Wira penguat kuasa tak didendang - Utusan Malaysia

Wira penguat kuasa tak didendang

WAN Rosdy Wan Ismail (tengah) melihat ada keperluan menubuhkan pasukan elit di bawah Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) yang berperanan seperti Unit Tindakan Khas (UTK) polis. – FB WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WIRA tak didendang. Inilah frasa tepat bagi merujuk peranan berkesan, namun secara diam-diam ubi oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri dalam membanteras gejala penerokaan tanah secara haram. Pahang ialah satu-satunya negeri yang menubuhkan unit bersepadu ini, berupa gabungan keanggotaan beberapa jabatan dan agensi penguat kuasa termasuk Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Jabatan Perhutanan Negeri.

Berpedomankan ketegasan dan kemahuan politik tinggi Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail susulan suasana sosiopolitik negeri yang mengizinkan telah menjadi daya penggalak kepada UPNP menjayakan misinya.

Pedoman ini menurut Pengarah UPNP, Ahmad Rizal Ali adalah penting buat kesemua 164 anggota penguat kuasa di bawahnya agar berasa selesa dalam melaksanakan tugas mereka tanpa ragu-ragu atau takut.

Apatah lagi apabila ada kesedaran awam tentang pengaruh besar UPNP, mampu melancarkan lagi operasi mereka. Ahmad Rizal memberi contoh, dalam satu operasi telah cuba dihalang oleh pihak berpengaruh di kawasan berkenaan.

“Tapi bila pegawai penguat kuasa kami sebut mereka dari UPNP, pihak terbabit pun berlembut. Mungkin tahu UPNP dapat sokongan kuat Menteri Besar yang terbukti konsisten tegasnya,” katanya.

Antara kejayaan utama UPNP ialah pada November 2019 di bawah Ops Gading di Cameron Highlands termasuk Sungai Ichat membabitkan kawasan kira-kira 2,258 hektar atau bersamaan hampir 3,000 padang bola sepak yang 84 peratus daripadanya berjaya diambil tindakan.

Hasilnya, Ops Gading yang turut disertai jabatan dan agensi penguat kuasa lain diiktiraf berjaya. Di Sungai Ichat sendiri, air sungainya yang tercemar teruk Tahap 4 akibat gejala penerokaan tanah haram telah pulih sepenuhnya sehingga Tahap 1.

Dan sejak penubuhannya pada hujung 2019, UPNP telah menjalankan pelbagai siri penguatkuasaan melibatkan kesalahan-kesalahan bukan sahaja di bawah Kanun Tanah Negara (KTN) 1965, malah Enakmen Mineral Negeri 2001, Akta Perhutanan Negara 1984 dan Enakmen Sumber Air 2007.

LORI HANTU

Bagi 2021 sehingga 25 Oktober lalu sahaja, 100 kes tangkapan dibuat. Ia juga berjaya melakukan operasi serbuan, rampasan, sitaan jentera/kenderaan dan peralatan yang digunakan untuk menjalankan aktiviti perlombongan haram, pemindahan bahan batuan dan penerokaan tanah kerajaan.

Rampasan dan sitaan ini meliputi 62 jengkaut, 49 lori, 15 lori ‘hantu’, tujuh jentolak termasuk tiga lori panjang dan pengorek kaut (backhoe) serta satu traktor dan kenderaan pacuan empat roda, kesemuanya bernilai RM7.36 juta.

Begitu juga yang membabitkan peralatan iaitu 18 pam pasir, 10 pam air, lapan generator, dua enjin air serta masing-masing satu pontun, palong, dram (trommel) dan alat pengesan logam, kesemuanya bernilai RM180,500.

UPNP juga membuka 83 kertas siasatan membabitkan kesalahan di bawah KTN 1965, Enakmen Mineral Negeri 2001 dan Enakmen Sumber Air 2007 yang daripadanya, 28 dalam tindakan, 23 menunggu izin untuk dikompaun, 17 ditawarkan kompaun dan tujuh dilakukan pendakwaan.

Sepanjang 2021 setakat 25 Oktober lalu, UPNP mengeluarkan 25 tawaran kompaun bernilai RM948,000 yang daripadanya telah pun menerima kutipan bayaran RM351,000.

Selain itu, UPNP berjaya melakukan pendakwaan di Mahkamah Sesyen Raub pada 25 Oktober lalu bagi kesalahan di bawah Enakmen Sumber Air 2007 dengan denda RM70,000 dikenakan ke atas tertuduh. Ini julung kalinya pendakwaan dilakukan di bawah Enakmen Sumber Air 2007 sejak diwartakan.

MUSANG KING

UPNP turut menjalankan operasi penguatkuasaan bersama-sama Jabatan Perhutanan Negeri bagi memusnahkan tanaman durian Musang King secara haram dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub seluas 101 hektar.

Menyingkap sejarah penubuhannya, ia bermula dengan pertemuan Ketua Pengarah, Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) ketika itu, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dengan delegasi kerajaan negeri Pahang diketuai SUK Negeri, Datuk Seri Dr. Salehuddin Ishak.

Dalam pertemuan pada 26 April 2019 itu, Abu Kassim menyarankan kerajaan negeri menubuhkan sebuah badan penguat kuasa bersepadu melibatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan demi membanteras gejala penerokaan tanah haram.

Salehuddin menyahut saranan ini, lalu segera menganjurkan beberapa siri bengkel untuk memperhalusinya. Pada masa sama, cadangan penubuhannya diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang meluluskannya dalam mesyuarat, 9 Oktober tahun sama.

Sejak itu, bergeraklah UPNP dengan bidang kuasanya meliputi usaha menangani 88 jenis kesalahan di bawah 10 enakmen negeri dan empat akta Persekutuan serta melibatkan jabatan-jabatan berkepentingan. Selain PTG dan Jabatan Perhutanan Negeri ialah Jabatan Perikanan, Badan Kawal Selia Air (BKSA) di Pejabat SUK Negeri dan kesemua 11 Pejabat Daerah dan Tanah serta Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Setelah dua tahun berlalu, Wan Rosdy sendiri melihat ada keperluan menubuhkan apa yang dinamakan Pasukan Elit Penguatkuasa yang masih di bawah UPNP, tetapi dianalogikan seperti Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada peringkat awal, 20 orang dalam usia 35 tahun ke bawah terpilih menganggotainya. Bagi memantapkan kemahiran mereka, latihan selama sebulan termasuk cara penggunaan senjata api diadakan di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Galing, Kuantan yang tamat hujung bulan lalu.

Penubuhan Pasukan Elit Penguatkuasa ini adalah pelengkap dan dijangkakan usaha risikan seterusnya pembanterasan gejala penerokaan tanah secara haram dapat digiatkan, sekali gus membuktikan kerajaan negeri sangat serius dalam menangani isu ini.

PENULIS ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×