KUALA SELANGOR: Kreatif serta menarik inisiatif yang dilakukan Sekolah Kebangsaan Puncak Alam di sini apabila menampilkan maskot harimau dan panda sebagai cara meraikan murid-murid kembali ke sekolah.
Malah, lagu animasi kanak-kanak seperti ‘Upin dan Ipin’ serta ‘Didi & Friends’ turut dikumandangkan sejak pukul 6.45 pagi bagi memeriahkan hari pertama persekolahan selepas lebih enam bulan pelaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR).
Menurut Guru Besarnya, Norhamidi Mohd. Ansor, inisiatif meraikan murid-murid ke sekolah adalah untuk mengurangkan rasa gementar kanak-kanak terutama bagi murid tahun satu yang baru tiga bulan hadir ke sekolah tahun ini.
“Selepas beberapa bulan tidak bersekolah, jadi, kami kena adakan satu tarikan supaya murid-murid teruja untuk datang semula ke sekolah. Saya dapat maklum balas daripada ibu bapa, mereka memang teruja hendak datang ke sekolah.
“Memang ada kebimbangan, tetapi syukur, guru-guru sudah 100 peratus menerima vaksin dan pada hari Jumaat lepas kami adakan libat urus bersama ibu bapa dan mereka faham persediaan pembukaan sekolah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, murid-murid tahap satu melibatkan tahun satu, dua dan tiga di sekolah-sekolah Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka memulakan sesi persekolahan bersemuka semalam.
Pengoperasian sekolah itu selepas dua minggu negeri-negeri berkenaan memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang turut melibatkan kemasukan murid Tingkatan 3 dan Tingkatan 4 sekolah menengah.
Sementara itu, ibu bapa memaklumkan anak-anak mereka teruja untuk kembali ke sekolah, malah mereka turut berharap sesi persekolahan secara bersemuka dibenarkan memandangkan berlaku ketinggalan dalam silibus pembelajaran.
Khairi Ibrahim yang tinggal di Puncak Alam memberitahu, beliau bimbang terhadap pembelajaran anaknya menerusi PdPR kerana dikhuatiri tertinggal banyak perkara kerana kurang pemantauan.
Sementara itu, Nuramirah Mior Abd Malik memaklumkan anaknya yang bersekolah Darjah 1 tidak mempunyai masalah dalam PdPR, tetapi menyifatkan kaedah itu tidak sesuai untuk pembinaan sosial dengan orang lain.
“Sepatutnya sekolah bukan sahaja untuk belajar, tetapi berkomunikasi secara bersemuka dengan guru dan rakan-rakan. Bila terlalu lama melalui PdPR, saya risau anak akan sukar untuk melalui proses perkembangan pembelajaran kerana tidak bertemu rakan-rakan sebaya,” jelasnya.
Bagi, Zabidin Shukor pula, dia kembali kepada rutin harian menghantar dua cucunya ke sekolah setiap hari dan menganggap pembukaan sekolah sebagai penting supaya pembelajaran murid lebih terjamin.
“Ibu dan ayahnya bekerja, bila belajar secara PdPR saya risau pembelajarannya banyak terganggu. Sekurang-kurangnya bila pergi ke sekolah ada guru yang memantau secara terus dan bersemuka. Teguran dan didikan secara bersemuka lebih membina,” ujarnya.- UTUSAN











