Keradangan atau inflamasi adalah keadaan di mana tubuh badan manusia bertindak balas kepada kecederaan, jangkitan kuman atau benda asing.
Ia adalah tindak balas imuniti tubuh yang menyebabkan keadaan ruam merah, bengkak, radang, panas dan sakit di kawasan tertentu.
Salah satu contoh ialah keradangan kulit. Ini boleh berlaku tidak kira usia. Namun tidak semua produk merawat atau mengurangkan keradangan sesuai digunakan pada kulit.
Bagi mengurangkan kesan keradangan pada kulit, Pengarah Pusat Perancangan Strategik dan Pengurusan Inovasi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Dr. Sanimah Simoh dan pasukannya (Dr. Koh Soo Peng, Dr. Sew Yun Shin dan Chandradevan) berhasil mencipta produk krim anti radang dengan nama Cleosafe.
Produk tersebut diformulasi daripada gabungan ekstrak sayur maman dan diperkaya dengan minyak kelapa dara.
“Maman ini biasanya kita buat rendang atau jeruk, tetapi hasil penyelidikan kami menemukan sayuran ini kaya dengan fitokimia semula jadi yang dikira selamat dan berpotensi merawat keradangan,” katanya.

CETUSAN IDEA
Menurut Dr. Sanimah, dia dan pasukannya mementingkan produk-produk berasaskan bahan-bahan semula jadi agar dapat dijadikan alternatif kepada perubatan moden.
Tambahnya, mereka ingin menambah nilai pasaran kepada sayuran tradisional negara.
“Kita mahu tambah nilai kepada sayuran tradisional, dan tidak dinafikan ada orang tidak kenal sayur maman, sebagai contoh di Negeri Sembilan penggunaannya lebih tertumpu untuk masakan.
“Oleh itu, penggunaan sayur ini masih belum meluas kerana bukan sahaja ramai tidak tahu malah sesetengah pihak yang sudah mengenali pun masih belum peka akan manfaat sayur maman,” terangnya.
Kongsi Dr. Sanimah, apabila sudah ramai tahu akan kelebihan sayur tersebut, ada kemungkinan pendapatan petani juga akan meningkat.
Ini kerana, kemungkinan permintaan untuk menghasilkan sayur maman bakal melonjak naik.
PENGGUNAAN SAYUR, MINYAK KELAPA DARA
Keradangan kulit seperti eczema, psoriasis, dermatitis, jerawat dan furunculosis merupakan penyakit kulit popular.
Dalam pada itu, Dr. Sanimah berkata, rawatan keradangan kulit biasanya melibatkan penggunaan ubat-ubatan bukan-steroid antikeradangan (NSAIDs) yang berpanjangan boleh menyebabkan epidermis kulit menipis.
“Penerokaan sumber biodiversiti asli dan selamat amat diperlukan dalam merawat keradangan kulit.
“Oleh itu, sayur tradisional maman kaya dengan fitokimia semulajadi dan berpotensi merawat penyakit tersebut.
“Manakala minyak kelapa dara mengekalkan kelembapan kulit. Gabungan dua bahan semulajadi ini membolehkan kesan rawatan lebih berkesan,” katanya.
Kongsinya juga, proses dan masa diperuntukkan bagi menghasilkan krim antiradang tersebut mengambil masa selama tiga tahun.
UJI PADA MANUSIA
Menurut Dr. Sanimah, krim Cleosafe telah diuji selama 22 hari pada kulit manusia bagi melihat sekiranya terdapat kesan sampingan seperti iritasi.
“Selepas 22 hari, tidak ada simptom keradangan kulit direkodkan berlaku, ia seperti yang kami jangkakan kerana bahan-bahan digunakan hanyalah berasaskan sumber semula jadi.
“Ini kerana kebiasaannya bahan-bahan natural tidak mempunyai kesan sampingan apabila digunakan,” katanya.

KEMUNCULAN DALAM PASARAN
Sementara itu, menurut Pegawai Penyelidik kanan, Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI, Dr. Sew Yun Shin, produk tersebut masih belum boleh dilancarkan dalam pasaran kerana perlu menunggu syarikat berminat untuk membeli dan melabur.
“Sementara menunggu syarikat yang berminat dan bekerjasama dalam ujian klinikal manusia serta validasi pasaran, kami dalam proses memberi lebih ramai orang mencuba menggunakan produk ini dan meminta mereka memberikan testimoni,” katanya.
Ditanya adakah produk tersebut sesuai digunakan untuk kanak-kanak, Dr. Sew berkata, ia tidak sesuai digunakan untuk bayi kerana mereka mempunyai kulit lembut dan sensitif.
Tambah beliau, apabila individu menggunakan krim tersebut, cuma sedikit sahaja diperlukan kerana ia bukan losyen badan.
“Kekerapan memakai produk ini bergantung pada individu, namun sebelum sapu pada kulit, pastikan permukaan kulit dibersihkan terlebih dahulu agar tiada jangkitan bakteria berlaku yang boleh merumitkan proses penyembuhan,” ujarnya.











