PERNAHKAH kita terfikir, adakah penghuni di kawasan perumahan kos rendah seperti projek perumahan rakyat (PPR), perumahan awam (PA), serta flat-flat pernah memiliki cita-cita untuk keluar dari kediaman mereka, keluar dari rumah sewa dan memiliki kediaman sendiri?
Soal perumahan kos rendah ini sering kali tertumpu di kawasan yang pesat membangun seperti Kuala Lumpur. Maka ia berkait dengan miskin bandar.
Antara dua aspek yang ditekankan dalam polisi pembangunan perumahan adalah reka bentuk dan kadar harga. Ini merangkumi aspek pembinaan, kualiti serta keupayaan untuk memiliki rumah berkenaan.
Sejak pandemik berlaku, dikenal pasti satu bentuk kemiskinan baharu yang dipanggil sebagai kemiskinan ruang, yakni saiz rumah yang tidak setanding dengan jumlah isi rumah. Misalnya, rumah kecil di unit PPR yang perlu menampung bilangan anak-anak yang ramai.
Ini selari sepertimana pernah dinyatakan oleh Institut Kajian Khazanah (KRI) bahawa rata-rata polisi perumahan banyak mencakupi kemampuan, tetapi tidak menyantuni komponen kecukupan dan kesesuaian yang berupaya untuk mempertingkatkan kesejahteraan penghuni.
Kompendium analisis Miskin Bandar dan Pandemik Covid-19 menyatakan, keluasan sebahagian besar saiz rumah kos rendah seperti flat atau PPR adalah kira-kira 530 hingga 650 kaki persegi (49 hingga 60 meter persegi). Ini dipercayai tidak bersesuaian dengan komposisi jumlah penghuni rumah.
Dasar Perumahan Negara (DRN) 2018-2025 di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kemudiannya membuat ketetapan, keluasan minimum bagi rumah mampu milik di negara ini haruslah sekurang-kurangnya 900 kaki persegi (83.6 meter persegi).
Laporan KRI turut menyatakan, pentingnya keperluan terhadap saiz standard perumahan yang diukur melalui ruang lantai kasar (GFA) yang merupakan salah satu spesifikasi bagi pembinaan rumah.
Antara dimensi yang boleh diguna pakai terhadap pengukuran GFA adalah dengan mengambil kira keluasan ruangan tertentu termasuk bilangan isi rumah berkenaan. Maka di situlah standard tersebut berupaya untuk ditentukan kerana konsep One size fits all adalah bersifat terlalu umum.
Sehubungan itu, apabila kita membicarakan soal miskin bandar, perbincangan mengenai hal ini sentiasa diketengahkan dalam kebanyakan libat urus, baik dalam kalangan kerajaan, blok pembangkang, mahupun anggota kuasa ketiga seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya.
Seterusnya, jika dilihat dari insiden kemiskinan dalam negara serta inti pati yang terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) misalnya insiden kemiskinan mutlak dicatatkan pada 1989 adalah sebanyak 16.5 peratus, 5.6 peratus pada 2019 dan meningkat kepada 8.4 peratus (2020). Peningkatan semula kadar ini pada 2020 diyakini disebabkan oleh faktor pandemik.
RMK12 meletakkan sasaran kadar kemiskinan dijangka menurun kepada 4.2 peratus. Secara peribadi, peratusan ini mungkin tidak mustahil tetapi kedengaran agak radikal terutama apabila memikirkan kemiskinan bandar yang hakikatnya masih kritikal.
URBANISASI
Jika dilihat kepada miskin bandar pula, kajian daripada Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (Inspek) menyatakan, jumlah miskin tegar yang dicatatkan adalah sebanyak 81,063 orang dan golongan miskin sebanyak 22,861 orang. Jumlah bagi kedua-dua ini adalah sebanyak 103,924 orang.
Namun, ini hanyalah bilangan yang direkodkan oleh data sahaja. Hakikatnya, kita percaya jumlah golongan miskin adalah lebih tinggi dan lebih kompleks serta menjangkau apa yang dapat direkodkan oleh data dan statistik.
Dalam tempoh pandemik, meskipun golongan yang tinggal di perumahan kos rendah (PPR dan PA) menerima subsidi sewa dan malahan diberikan pelbagai bentuk bantuan oleh pihak kerajaan, namun mereka masih juga dihimpit dengan kesusahan dan kekangan ekonomi yang berterusan bahkan semakin mencengkam.
Hal demikian ini kerana bentuk-bentuk bantuan yang diberikan hanyalah bersifat jangka pendek. Mungkin sudah tiba masanya kita memikirkan satu solusi yang konkrit untuk mengeluarkan mereka dari kemiskinan jangka masa panjang di samping membasmi kemiskinan secara lebih serius.
Kesemua permasalahan ini, membawa kepada persoalan terkait iaitu kerelevanan untuk mewujudkan satu kiraan baharu yang merujuk kepada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang lebih khusus terhadap golongan miskin bandar.
Cabaran dan kesusahan yang dilalui oleh golongan miskin bandar dan luar bandar sudah tentunya berbeza. Kos sara hidup dan kadar pendapatan berbeza mempengaruhi percaturan kewangan dan ekonomi seseorang bergantung kepada tahap pembangunan dan kemajuan semasa.
Kemiskinan (terutamanya miskin bandar) tidak lagi memadai jika hanya diukur semata-mata melalui PGK isi rumah. Selain itu, antara aspek yang boleh diberi pujian dalam RMK12 adalah bilamana konsep Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) mula diberikan pengiktirafan dalam pengukuran kemiskinan, selain hanya bergantung kepada jumlah pendapatan isi rumah semata-mata.
Pendapatan bukanlah lagi instrumen yang paling tepat untuk mengukur tahap kemiskinan. Pakar-pakar ekonomi kini malahan juga mencadangkan pendekatan MPI yang membolehkan dimensi lain turut diambil kira dalam mengukur kemiskinan.
Miskin bandar yang sangat sinonim dengan proses pemberdayaan urban (urbanisasi) telah melahirkan satu dilema baharu miskin bandar yang menuntut naratif yang lebih segar.
Usaha untuk membasmi kemiskinan merupakan antara agenda utama yang sentiasa dimasukkan dalam pelan pembangunan, dasar dan polisi negara sejak dari zaman kemerdekaan dahulu.
Pada ketika ini, kemiskinan tidak lagi hanya berkisar soal kekurangan atau kekangan pendapatan yang terhad tetapi juga terkait dengan kekurangan keupayaan yang pelbagai dalam ruang lingkup kitaran kemiskinan ini.
PENULIS ialah pegawai penyelidik kepada seorang ahli Parlimen.









