Tanpa UMNO, Bersatu dan Pas kalah semua kerusi - Utusan Malaysia

Tanpa UMNO, Bersatu dan Pas kalah semua kerusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tanpa kerjasama Barisan Nasional (BN) dan UMNO, Perikatan Nasional bukan sahaja bakal hilang dua kerusi dimiliki Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) malah berkemungkinan tewas di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr. Md. Akbal Abdullah berkata, perkara tersebut tidak dapat disangkal apabila Bersatu hanya menang dua kerusi DUN manakala Pas kalah semua ditandinginya meskipun ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) majoriti rakyat menolak BN.

Beliau berkata, oleh demikian Bersatu dan Pas kini berusaha keras untuk mengajak BN serta UMNO untuk bekerjasama bagi menumpang kekuatan parti tersebut sekali gus berpeluang cerah memenangi lebih kerusi dalam PRN Melaka.

“Berbanding BN dan UMNO, walaupun ketika ditolak rakyat ekoran beberapa isu melanda mereka sewaktu pilihan raya umum lalu, mereka mampu menang selesa iaitu 14 kerusi dan hanya tinggal satu kerusi mencapai majoriti mudah membentuk kerajaan negeri Melaka.

“Oleh itu, PN kena bersungguh mengajak UMNO bekerjasama dalam PRN Melaka bagi mengelakkan tiga penjuru,” katanya.

Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin, pandangan Mohd.

Khairuddin itu ada asasnya kerana kerjasama UMNO dengan Bersatu dan Pas boleh memberikan kemenangan besar apabila wujudnya kerjasama dan dominasi politik Melayu dan Islam.

Katanya, perkara itu secara tidak langsung dapat memberi kemenangan kepada ketiga-tiga parti manakala PH akan kekal sebagai pembangkang selepas keputusan PRN kelak.

“Namun tidak bermakna kerjasama politik Melayu-Islam menafikan kaum lain, tetapi jika kekuatan ini amat perlu kerana ia bersifat inklusif bagi menjamin kestabilan tanah air. Jika terjamin kestabilan politik Me­layu Islam, maka memberi jaminan kepada keutuhan negara.

“Ini terbukti sejak negara mencapai kemerdekaan, UMNO selaku parti terbesar Melayu mendominasi politik tanah air dan berjaya menjaga kestabilan negara sehingga tewas pada PRU-14. Perkara ini boleh berlaku semula jika wujud kerjasama antara UMNO dengan Bersatu dan Pas,” jelas beliau.

Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Kemanusian Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Muhammed Fauzi Othman pula berkata, jika PN dan BN dapat mencapai persefahaman dan tidak bertembung sesama sendiri, PRN Melaka akan menghasilkan natijah seperti beberapa pilihan raya kecil sebelum ini iaitu Cameron Highlands, Tanjung Piai dan Semenyih.

“Akan tetapi jika pertembungan berlaku seperti dalam PRU-14, ada risiko bahawa kerajaan PN dan BN akan terlepas beberapa kerusi penting. Walaupun begitu, beberapa survei dan simulasi masih menyimpulkan BN boleh menang tipis dan kembali kpd status quo iaitu memerintah dgn majoriti tipis,’’ katanya.  -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×