1.09 juta belum vaksin - Utusan Malaysia

1.09 juta belum vaksin

SEORANG remaja yang ditemani ibunya menerima suntikan dos kedua vaksin Pfizer di Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 1.09 juta atau 4.7 peratus daripada populasi dewasa di negara ini masih belum mengambil vaksin Co­vid-19.

Mereka terdiri daripada kumpulan yang berdaftar atau belum berdaftar sama ada atas sebab kesihatan, masih ra­gu-ragu atau menolak untuk me­nerima vaksin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF), Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, program nasihat dan penjelasan kepada golongan ini perlu berterusan dalam mencapai sasaran Prog­ram Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, program jangkau luar dari pusat pemberian vaksin (PPV) juga diperluas ke kawasan tertumpu yang mempunyai populasi warga emas dan warga asing yang ramai dan mungkin tercicir daripada pendaftaran vaksinasi.

“CITF hanya akan beroperasi hingga 31 Oktober ini. CITF ditubuhkan daripada keputusan Me­syuarat Jemaah Menteri pada 3 Februari lalu sebagai pemantau kerangka kerja dan strategi keseluruhan bagi menyokong pelaksanaan PICK,” katanya di sini, semalam.

Dr. Adham berkata, menerusi kaedah jangkau luar, petugas kesihatan akan melaksanakan vaksinasi di kawasan terpencil dan mempunyai kesukaran perhubungan seperti penduduk pedalaman di Sabah, Sarawak, Perak dan Pahang.

“Kita perlu mengadakan prog­ram penjelasan dan nasihat kepada golongan ini. Program jang­kau luar juga diperluas ke kawasan tertumpu yang mempunyai populasi warga emas dan warga asing ramai yang mungkin tercicir daripada pendaftaran vaksinasi.

“Selain itu, vaksinasi rumah ke rumah juga dilaksanakan kepada golongan warga emas, individu terlantar serta orang kurang upaya (OKU).

“Sejak dilancarkan sehingga 23 Oktober lalu, sejumlah 215 PPV jangkau luar dilaksanakan di seluruh negara dengan sejumlah dos suntikan 2,891,176 sudah diberikan kepada penerima vaksin,” katanya di sini, semalam.

Dalam pada itu, Dr. Adham memberitahu, pendaftaran pe­­­ne­rimaan vaksin menerusi akaun MySejahtera tidak dijadikan asas perbandingan berapa ramai yang belum diberikan vaksin.

Katanya, ini memandangkan terdapat golongan bukan sasaran (berumur kurang daripada 12 tahun) dan seseorang mungkin mempunyai beberapa akaun MySejahtera, maka ia tidak dapat memberi gambaran keseluruhan tepat.

Beliau berkata, bagaimanapun pemberian vaksin berada pada tahap baik apabila mencapai 94.4 peratus atau 22,143,545 orang daripada populasi dewasa lengkap menerima vaksin.

Katanya, hanya tinggal 684,416 orang atau tiga peratus yang belum lengkap dos kedua daripada keseluruhan 22,813,885 orang setakat semalam.

“Bermula 1 November ini, imunisasi Covid-19 akan dilaksanakan sepenuhnya Kementerian Kesihatan (KKM) susulan perkembangan semasa PICK berada pada tahap baik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×