Elak cerai sebab remeh-temeh - Utusan Malaysia

Elak cerai sebab remeh-temeh

Mengadakan kenduri kahwin yang sederhana lebih menepati syarak dan tetap mencapai objektifnya iaitu memaklumkan kepada masyarakat. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

Laporan Utusan Malaysia hari ini tentang sejumlah 86,468 kes perceraian berlaku dalam tempoh wabak Covid-19 sejak tahun 2020 hingga bulan lalu adalah sesuatu yang menggusarkan.

Isteri suka menghabiskan masa melayan permainan dalam talian, PUBG antara punca remeh kes perceraian berlaku melibatkan pasangan Islam di negara ini yang direkodkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Kepada Utusan Malaysia, Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, ia berdasarkan informasi diterima hakim yang mengendalikan kes-kes cerai berkenaan yang antara sebab lain direkodkan ialah isteri terlalu minat pelakon Aaron Aziz akibat cemburu melampau.

Katanya, ada juga antara kes pasangan bercerai hanya semata-mata isteri ingkar arahan suami tidak makan mi segera semasa hamil selain ada dalam kalangan isteri melaksanakan perniagaan produk Tupperware sehingga rumah penuh berselerak dengan barangan itu sehingga suami tidak tahan dengan sikap tersebut.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia, PROF. MADYA DR. YASMIN HANANI MOHD. SAFIAN bagi mengupas isu ini.

DR. YASMIN HANANI MOHD. SAFIAN

Beliau juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keluarga dan Wanita Majlis Agama Islam Selangor.

==================================================================

Adakah ini menunjukkan rapuhnya sistem kekeluargaan Islam walaupun pelbagai usaha dijalankan oleh pihak berkuasa agama termasuk mewajibkan kursus praperkahwinan?

Dalam Islam, perkahwinan adalah sesuatu yang disyariatkan bagi menjaga keturunan manusia. Perkahwinan haruslah didasari prinsip mawaddah wa rahmah.

Ia sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. (al-Rum: 21)

Namun adakalanya kasih sayang dan kemesraan itu tidak berkekalan walaupun pelbagai usaha seperti seminar, kursus dan pelbagai aktiviti diadakan oleh pihak berkuasa agama, pertubuhan dakwah Islam dan orang perseorangan untuk memantapkan sistem perkahwinan Islam.

Data di Negeri Selangor pada tahun 2020 juga menunjukkan bahawa 21,004 perkahwinan keluarga Islam didaftarkan manakala sebanyak 7,683 kes penceraian direkodkan.

Selain kursus praperkahwinan, pihak berkuasa agama juga memberi bimbingan dan kaunseling sebelum perceraian berlaku. Namun kita juga harus sedar, Islam tidak mengharamkan perceraian secara mutlak.

Ini kerana ada kalanya perceraian adalah langkah terakhir bagi menyelesaikan kemelut yang berpanjangan dan boleh menghentikan penderaan fizikal, emosi, kewangan dan seksual yang dihadapi oleh keluarga berkenaan.

Walaupun demikian, kita juga harus mengekang perceraian daripada isu remeh-temeh yang sebenarnya menuntut kesefahaman antara kedua belah pihak. Perceraian lazimnya berlaku kerana dua sebab; sebab yang daruri dan sebab yang tidak daruri.

Maka pasangan Islam harus bijak membezakan perceraian yang perlu dan manakah perceraian yang tidak perlu. Masyarakat Islam harus matang berhadapan dengan perbezaan individu dan meraikan sikap pasangan masing-masing.

Toleransi dan sabar adalah dua kunci utama untuk memastikan akad perkahwinan yang dimeterai berkekalan dalam harmoni.

Antara punca berlaku perceraian adalah kegagalan pasangan suami isteri mengekal dan membugar rasa kasih sayang waima di awal percintaan dahulu. Bagaimana membetulkan keadaan ini?

Keutuhan dan kebahagiaan dalam keluarga Islam perlu kepada tanggungjawab kedua belah pihak. Islam tidak menetapkan hanya isteri perlu berkorban rasa dan jiwa untuk keluarga. Islam juga menetapkan suami juga perlu sama-sama berusaha mengekalkan keharmonian hidup berumah tangga.

Saidina Umar al-Khattab pernah memberi nasihat kepada seorang lelaki yang tidak mempunyai ihsan dan rahmah terhadap keluarganya.

Bukanlah seorang lelaki yang baik jika berkasar terhadap isteri tetapi pada malam hari dia mendatangi isteri di tempat tidur. Sedangkan Rasulullah SAW sendiri bersabda; Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluarganya. (Riwayat Tirmidzi)

Begitu juga para isteri, jika sebelum berkahwin boleh berlemah lembut dengan bakal suami, sepatutnya sikap terpuji ini dikekalkan selepas berkahwin. Suami isteri juga harus mempunyai rasa malu dan hormat kepada pasangan masing-masing. Apabila rasa hormat sudah hilang, maka pasangan akan rasa tidak dihargai dan disayangi.

Mengapa suami/isteri hilang rasa hormat? Kerana mereka berasa pasangan mereka bukanlah individu penting dalam hidup mereka, pasangan mereka tidak menambah sumber rezeki atau tidak mampu memberi kebahagian dunia dari sudut material.

Suami isteri harus faham bahawa perasaan sayang sahaja tidak cukup tanpa disertai perasaan kasihan dan hormat kepada pasangan masing-masing. Hilang hormat, hilang kasihan maka akan pudarlah seri perkahwinan dan mawaddah yang diimpikan.

Ada juga segelintir pemuda Islam yang terikut-ikut dengan budaya Barat. Antaranya melamar wanita di khalayak ramai. Apakah ia dibenarkan oleh agama?

Islam sejak dahulu telah memberi garis panduan lengkap tata cara meminang dan akad nikah. Malah tata cara bercerai dan rujuk juga disediakan untuk panduan.

Semua tatacara ini wujud dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di setiap negeri. Semua peraturan, hukum dan enakmen ini diwujudkan menunjukkan Islam memandang tinggi institusi perkahwinan sebagai nukleus masyarakat. Membina masyarakat dan negara bertamadun adalah bermula daripada keluarga bahagia.

Namun, kita juga harus menyedari dalam dunia tanpa sempadan kini, umat Islam terdedah dengan pelbagai budaya luar yang asing daripada ajaran Islam.

Apa pun budaya yang ingin dibawa, umat Islam haruslah mempunyai filter yang jelas untuk membezakan perkara yang disyariatkan atau tidak.

Upacara seperti pemberian hadiah, majlis yang tidak melampau adalah sesuatu yang boleh diterima. Ia berdasarkan Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Berilah hadiah kerana (hadiah) akan menambah kasih sayang.” Siapa lagi yang layak untuk menerima hadiah selain orang yang paling kita sayang dalam hidup? (Riwayat Bukhari)

Namun, harus juga diingat apa jua acara sama ada untuk melamar, berkahwin, bersanding atau bercerai haruslah dijauhkan daripada unsur haram dan syirik.

Ini termasuklah upacara bergambar sebelum berkahwin yang melanggar batas syarak dengan bersentuhan dan membuka aurat.

Upacara ketika hamil dengan petua melahirkan anak yang tidak ada dalam Islam dengan bacaan mantera yang tidak diketahui maksudnya, membuat ramalan ketika berkahwin atau mengandung dan pelbagai lagi harus dielak.

Islam adalah agama yang sangat indah dan cantik. Perkahwinan dimulakan dengan khitbah (pertunangan), pernikahan dengan kehadiran wali dan saksi bagi menunjukkan bahawa ikatan perkahwinan yang suci dimulai dengan restu keluarga.

Islam juga mengajar jika berlaku perceraian ia perlu berlaku dengan makruf. Suami tetap wajib memberi nafkah mengikut peraturan ditetapkan. Apabila berlaku kelahiran, kita juga dituntut melaksanakan akikah dan anak diberi nama yang baik.

Jauhi aktiviti yang khurafat yang menyalahi syarak seperti memakai tangkal pada bayi atau ibu.

Namun, apa sahaja upacara keraian selama mana tidak membazir dan tidak melanggar batas syarak adalah dibenarkan. Contohnya, memberi makan kepada ahli keluarga dan jiran tetangga.

Islam galakkan memberi kegembiraan kepada masyarakat dan tidak dimulakan dengan niat untuk membesar-besarkan diri dan takbur. Itulah keindahan hidup berkeluarga dalam Islam, saling berkasih-sayang bukan sahaja dengan keluarga malah dengan masyarakat sekeliling.

ISTERI ketagih permainan PUBG adalah antara alasan remeh berlaku perceraian.

Bukan semua dalam perkahwinan itu manis. Ada yang pahit. Bagaimana Islam mengajar kita menerima kelebihan dan kekurangan pasangan dalam menjadikan rumah tangga agar penuh mawaddah warahmah?

Hidup adalah ujian seperti mana firman Allah: Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. (al-Mulk: 2)

Antara ujian Allah ialah menjadikan manusia berbeza akal fikiran, sikap dan kegemaran. Maka inilah cabaran suami isteri untuk menyesuaikan diri dengan pasangan masing-masing.

Sebab itu, kenali diri kita dahulu sebelum berkahwin, adakah kita manusia yang mudah bertoleransi. Jika ya, maka anda tidak kisah siapapun pasangan anda. Namun jika kita bukanlah manusia yang mudah bertoleransi, carilah pasangan yang mempunyai sikap, kecenderungan dan minat yang hampir sama dengan kita.

Manusia yang paling bijak bukanlah dinilai semata-mata dengan ketinggian IQ dan keintelektualannya. Sebaliknya manusia yang paling bijak menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling terutama dengan pasangannya.

Manusia yang bijak juga mengambil sisi positif daripada pasangannya sebagai motivasi untuk dirinya, manakala sisi negatif pasangannya perlu dilihat sebagai pengajaran.

Dalam masa yang sama, menegur pasangannya jika ada sikap pasangan yang melanggar syarak dan peraturan. Menyeru amar dan menegah mungkar dengan cara paling berhikmah perlu diterapkan dalam kehidupan berkeluarga.

Inilah petua agar mawaddah dan rahmah sentiasa berkekalan. Jagalah hati manusia tetapi tidak melanggar perintah Allah SWT.

Antara hikmah perintah kawalan pergerakan (PKP) adalah majlis kenduri kahwin dijalankan secara amat sederhana. Apakah cara yang sebenar mengadakan majlis kenduri?

Walimah atau kenduri kahwin adalah disyariatkan dalam Islam seperti mana hadis nabi ketika perkahwinan antara Saidina Ali dan puteri baginda Saidatina Fatimah.

Tujuan utama adalah menghebahkan kepada masyarakat bahawa pasangan tertentu telah berkahwin. Ia bagi mengelakkan fitnah di samping berkongsi kegembiraan bersama. Hadis Nabi menyebut bagaimana walimah diadakan sekalipun menyembelih kambing dan dimakan bersama. (Riwayat Muslim)

Namun apa pun, konsep walimah dalam Islam perlulah bersederhana, jauhi sifat riak dan takbur. Kita digalakkan memberi makan dan bergembira namun dengan had yang tertentu. Ia mestilah tidak membazir dan bukan bertujuan membanding-bandingkan dengan orang lain. Islam juga menegah membezakan tetamu kaya dan miskin malah layanan sama rata harus diberikan.

Hikmah PKP di mana walimah hanya boleh diadakan seringkas mungkin adalah bertepatan dengan roh syarak yang menganjurkan sesuatu itu dilakukan secara sederhana. Namun tetap boleh mencapai objektif walimah iaitu pemakluman kepada masyarakat.

Masyarakat kita harus dididik dengan perancangan kewangan keluarga yang betul. Pelaburan selepas perkahwinan adalah lebih penting berbanding melaburkan wang yang banyak ketika walimah.

Yang menyedihkan, ramai sanggup berhutang untuk buat kenduri kahwin besar-besaran sedangkan walimah begini tidak dituntut syarak kerana membebankan umat Islam.

Semoga ibrah buat walimah musim Covid-19 secara sederhana dapat diteruskan pada musim normal nanti.

Kita biasa mendengar perihal isteri yang nusyuz. Namun ada juga kisah bapa yang derhaka apabila tidak memilih ibu yang baik untuk anak-anaknya. (kisah dengan Khalifah Umar) Berdasarkan kisah ini, apa nasihat Dr. kepada bakal suami dalam memilih calon isteri?

Derhaka ini bukan terhad kepada anak-anak sahaja malah boleh berlaku kepada bapa dan ibu juga. Proses untuk mengelakkan gejala derhaka ini boleh dibuat seawal pemilihan calon pasangan. Lelaki perlu mencari calon isteri solehah dan begitu juga wanita perlu mencari calon suami soleh.

Antara kriteria utama mencari pasangan ialah agama dan akhlak, keturunan yang baik, berharta, elok paras rupa dan berkemampuan melahirkan anak yang ramai. Namun kriteria agama dan akhlak adalah paling penting ditekankan oleh Nabi SAW.

Dua kriteria inilah yang akan memastikan bakal bapa dan ibu mampu mengemudi keluarga mengikut landasan agama; menyembah dan mengesakan Allah, memastikan keluarga hidup dalam ketaatan dan menjauhi kemaksiatan dan sentiasa mencari keredaan Allah.

Inilah kriteria yang diutamakan dalam pemilihan isteri seperti hadis Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW telah menegaskan bahawa pilihlah wanita yang beragama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN