pas memilih untuk menggunakan logo PN pada PRN Melaka nanti?
KHAIRUDDIN: Kerana ia diputuskan oleh Jawatankuasa Pas Pusat. Sebab lain, tak perlu dimaklumkanlah. Yang penting, ia adalah keputusan parti untuk kita masuk pada PRN Melaka. Apa yang penting, bagaimana antara dua parti besar iaitu Barisan Nasional (BN) dan PN boleh bermuafakat dan berunding untuk bertanding dua penjuru untuk pastikan Melaka bukan milik PH pada PRN Melaka.
Keputusan dibuat secara konsensus?
Setiap keputusan parti secara konsensus. Perbincangan itu perkara biasa dan akhirnya kita putuskan yang terbaik untuk Pas adalah menggunakan logo PN pada PRN Melaka.
Kenapa tidak meneruskan dengan MN?
Kerjasama MN sentiasa wujud, MN tidak terdaftar sebagai parti, yang parti adalah BN, yang parti adalah Pas. Maka nak bertanding atas logo MN, ia tidak akan berlaku. Dan Pas perlukan gabungan dan PN adalah gabungan yang kita pilih. Pada masa sama, hubungan dengan UMNO menerusi MN terus kekal kerana kita mempunyai hubungan kerjasama. MN bukan wadah berpolitik tetapi wadah kebersamaan untuk semua isu, maka ia tidak mengganggu pemilihan kita untuk PN sebagai lambang ketika PRN Melaka. Jadi, keutamaan kami adalah kita kekal dengan MN dan kita bersama dengan PN untuk bertanding PRN Melaka. Kita pilih untuk bertanding menggunakan logo PN.
Tapi kalau lihat daripada keputusan dibuat, mungkin UMNO dilihat sedikit berkecil hati kerana mereka sudah menghulurkan tangan?
Dalam politik, tidak perlu ada kecil hati kerana setiap parti ada pendirian masing-masing, UMNO/BN ada pendirian untuk tidak mahu bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan pendirian UMNO kita hormati dan kita sentiasa mengajak, sama juga kerja kita untuk mengajak Bersatu. Ertinya dalam isu politik, tidak perlu ada kecil hati kerana setiap parti perlu mempunyai pendirian dan prinsip tersendiri, tapi prinsip itu tidak pernah mengganggu sebarang bentuk kerjasama. Maka yang penting, bagaimana kita boleh bekerjasama? Itu paling penting. Jadi, kita kena hormat pendirian UMNO dan semua perlu hormat juga pendirian Pas.
Mengambil kira tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK) adalah kejayaan menerusi kerjasama dalam MN, kenapa Pas tidak meneruskannya?
Sebab pada ketika itu, kita bertanding menggunakan logo, tapi dah ditadirkan Allah sepanjang tujuh kali PRK lalu, percubaannya adalah menerusi logo BN semata-mata dan Pas tidak pernah bertanding pun ketika itu. Logo MN tidak pernah didaftarkan, parti pun tak didaftarkan dan belum teruji lagi kalau nak guna MN pun. Jadi, yang ada adalah logo BN. Dalam hal ini, Pas mengambil pendirian untuk menggunakan logo PN.
Adakah ini bermakna logo PN menjadi faktor untuk Pas bekerjasama dengan Bersatu?
Tidak semestinya. Kita ada banyak alasan tersendiri yang tidak perlu kita umumkan kepada orang ramai. Itu kita kekalkan sebagai perbincangan dalaman kami sahaja. Yang penting adalah keputusan. Keputusannya ialah kita melihat untuk PRN Melaka, kita gunakan lambang PN.
Kalau kita ambil kaedah yang digunakan semua, ambil kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man, kita mengiktiraf kerusi disandang iaitu ia merupakan salah satu kaedah perundingan. Kalau kemudian kita guna kerusi yang baki, maka bagi saya rasa takkan ada pertembungan. Maka pada saya tak ada isu logo BN ke, logo PN ke, itu hak parti masing-masing. Tak perlu kita besarkan hal logo kerana logo ini adalah pilihan parti masing-masing.
Mungkin kita boleh pakai logo Pas? Ajak UMNO atau Bersatu pakai logo Pas pun mereka tidak mahu, kan? Jadi, begitulah keadaannya. Bermakna setiap parti berhak memilih. Bagi saya, bukan isu lambang untuk kerjasama, lambang adalah hak eksklusif parti masing-masing. Pas buat pendirian gunakan lambang PN, UMNO buat pendirian gunakan logo BN, yang tinggal adalah berunding macam mana kita nak menang supaya tidak jatuh ke tangan PH. Itu paling penting.
Berunding itu adalah keutamaan dan roh MN adalah roh bekerjasama dengan UMNO itu roh MN. Jadi, ambil roh tadi untuk kita pastikan kita boleh menang PRN Melaka dengan terbaik dan menghalang kemaraan PH. Jangan jadikan lambang sebagai halangan untuk kita berunding. Berunding demi rakyat, memenangkan parti kita.
Ada usaha perundingan diadakan setakat ini?
Rundingan masih sempat dan saya difahamkan rundingan yang terakhir dihadiri ketiga-tiga wakil parti iaitu Pas, UMNO dan Bersatu, ia berjalan dengan baik dan kita perlu tunggu apa keputusan terakhirnya.
Yang penting, rundingan sedang berjalan. Selagi belum ada penamaan calon, selagi itu rundingan akan terus berjalan.
Pas telah menjadi pemula, kalau incumbent (penyandang), UMNO tak ada 13 atau 14 kerusi, mungkin UMNO nak lagi berapa? Kita setuju atau tidak? Berapa lagi kita tak dapat? Berapa yang Bersatu dapat? Kalau boleh, kita pergi pada kaedah di mana mandat diberi Presiden UMNO untuk berbincang supaya adakan dua penjuru, begitu juga dengan mandat Pas sendiri dalam Majlis Syura supaya pertembungan tidak melebihi dua penjuru. Bincanglah kot (ikut) mana sekalipun, yang penting dua penjuru.
Keputusan PAS adalah bersifat semasa.
Ramai pihak mendakwa, sampai hari ini pun Pas masih lagi ingin bermain dua kolam. Apa komen Datuk?
Kita mesti kekal. Pas berada di dua kolam dan kita tahu kolam UMNO tak nak bercampur dengan kolam Bersatu. Kita menyatukan umat, mesti ada dalam dua-dua kolam. Kalau satu, kita telah memihak. Ini cerita lambang. Lambangnya PN tapi kolamnya masih dengan UMNO, masih dengan MN. Jadi, kami memang dua kolam.
Setiap kolam ada ikan masing-masing, tilapia atau apa jenis ikan sekalipun tidak kiralah, bergabung dua kolam ini, itu yang terbaik untuk umat. Di luar sana banyak kolam lagi, atas pagarnya, kita nak satukan kolam besar dulu.
Hubungan Pas dengan UMNO setakat ini bagaimana selepas Pas memilih untuk menggunakan logo PN?
Tak ada apa, macam biasa. Saya ada bincang dengan (Datuk Seri) Ahmad Maslan (Setiausaha Agung UMNO), kita bincang sikit-sikit kerana kita nyatakan komitken kita adalah kebersamaan.









