IPOH: Pengusaha bot Zon C2 tidak mendapat harga diesel bersubsidi kerana dikategorikan sebagai bot nelayan komersial.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, ini bermakna pengusaha bot C2 perlu membeli diesel pada harga industri.
“Perlu difahami ada bot nelayan yang tidak layak mendapat harga subsidi bagi pembelian diesel seperti pengusaha bot Zon C2.
“Bot-bot Zon C2 ini didaftarkan dalam kumpulan kapal dan tidak layak membeli diesel pada harga subsidi.
“Jadi dakwaan pengusaha bot Zon C2 terbeban dengan kenaikan harga diesel tidak wajar kerana mereka memang membeli diesel pada harga industri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, ini berbeza dengan pengusaha bot Zon A, B dan C yang membeli diesel pada harga subsidi iaitu RM1.65 sen seliter.
Beliau berkata, bermula tahun 2019, rasionalisasi pemberian subsidi telah dikaji semula dan kerajaan bersetuju untuk meneruskan pemberian subsidi diesel kepada vesel Zon A, B dan Zon C sahaja dengan kadar RM1.65 seliter.
Beliau berkata, manakala bagi vesel Zon C2, bekalan diesel yang diterima adalah dengan kadar harga diesel komersial kerana vesel Zon C2 merupakan vesel laut dalam komersial.- UTUSAN











