Bahasa Melayu semakin hilang di bumi Malaysia - Utusan Malaysia

Bahasa Melayu semakin hilang di bumi Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAHASA Melayu dahulunya merupakan bahasa lingua franca penting yang dituturkan secara meluas oleh pedagang-pedagang dari Arab, China, India dan Eropah. Ketika itu ia bukan sekadar menjadi bahasa pertuturan dan perdagangan antarabangsa, malah turut diangkat menjadi bahasa ilmu.

Ramai yang datang menuntut ilmu semasa zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dan bahasa yang digunakan tidak lain tidak bukan ialah bahasa Melayu.

Seorang sarjana Belanda, Francois Valentijn pernah menulis, pada abad ke-16, bahasa Melayu tersebar dengan begitu luas. Ketika itu, bahasa Melayu bukan sahaja digunakan di seluruh kepulauan Melayu tetapi juga difahami di seluruh pelosok negeri-negeri Timur.

Valentijn menulis, “sekiranya kita memahami bahasa Melayu, kita tidak mungkin kehilangan jejak di banyak tempat, kerana bahasa itu bukan saja dimengerti di Parsi bahkan lebih jauh dari negeri itu, dan di sebelah timurnya sehingga kepulauan Filipina.”

Malangnya, kini kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara antarabangsa sudah tidak lagi sepenting dahulu. Pada hari ini, bahasa Melayu hanya dituturkan secara meluas di Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura, Selatan Thailand dan beberapa kawasan di rantau ini.

Di tanah air kita sendiri, terdapat pihak yang memandang remeh kepentingan bahasa Melayu, baik sebagai bahasa perpaduan mahupun sebagai bahasa ilmu. Ada pula yang lebih mengagungkan bahasa asing dan tidak mahu menggunakan bahasa Melayu dalam pertuturan mereka sehari-hari.

SERUMPUN
Setiap daripada kita bertanggungjawab untuk membudayakan penggunaan bahasa Melayu dengan betul. Hakikatnya, bahasa Melayu akan hilang jika anak bangsa sendiri mengabaikannya.

Banyak perkataan bahasa Melayu jati yang kini sudah semakin jarang digunakan. Begitu juga dengan puisi-puisi Melayu lama seperti gurindam, juga sudah semakin dilupakan.

Bahasa ibunda melambangkan jati diri bangsa dan identiti negara. Justeru, kita mesti menyemai dan menyemarakkan perasaan cintakan bahasa Melayu dalam jiwa seluruh rakyat. Pemimpin-pemimpin negara mestilah memberi perhatian serius akan perkara ini.

Tindakan serta penguatkuasaan tegas perlu diambil untuk memastikan hanya bahasa Melayu digunakan dalam segala urusan rasmi negara, melainkan hal melibatkan hubungan luar negara.

Bahasa Melayu merupakan maruah bangsa yang mesti dipertahankan. Kita harus menggemblengkan usaha untuk memartabatkan kedudukan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa agar ia dapat kembali dinobatkan sebagai salah satu bahasa dunia. Negara-negara serumpun harus bersatu hati dalam membawa misi penting ini.

Semoga usaha memartabatkan bahasa Melayu tidak dipandang sepi oleh para pembuat dasar. Alangkah baiknya jika perbahasan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara tidak lagi dicemari penggunaan bahasa asing, melainkan dalam keadaan yang tidak dapat dielakkan.

PENULIS ialah calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×