KUALA LUMPUR: Keputusan Pas yang menetapkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) tidak akan mempengaruhi keadaan politik di Kelantan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, sehingga hari ini beliau mempunyai hubungan yang baik dengan Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob, sekali gus menegaskan masalah yang berlaku di Melaka sudah pasti akan menjadi ‘seruan’ supaya parti parti politik Melayu untuk terus bekerjasama.
“Bagi saya apa yang berlaku di Melaka nanti bukanlah memuktamadkan segala-galanya, mungkin jika kita ambil dari sudut negatif, kita melihat kepada perpecahan, tapi kalau dari sudut positif, kita mesti melihat selepas ini perlu memperbaiki kelemahan dan apa sebenarnya kehendak rakyat.
“Melaka ini boleh dianggap sebagai medan percubaan untuk melihat kehendak rakyat sebelum kita menghadapi suatu peperangan yang lebih besar di peringkat pusat dan mungkin keputusan di Melaka ini akan memberi satu wake up call kepada semua pemimpin terutama parti-parti Melayu ini untuk menyedari apa yang diinginkan oleh rakyat.
“Saya ingin tegaskan, Kelantan tidak akan terheret dalam soal kancah politik yang berlaku di Melaka,” katanya.
Semalam, Pas telah membuat ketetapan untuk meneruskan kerjasama dengan PN.
“Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang berlangsung pada 1 November 2021 di Pejabat Agung Pas Pusat telah meluluskan penggunaan lambang Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Negeri Melaka.
“Ketetapan ini telah mengambil kira panduan yang diberikan oleh Majlis Syura Ulama PAS yang bersidang pada 31 Oktober 2021, selaras dengan peruntukan Fasal 84 Perlembagaan Pas,” kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan. -UTUSAN ONLINE











