PETALING JAYA: Kempen secara fizikal patut dibenarkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, tetapi dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat lagi tegas.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berpendapat, jika kerajaan membenarkan majlis-majlis sosial lain, kempen pilihan raya secara fizikal tidak patut dilarang.
“Kalau di tempat lain (negeri) boleh dilaksanakan, kenapa tidak boleh di PRN Melaka. Rakyat pun sudah divaksinasi, maka bahaya dan risiko tidak seberat seperti semasa PRN Sabah.
“Saya sokong rapat umum, ceramah besar terbuka dilarang sama sekali, tetapi benarkan ceramah tertutup dengan jumlah yang terhad serta SOP ketat, dengan penganjur ada permit polis dan akujanji yang tegas, pematuhan SOP boleh difikirkan,” katanya.
Beliau turut menggunakan perlawanan bola sepak sebagai contoh, bahawa jika penganjur dan penonton melanggar SOP, kemasukan stadium tidak dibenarkan.
“Perlawanan bola terpaksa main dalam stadium kosong. Begitu juga formula yang boleh dipakai dalam penentuan permit untuk kempen ceramah-ceramah kecil dan tertutup pada PRN Melaka.
“Jika gagal mematuhi SOP, polis tidak akan keluar lagi permit untuk ceramah seterusnya,” katanya.
Beliau mengulas SOP Kementerian Kesihatan, yang melarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya bermula 25 Oktober hingga 27 November 2021.
Bagaimanapun, Wan Ahmad menganggap larangan itu dibuat atas dasar situasi semasa pandemik dalam menjaga keselamatan nyawa rakyat, walaupun mengakui berkempen adalah salah satu elemen utama dalam proses pelaksanaan pilihan raya yang demokratik.
“Parti-parti politik dan calon-calon tak perlu bimbang, jika sekalipun kempen fizikal dilarang, banyak cara lain yang boleh digunakan.
“Sudah sampai masanya budaya berkempen diubahsuai kod cara internet, digital campaigning, dan sebagainya.
“Rakyat boleh dihubungi secara direct dan mudah.
“Mesej, pesanan, poster, reminder dan bermacam-macam perkara boleh disampaikan kepada pengundi melalui media sosial,” kata beliau.- UTUSAN











