[Laporan Ekonomi] Pendapatan PMK, isi rumah jatuh lebih 40 peratus - Utusan Malaysia

[Laporan Ekonomi] Pendapatan PMK, isi rumah jatuh lebih 40 peratus

PANDEMIK Covid-19 telah menjejaskan pendapatan isi rumah apabila ramai yang diberhentikan kerja disebabkan penutupan sektor ekonomi. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Impak pandemik Covid-19 sepanjang tahun ini menyebabkan pendapatan perusahaan mikro dan kecil (PMK) serta isi rumah jatuh sehingga lebih 40 peratus.

Dalam kajian yang dilakukan untuk Laporan Tinjauan Ekonomi 2022 yang diterbitkan Kementerian Kewangan, pendapatan isi rumah yang bekerja sendiri jatuh 41 peratus berbanding tahap sebelum pandemik manakala isi rumah pekerja bergaji menyusut 15 peratus disebabkan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bermula Jun lalu.

Sepanjang 2021 pula, pendapatan PMK merosot 49 peratus berbanding tahap sebelum pandemik.

Kemerosotan itu lebih baik berbanding tahun lalu yang mana PMK mengalami penyusutan pendapatan sehingga 60 peratus, disokong pelanjutan waktu beroperasi terutamanya dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Menurut kajian tersebut, jumlah perusahaan yang mudah terjejas berkurang kepada 40 peratus pada 2021 berbanding 58 peratus tahun lalu didorong oleh situasi kewangan yang semakin baik.

“Faktor lain yang menyumbang kepada pengurangan ini termasuk bantuan yang disediakan oleh kerajaan iaitu 75 peratus (2020) dan 76 peratus (2021) responden dalam kalangan perusahaan mudah terjejas menyifatkan bantuan tersebut memberi manfaat kepada perusahaan.

“Selanjutnya, kebanyakan responden bagi kajian tersebut bersetuju terhadap keberkesanan saluran komunikasi kerajaan dalam menyalurkan maklumat kepada orang awam,” katanya.

Untuk pendapatan isi rumah, kesan terbesar ditunjukkan pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1 bermula Mac hingga Mei tahun lalu apabila isi rumah bekerja sendiri mengalami penurunan pendapatan sebanyak 49 peratus manakala pendapatan isi rumah pekerja bergaji jatuh 27 peratus.

Walau bagaimanapun, pola perbelanjaan isi rumah kedua-dua kategori tidak mengalami perubahan ketara sepanjang tempoh pandemik.

“Kajian tersebut turut mendapati semua responden di bawah kategori isi rumah yang mudah terjejas menerima bantuan kerajaan sepanjang tempoh kajian berkenaan.

“Bantuan yang diterima merangkumi bantuan pendapatan iaitu Bantuan Prihatin Nasional (BPN) atau Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) serta bantuan perbelanjaan seperti moratorium pinjaman, pengeluaran dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), diskaun bil elektrik, bantuan bakul makanan dan Jaringan Prihatin,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×