Mukadimah
Dalam mengharungi badai pandemik Covid-19, antara sektor yang terjejas teruk adalah ekonomi. Di pihak kerajaan, berbilion ringgit telah diperuntukkan bagi membaikpulih keadaan negara. Sementara itu, di pihak rakyat jelata yang terjejas teruk pula, mereka tiada pilihan melainkan terpaksa mengeluarkan wang simpanan persaraan masing-masing.
Dalam soal inilah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memainkan peranan membantu masyarakat yang terkesan. Sejak Covid-19 mula menyerang, sekurang-kurangnya tiga program pengeluaran berimpak tinggi telah diperkenal, membabitkan ratusan bilion ringgit.
Namun timbul persoalan, apa pula kesan program-program tersebut terhadap institusi itu? Adakah KWSP turut terheret ke dalam kancah kemerosotan kewangan susulan pengeluaran deposit besar-besaran?
Ikuti wawancara yang disertai wartawan Mingguan Malaysia, FAHMI FAIZ bersama Ketua Pegawai Strategi KWSP, NURHISHAM HUSSEIN ini. Ia turut dibantu jurukamera AMIR KHALID.
MINGGUAN MALAYSIA: Apa itu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)?
NURHISHAM: KWSP merupakan dana simpanan persaraan terbesar di Malaysia dan yang tertua di dunia. Ditubuhkan pada 1951, KWSP membantu tenaga kerja Malaysia menabung untuk persaraan mereka selaras dengan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991.
Apa yang KWSP buat dengan wang caruman yang disimpan? Adakah dilaburkan di tempat lain?
Selaras dengan mandat utama KWSP dalam pengurusan simpanan persaraan, caruman yang diterima daripada ahli adalah dilaburkan di dalam aset-aset pelaburan yang dibenarkan di bawah Seksyen 26 Akta KWSP 1991, termasuk Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Setara; Ekuiti; Pinjaman dan Bon; Instrumen Pasaran Wang; dan Hartanah dan Infrastruktur.
Dana pelaburan KWSP diuruskan dengan dua objektif pelaburan jangka panjang yang utama – untuk memelihara dan meningkatkan nilai modal daripada sumbangan ahli; dan untuk mengekalkan pulangan stabil dan konsisten jangka panjang dalam batasan risiko yang boleh diterima.
Adakah wang caruman pekerja yang disimpan oleh KWSP, dijamin oleh kerajaan? Apa jaminan bahawa wang yang disimpan ini selamat?
KWSP merupakan pemegang amanah dan agensi pelaksana yang diletakkan di bawah Kementerian Kewangan.
Peranan dan bidang kuasa KWSP adalah dinyatakan dengan jelas di dalam Akta KWSP 1991. Standard tadbir urus korporat yang sewajarnya adalah ditetapkan pada proses operasi dan peringkat pembuatan keputusan bagi memastikan KWSP dapat menjalankan tugas dan fungsi bagi melindungi simpanan persaraan ahli, selain mempertingkatkan akauntabiliti dan ketelusan pentadbiran.
LEBIH RM100 BILION DIKELUARKAN
Berapa jumlah tabungan wang caruman KWSP yang dikeluarkan pencarum susulan pengenalan program i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra? Difahamkan, lebih RM100 bilion?
Amaun pengeluaran yang diluluskan bagi pengeluaran i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra adalah seperti berikut, iaitu i-Lestari berjumlah RM20.78 bilion melibatkan 5.27 juta ahli, bagi i-Sinar pula ia berjumlah RM58.78 billion dan melibatkan 6.57 juta ahli.
Sementara itu, bagi akaun i-Citra, ia berjumlah RM21.45 bilion melibatkan 5.20 juta ahli. Ini menjadikan jumlah yang telah diluluskan di bawah ketiga-tiga pengeluaran tersebut adalah RM101.01 bilion.
Apa kesan terhadap KWSP apabila lebih RM100 bilion dikeluarkan pencarum yang terkesan akibat pandemik sehingga 2021? Adakah dana tabungan KWSP terjejas?
Berikutan caruman yang lebih rendah bagi tahun 2020, kemampuan KWSP dalam menyesuaikan diri dengan keperluan semasa telah memastikan pelaburannya dapat memberikan pulangan mampan jangka panjang dalam keadaan norma baharu.
Tindak balas pantas KWSP dalam mengadaptasi strategi dan proses pelaburan telah berjaya memastikannya mampu mencapai prestasi yang optimum. Pada 2020, KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar tertinggi iaitu RM60.98 bilion.
Untuk separuh tahun pertama berakhir 30 Jun 2021 (1H 2021) pula, KWSP mencatat jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM34.05 bilion, iaitu peningkatan sebanyak RM6.79 bilion atau 25 peratus, berbanding RM27.26 bilion bagi tempoh sama pada 2020.
Apa kesan terhadap pencarum yang mengeluarkan wang mereka, sehingga jumlah simpanan berkurangan dengan drastik?
Secara keseluruhannya, seramai 7.35 juta ahli atau 58 peratus daripada 12.66 juta ahli yang berumur di bawah 55 tahun telah memanfaatkan sekurang-kurangnya salah satu daripada pengeluaran-pengeluaran tersebut. Secara amnya, ketiga-tiga pengeluaran ini telah dapat membantu ahli yang terjejas dari segi pekerjaan dan pendapatan mereka akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meneruskan kelangsungan hidup mereka bagi suatu tempoh yang terhad tertakluk kepada baki simpanan KWSP masing-masing.
Kesemua pengeluaran ini melibatkan pembayaran secara berkala bagi membolehkan simpanan yang dikeluarkan tersebut dapat bertahan dalam tempoh yang lebih lama selaras dengan tempoh PKP dan pandemik yang berpanjangan. Walau bagaimanapun, pengeluaran-pengeluaran ini telah memberikan kesan jangka panjang iaitu pengurangan jumlah simpanan persaraan ahli.
Berdasarkan statistik setakat 30 September 2021, daripada 7.35 juta ahli yang membuat pengeluaran i-Lestari, i-Sinar atau i-Lestari, seramai 1.43 juta ahli (19.5 peratus) hanya mempunyai simpanan RM1,000 dan kurang, 1.03 juta ahli (13.9 peratus) mempunyai simpanan di antara RM1,001 hingga RM5,000 dan 611,000 ahli (8.3 peratus) mempunyai simpanan di antara RM5,001 hingga RM10,000.
MELAYU PALING RAMAI BERBAKI KURANG RM10,000
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan 5.8 juta pencarum KWSP ada baki kurang RM10,000. Apa yang boleh dirumuskan melalui angka 5.8 juta itu? Adakah bermaksud ini senario sosioekonomi tidak sihat?
Setakat 30 September 2021, didapati seramai 5.9 juta atau 46 peratus daripada ahli KWSP di bawah umur 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.
Ini menunjukkan simpanan persaraan ahli tidak mencukupi dan sekiranya mereka tiada simpanan atau sumber pendapatan lain, maka majoriti ahli berkenaan akan berdepan dengan kemiskinan dan tidak mampu membiayai sara hidup di usia tua.
Berbanding dengan situasi 20 hingga 30 tahun dahulu, profil keluarga pada masa kini juga menunjukkan saiz keluarga yang kecil dengan bilangan anak yang tidak ramai. Bagi keluarga yang mempunyai anak yang tidak ramai, beban untuk menjaga ibu bapa mereka pada usia tua akan bertambah.
Apa kesan jangka panjang pandemik terhadap simpanan pekerja?
Isu ini selanjutnya akan memberikan impak jangka panjang ke atas kemampuan fiskal Kerajaan bagi pembiayaan program-program bantuan untuk warga emas pada masa hadapan memandangkan Malaysia semakin menghampiri status Negara Tua menjelang 2030.
Ini kerana Kerajaan perlu membiayai bilangan warga emas yang lebih ramai dan hidup pula lebih panjang, apabila peratusan rakyat yang berumur 60 tahun dan ke atas dijangkakan berjumlah 15 peratus daripada keseluruhan penduduk.
Daripada 5.8 juta pencarum itu, bolehkah dikategorikan mengikut kaum? Adakah Melayu yang paling tinggi dalam kategori mempunyai jumlah caruman kurang RM10,000?
Secara amnya, pecahan ahli KWSP mengikut kaum menunjukkan gambaran yang hampir sama kepada pecahan kaum rakyat Malaysia di mana kaum-kaum utama iaitu Bumiputera (Melayu/ Bumiputera Sabah/ Bumiputera Sarawak), Cina dan India mewakili majoriti daripada keseluruhan ahli KWSP. Melihat kepada peratusan ahli yang mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 mengikut kaum, Bumiputera ialah 74 peratus, Cina 13 peratus, India tujuh peratus dan lain-lain enam peratus.
SUSUT ATAU TIDAK
Adakah pengeluaran simpanan secara besar-besaran menjejaskan sebarang pelan pelaburan KWSP yang telah dirancang?
Strategi pelaburan KWSP adalah tetap berpandukan Alokasi Aset Strategi (SAA) yang memastikan KWSP tetap berdaya tahan walaupun menghadapi krisis yang tidak dijangka ini.
Ketika kita sedang pulih daripada krisis, fokus KWSP adalah untuk membantu ahli membina semula simpanan persaraan mereka agar mereka memperoleh persaraan yang bermaruah.
Dari segi pengurusan pelaburan, kami akan tetap fokus kepada Alokasi Aset Strategik (SAA) kami dan sentiasa peka terhadap perkembangan profil risiko pasaran agar penambahbaikan dapat dilakukan.
Di samping itu, matlamat asas KWSP untuk menjana pulangan dan melindungi kesejahteraan masa depan ahli dapat dipenuhi.
Sejak PKP dilaksana daripada Mac 2020, ramai yang hilang kerja malah banyak syarikat telah ditutup. Jadi, berapa jumlah kehilangan nilai caruman daripada pekerja dan majikan sepanjang PKP?
Unjuran kejatuhan caruman sukar dibuat kerana jumlah pekerja dan majikan sentiasa dinamik dan berubah dari semasa ke semasa.
Secara umum, kami masih melihat pendaftaran pekerja dan majikan yang baru sepanjang pandemik ini, dan jumlah caruman pula dipengaruhi oleh pemotongan secara sukarela kadar caruman syer pekerja daripada 11 peratus kepada 7 peratus pada 2020, dan kepada 9 peratus pada tahun 2021.
Sesetengah majikan pula diberi kelepasan untuk menstruktur semula bayaran caruman syer majikan. Disebabkan faktor-faktor ini, mengenalpasti dengan tepat kekurangan caruman hasil daripada pelaksanaan PKP bukan perkara mudah.
BELI BARANGAN MEWAH
Apa faktor mendorong individu mengeluarkan wang simpanan persaraan? Adakah KWSP terima sebarang maklumbalas, kalau-kalau ada pencarum yang keluarkan wang simpanan untuk benda tak berfaedah?
Kajian KWSP setakat Jun 2021 mendapati 89 peratus ahli mengatakan mereka membuat pengeluaran yang bertepatan dengan objektif i-Sinar, termasuk 40 peratus untuk menampung pengurangan pendapatan atau kehilangan sumber pendapatan, 32 peratus untuk pembayaran hutang, 17 peratus untuk membantu pasangan dan ahli keluarga.
Sementara itu, 11 peratus adalah untuk kegunaan lain-lain, termasuk enam peratus sebagai dana kecemasan, dua peratus untuk modal perniagaan, satu peratus untuk pembelian barangan mewah dan baki tiga peratus untuk lain-lain.
Selain itu, terdapat juga pengeluaran semua simpanan sebelum umur 55 tahun yang dibenarkan seperti Pengeluaran Hilang Upaya, Meninggalkan Negara dan Kematian.
JUMLAH SELAMAT
Berapa jumlah simpanan persaraan yang boleh dianggap ‘selamat’?
Jumlah simpanan yang mencukupi atau selamat bagi setiap individu adalah berbeza bergantung kepada keperluan persaraan dan gaya hidup individu itu sendiri.
KWSP telah menetapkan jumlah simpanan minimum atau kuantum Simpanan Asas yang ahli perlu ada pada umur 55 tahun iaitu sebanyak RM240,000 bagi membolehkan ahli mendapat RM1,000 sebulan bagi tempoh 20 tahun iaitu daripada umur 55 tahun sehingga umur 75 tahun selaras dengan jangka hayat rakyat Malaysia.
Pandemik ini telah melihat peratusan ahli yang mencapai Simpanan Asas jatuh daripada 36 peratus kepada 27 peratus susulan daripada pengeluaran yang telah dibuat bagi menampung pendapatan mereka semasa krisis ini.
Pandemik ini juga telah mencetuskan peningkatan jumlah pekerja gig di negara ini, dan biarpun ia membantu mereka untuk bertahan, ramai yang berhadapan dengan masalah ketidakcukupan simpanan persaraan akibat pendapatan yang tidak tetap atau stabil.
Selain itu, manfaat pekerja dan liputan perlindungan sosial mereka juga bakal terjejas. Setiap individu perlu memahami keperluan kewangan diri dan keluarga dan seterusnya menetapkan matlamat simpanan persaraan yang diperlukan dan mengambil tindakan untuk menambah simpanan persaraan mereka berdasarkan sasaran yang telah ditetapkan tersebut.
Nasihat KWSP kepada masyarakat yang menghadapi dilema terpaksa mengeluarkan simpanan untuk meneruskan hidup, meskipun mereka sebenarnya tak mahu buat begitu?
KWSP dengan kerjasama Social Wellbeing Research Centre (SWRC) telah membangunkan panduan Belanjawanku sebagai rujukan bagi perbelanjaan minimum atas setiap kategori barangan dan perkhidmatan untuk pelbagai profil isi rumah di Malaysia.
Belanjawanku boleh digunakan untuk merancang perbelanjaan peribadi dan keluarga dalam mencapai taraf hidup yang baik iaitu mampu memenuhi keperluan asas, melibatkan diri dalam aktiviti sosial dan komuniti serta mampu menjalani kehidupan yang bermakna dan bermatlamat.
Bagi membantu ahli membina simpanan persaraan yang mencukupi, KWSP menyediakan pelbagai saluran untuk ahli menambah simpanan persaraan mereka.
Selain caruman berkanun KWSP ke atas upah yang wajib dicarumkan oleh pekerja dan majikan, KWSP juga telah memperkenalkan program-program caruman sukarela yang terbuka kepada pekerja sektor formal, pekerja sektor tidak formal termasuk pekerja gig dan orang bekerja sendiri dan ahli KWSP yang tidak bekerja seperti pelajar dan suri rumah.
POLITIK
Sejauh mana kestabilan politik mempengaruhi KWSP? Adakah KWSP bebas dari campur tangan politik?
KWSP mempunyai struktur dan sistem tadbir urus yang kukuh yang berdasarkan dua faktor utama – bebas dan telus. KWSP ditadbir di bawah Lembaga KWSP yang merangkumi wakil-wakil daripada Kerajaan, Profesional, dan Industri.
Kuasa Pengerusi KWSP dan Ketua Pegawai Eksekutif adalah diasingkan seperti yang termaktub dalam Akta KWSP 2001 bagi memastikan sebarang keputusan tidak tertakluk kepada satu orang sahaja selain menghindari daripada sebarang pengaruh politik agar KWSP dapat menjalankan tanggungjawab terhadap menjaga kepentingan ahlinya.
Di samping itu, ketika mempertimbangkan sebarang keputusan pelaburan, KWSP perlu mengikuti proses yang melalui Panel Pelaburan di mana cadangan akan diteliti mengikut strategi kepelbagaian jangka panjang. Ia juga selaras dengan mandat KWSP untuk mengembangkan simpanan persaraannya dengan melabur hanya dalam aset yang sesuai dengan profil pulangan risikonya. – Mingguan Malaysia










