Bakal calon BN perlu tandatangani akuan bersumpah - Utusan Malaysia

Bakal calon BN perlu tandatangani akuan bersumpah

MOHAMAD Hasan bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan negeri angkat Parlimen Masjid Tanah di Masjid Tanah, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Setiap bakal calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dikehendaki menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi mengelakkan wakil rakyat yang menang atas tiket parti itu melompat parti.

Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, semua bakal calon perlu menandatangani aku janji dan dua atau tiga lagi perjanjian sebelum diberi tauliah.

Jelas beliau, langkah itu penting bagi memastikan kestabilan politik tanah air terutama di Melaka selepas berakhirnya PRN.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perjanjian ini dibuat kerana ketiadaan akta atau enakmen khusus dalam Parlimen mahu pun Dewan Undangan Negeri (DUN) terhadap aktiviti lompat parti.

“Beberapa perjanjian sudah dimuktamadkan dan SD adalah salah satunya. Ini sebagai peringatan kepada bakal calon bahawa jangan sewenang-wenangnya melompat parti,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan negeri angkat Parlimen Masjid Tanah dekat sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Kawasan-kawasan DUN dalam Parlimen Masjid Tanah akan diberikan kepada negeri angkat iaitu Negeri Sembilan dan Selangor.

Negeri Sembilan akan membantu di DUN Ayer Limau, Taboh Naning dan Lendu sementara Selangor di Kuala Linggi dan Tanjung Bidara.

Sementara itu, berhubung peletakan muka baharu pada PRN kali ini, Mohamad Hasan yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, ia adalah proses peremajaan dan transformasi parti seperti yang diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO lalu.

Menurutnya, para penyandang sedia ada juga memberi kerjasama yang baik memandangkan ada antara mereka sudah mewakili DUN selama tiga penggal.

“Sudah tiba masanya UMNO memberi laluan dan pendedahan kepada pemimpin pelapis agar proses peremajaan dan transformasi parti dapat dilakukan.

“Calon yang dipilih juga bukan sembarangan kerana mereka juga adalah pemimpin peringkat bahagian,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×