Alasan Pas mahu jadi pihak ketiga tidak logik - Utusan Malaysia

Alasan Pas mahu jadi pihak ketiga tidak logik

MOHD. YUSSOF LATIFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Veteran politik, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff menyifatkan alasan Pas untuk menjadi pihak ketiga yang menyatukan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai tidak logik dan tidak lagi relevan pada masa ini terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. 

Ini kerana kata beliau, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan parti yang ditubuhkan oleh bekas ahli-ahli UMNO dengan majoriti ahli Parlimennya Bersatu ialah ‘katak-katak’ yang melompat daripada UMNO. 

Apatah lagi ujarnya, Bersatu juga bukan parti Melayu sepenuhnya kerana turut menerima ‘katak-katak yang melompat daripada PKR. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apakah UMNO akan membiarkan ‘katak-katak’ itu untuk terus menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen setelah mengkhianati UMNO,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat memutuskan menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Melaka dengan mengambil kira pandangan Majlis Syura Ulama. 

Menurut Mohd. Yussof, adalah lebih baik jika Pas dapat memikirkan bagaimana parti itu boleh bersatu semula dengan Parti Amanah Negara (Amanah) daripada memujuk UMNO supaya menerima pengkhianat UMNO. 

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan keputusan Pas mengorbankan lambang pusaka parti tersebut untuk menyarung lambang PN dalam PRN Melaka sebagai amat menghairankan dan memalukan. 

Katanya, keputusan itu ibarat menggadaikan maruah parti tersebut demi kepentingan jawatan dan kedudukan para pemimpinnya. 

“Impian ummah sejak berpuluh-puluh tahun untuk melihat Pas dan UMNO bersatu kini dileburkan oleh Pas sendiri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×