PETALING JAYA: Kira-kira 80,000 pekerja penghantar atau rider mendakwa mereka terus `diabaikan’ kerana sehingga kini belum ada garis panduan dari segi perundangan berhubung pekerjaan mereka.
Sejak industri kerja sebagai penghantar berkembang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan pada 2019 kerajaan seolah-olah belum `mengiktiraf’ aktiviti ekonomi gig tersebut.
Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Zulhelmi Mansor berkata, perkara paling merisaukan ialah belum ada garis panduan, badan kawal selia dan undang-undang untuk melindungi pekerja penghantar tersebut.
Menurut beliau, undang-undang atau garis panduan khas penting bagi menjaga keselamatan, kebajikan dan keadilan pekerja penghantar yang semakin berkembang.
Katanya, ini kerana semakin hari semakin banyak gesaan dilontarkan oleh pekerja berkenaan kepada kerajaan yang meminta permasalahan mereka seperti mendakwa ditindas oleh syarikat perkhidmatan diambil berat.
“Masalah penindasan boleh berlaku kerana perkara pokoknya adalah penghantar-penghantar berkenaan tidak dilindungi di bawah mana-mana akta atau dasar kerajaan.
“Gig ekonomi adalah ekonomi baharu masa hadapan dan kita mahu ia terus berkembang dengan sihat, maka sekiranya tidak ada akta dan badan kawal selia, sudah pasti tiada jaminan perlindungan kepada penghantar,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi semalam.
Ogos lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, dasar bagi mengawal selia perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing) akan dibentangkan ke Kabinet, dalam masa terdekat.
Dasar itu, antara lain memuatkan perincian mengenai caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) penunggang, had kandungan dibenarkan selain aspek keselamatan jalan raya.
Mengulas cadangan kerajaan tersebut, Zulhelmi berkata, garis panduan yang bakal disediakan kerajaan perlu bersifat mesra penghantar agar tidak membebankan golongan penghantar kelak.
“Kita tidak nafikan kerangka P-Hailing itu ada baiknya kerana setidaknya boleh mengawal lambakan penghantar dan melahirkan rider yang profesional,” katanya.
Selain itu, katanya, pihaknya berharap kerajaan menambah baik Bajet 2022 dengan memberi fokus kepada keadaan kumpulan penghantar.
“Contohnya memberi insentif khas bantuan one-off kepada penghantar kerana mengambil kira faktor kos penyelenggaraan motosikal, penggunaan petrol yang ditanggung rider yang secara tidak langsung boleh membantu kelangsungan ekonomi negara,” kata beliau.
Selain itu, tambah beliau, badan kawal selia khas kepada kumpulan tersebut perlu ditubuhkan bagi melindungi kebajikan, keselamatan dan keadilan serta penglibatan Penghantar untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam menjaga kebajikan penghantar.
Sementara itu, seorang penghantar yang juga lulusan sains sukan dari sebuah universiti, Muhammad Nur Asraf Ismail, 24, berkata, masa depan yang tidak menentu dan kerja yang berisiko sentiasa menjadi kebimbangannya ketika ini.
Katanya, kemalangan boleh berlaku bila-bila masa walaupun memang menitikberatkan aspek keselamatan.
Menurutnya, dia memilih menjadi penghantar kerana mahukan wang dengan segera sebelum mendapat pekerjaan yang lebih stabil selain upahnya pun agak lumayan.- UTUSAN










