ADUN lompat akan khianati PH - Syed Saddiq - Utusan Malaysia

ADUN lompat akan khianati PH – Syed Saddiq

muda
SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa Pakatan Harapan (PH) supaya tidak mencalonkan mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau mengakui akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada PH, tetapi tidak boleh menerima hakikat jika gabungan pembangkang itu benar-benar memberikan peluang kepada ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad untuk bertanding.

“Saya mahu PH menang di Melaka. Saya mempertahankan mandat rakyat bersama PH apabila bekas parti saya mengkhianati rakyat. Saya tidak menyertai dan tidak pernah mendaftar untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) sejak hari pertama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya menyokong idea kesatuan pembangkang dan saya menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri. Malah, saya diugut dan didakwa di mahkamah kerana mempertahankan mandat rakyat.

“Di sebalik semua yang kita alami bersama, nampaknya PH yang saya bekerjasama rapat lebih suka berunding dengan pelompat parti yang tidak berprinsip daripada bekerjasama dengan sekutu rapat dan setia seperti saya. Mereka lebih melihat kepada nilai dalam katak politik yang tidak berprinsip, ini benar-benar tragis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Saddiq yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) turut mengemukakan beberapa sebab mengapa PH perlu menolak wakil rakyat yang melompat parti dalam PRN Melaka.

“Sebaik sahaja mereka mengkhianati mandat rakyat dan merampas kuasa daripada rakyat, mereka akan melakukannya lagi dan lagi. Jangan sekali-kali letakkan kita dalam bilik yang sama dengan pengkhianat. Penyokong kita berhak dilayan lebih baik daripada itu. Rakyat berhak dilayan lebih baik daripada itu.

“Jika kita melakukannya, kita akan menjadi tidak berprinsip seperti mereka yang ingin kita lawan,” katanya.

Beliau juga menganggap perjuangan PH yang selama ini mahukan undang-undang antilompat parti kini boleh dipertikai.

“Bagaimanakah cara untuk memperjuangkan rang undang-undang antilompat parti apabila kita sama-sama bersalah dalam perkara yang sama? Bagaimanakah kita hendak menghukum mereka yang merancang Langkah Sheraton sedangkan kita menyokong perkara yang sama?

“Kita mempunyai kewajipan moral untuk bekerjasama dengan niat baik, dengan mengumpulkan sekumpulan ahli pembangkang yang bersemangat, bekerja keras dan jujur. Adakah perlu tiba-tiba berganding bahu dengan pengkhianat? Adakah kita kekurangan individu untuk mendapatkan calon yang lebih baik?

“Saya benar-benar percaya bahawa blok pembangkang jauh lebih besar daripada bayang-bayang pengkhianat ini,” katanya.

Pada masa sama, Syed Saddiq menyifatkan Idris mahu menjatuhkan kerajaan negeri dan menyertai PH kerana beliau mempunyai agenda peribadi iaitu memburu jawatan ketua menteri, bukan kerana beliau benar-benar hilang kepercayaan terhadap UMNO.

“Idris Haron melompat dari UMNO ke PH semata-mata untuk dinamakan sebagai bakal Ketua Menteri. Beliau tidak melakukannya kerana percaya secara tiba-tiba bahawa UMNO adalah ancaman kepada rakyat Melaka dan beliau juga tidak melompat kerana beliau pengkritik UMNO.

“Kita sudah boleh melihat di mana hatinya sejak dari awal. Bukan untuk Melaka, bukan untuk rakyat dan lebih-lebih lagi bukan untuk PH. Malah terdapat perbualan yang bocor di mana Idris Haron membayangkan bahawa dia okey dengan UMNO dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tapi bukan dengan segelintir pemimpin parti. Jadi, apa yang membuatkan mana-mana pihak terfikir yang masih ada kesetiaan dan kredibiliti daripada pengkhianat ini?” soalnya.

Justeru, Syed Saddiq meminta kepimpinan tertinggi PH supaya mempertimbangkan kedudukan ADUN lompat dengan sewajarnya sebelum membuat keputusan muktamad.

“Mengkhianati parti dan gabungan sendiri bukan perkara kecil. Mereka tidak dipaksa untuk mengkhianati PH. Mereka tidak kisah untuk menjatuhkan kerajaan negeri Melaka dua kali dan mereka akan berbesar hati untuk melakukannya kali ketiga.

“Kepada rakan-rakan PH, saya menyeru anda untuk membuat keputusan yang betul. Fokus untuk membina kesatuan pembangkang. Fokus pada rakyat,” katanya.-UTUSAN ONLIJNE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×