Adam’s Autism Family jadi rujukan ramai - Utusan Malaysia

Adam’s Autism Family jadi rujukan ramai

Adam, anak istimewa ini mula dikenali ramai apabila bapanya, Iman Wan Tuck Meng (bertopi) berkongsi kepada umum tentang keadaannya melalui platform media sosial seperti Facebook dan Instagram.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Laman sosial Facebook Adam’s Autism Family menjadi ikutan 655,345 orang manakala Instagramnya, adamsautismfamily pula mempunyai 377,000 pengikut.

Perkongsian video dimuat keluarga itu di laman sosial berkenaan turut menarik hingga jutaan orang untuk menyaksikan keletah pemuda kacak, Adam Wan, 19 yang juga penghidap autisme.

‘Keberanian’ ayah Adam, Iman Wan Tuck Meng, 54, dan isteri, Norhaidda Hassan, 48, berkongsi gelagat anaknya itu, bukannya mahu meraih simpati. Sebaliknya untuk berkongsi kisah dan realiti hidup keluarganya, keluarga autisme.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Iman Wan mengakui walaupun menerima kata-kata sumbang daripada netizen tetapi dia tidak begitu ambil peduli.

Ini kerana matlamat utamanya ialah menyuntik kesedaran umum mengenai autisme.

“Kalau dulu orang berkongsi maklumat menerusi pembacaan. Kini dengan adanya media sosial, ia lebih mudah untuk kita kongsi mengenai autisme. Secara tidak langsung ia turut menjadi medan ilmu kepada orang ramai atau ibu bapa yang mahu tahu mengenai autisme,” katanya.

Facebook Adam’s Autism Family dibangunkan oleh Iman Wan sejak 2017. Idea untuk membuka laman Instagram dan Facebook dikenali dengan AdamAutismeFamily juga bertujuan memuatkan keletah harian Adam.

Selain Adam, Iman dan isteri turut dikurniakan dua lagi cahaya mata, Arena Wan, 21, dan Aramysara Wan, 9,

Laman sosial Facebook Adam’s Autism Family menjadi ikutan 655,345 orang.

Setakat artikel ini ditulis, perkongsian video bertajuk Working out without working out yang dimuat turun dalam Facebook miliknya mendapat 4.4 juta tontonan.

Antara video lain turut mendapat perhatian ialah Iman Wan yang lebam di badan dek kerana tantrum Adam.

Tantrum adalah satu bentuk luahan perasaan kanak-kanak apabila berasa sangat tertekan. Ledakan emosi itu boleh diterjemahkan dalam pelbagai cara termasuk menjerit, berguling-guling, menendang-nendang dan menghempas-hempas diri.

Laman itu juga pernah menunjukkan bagaimana dapur rumahnya comot gara-gara Adam tiba-tiba naik angin dan mencampakkan mangkuk kari ketika mereka sekeluarga sedang makan.

“Kami bukan mengejar jumlah tontonan atau mahu meraih simpati. Lebih daripada itu paparan realiti ini boleh membantu ibu bapa senasib dengan saya untuk terus bersabar dan berfikir dengan tenang dalam hal melibatkan anak-anak khususnya yang istimewa,” katanya.

Autisme adalah kecacatan perkembangan yang kompleks yang biasanya muncul dalam tiga tahun pertama kehidupan. Ia disebabkan gangguan neurologi yang menjejaskan fungsi otak.

Ia adalah empat kali lebih lazim pada kanak-kanak lelaki berbanding perempuan dan dianggarkan berlaku nisbah satu daripada 68 bayi.

KESEDARAN

Iman Wan mengakui, kebanyakan posting di media sosial itu, berjaya menyentuh hati masyarakat, lebih-lebih lagi melihat keikhlasan ditunjukkan seisi keluarga itu berkongsi kisah dan realiti kehidupan mereka.

“Sebelum mengambil keputusan berkongsi saya sudah bersedia dengan apa yang akan dikatakan oleh khalayak. Positif atau negatif. Bagi saya persepsi masyarakat atau teguran memang lumrah.

Namun saya mahu mereka faham. Hanya apabila ada kefahaman, barulah kita dapat mendidik tentang apa itu sebenarnya autisme,” katanya.

Laman sosial mereka kini mempunyai pengikut tersendiri yang tidak pernah jemu melihat perkembangan kehidupan Adam sebagai remaja autisme.

CABARAN PKP

Covid-19 dengan Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19, turut memberi implikasi kepada Adam di mana berkurung dalam rumah memberi pengalaman berbeza buat anak lelakinya itu yang mana dia lebih kerap mengalami tantrum.

“Adam banyak kali tantrum waktu PKP. Dia akan mengamuk, berguling-guling sehingga boleh menyakiti saya atau isteri dengan menggigit atau memukul,” katanya.

Akur negara kian bebas dengan pandemik, Iman Wan dan isteri bagaimanapun tetap dengan keputusan tidak membawa Adam bebas berjalan-jalan atau beriadah di lokasi orang ramai.

“Kami risau keselamatannya kerana kita tidak boleh mengawal sekiranya dia berlari, terpegang dan mendekati orang lain.

“Jika keadaan menjadi lebih teruk, saya hanya membawanya berjalan-jalan dalam kereta sekitar perumahan rumah,” jelasnya.

BANYAKKAN SABAR

Adam disahkan menghidap Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ASD) dan gangguan kurang daya tumpuan serta hiperaktif sejak berusia dua tahun enam bulan.

Pengesahan status Adam itu, merubah 360 darjah kehidupan seisi ahli keluarga Iman Wan apabila dia terpaksa berhenti kerja untuk menjaga Adam kerana tiada yang sanggup untuk menjaganya.

“Apa yang saya dan isteri impikan sejurus selepas kami berkahwin tidak sama dengan apa yang terjadi selepas Adam dilahirkan.

“Kami terpaksa berhenti kerja untuk menjaga Adam kerana tiada yang sanggup menjaganya,” katanya.

Iman Wan mendukung Adam ketika berusia setahun.

Adam mendapat pendidikan di Sekolah Istimewa Autisme ketika berusia lima hingga 10 tahun. Selepas itu, Iman Wan dan isteri menjaga dan mendidik sepenuhnya Adam di rumah.

“Dalam sebuah keluarga yang mempunyai anak autisme, peranan seisi keluarga amat penting bagi memastikan kehidupan dapat diteruskan walau dalam apa jua keadaan sekalipun.

“Ia bukanlah perkara yang mudah untuk kami seisi keluarga pada mulanya. Sebelum kami mengajar Arena dan Ara untuk menerima kekurangan Adam, kami terlebih dahulu harus bersedia menerima kekurangan Adam.

“Kemudian, kami mengajar anak-anak untuk menerima kekurangan Adam. Kami sering mengingatkan mereka untuk menyayangi Adam dan menjadi tanggungjawab bersama untuk menjaganya.

“Kami tanamkan dalam diri mereka tentang bagaimana mereka sepatutnya merasa bangga mempunyai adik-beradik istimewa. Saya tekankan pentingnya rasa kasih, sayang dan erti kekeluargaan sebagai adik-beradik. Kami juga banyak belajar dari semasa ke semasa,” ujarnya yang menjelaskan emak angkat Adam, Raihanan Busu Leman sentiasa menyokong dan membantu terutama apabila dia mula menjadi tantrum.

Bercerita lanjut, Iman Wan berkata, mempunyai anak istimewa memberi impak kepada kehidupan seluruh ahli keluarga.

“Setiap kanak-kanak autistik mempunyai corak dan gaya kehidupan yang berbeza dan ibu bapa perlu bersedia untuk berubah.

“Autisme bukan sahaja sekadar melalui zaman kanak-kanak tetapi ibu bapa sering lupa bahawa kanak-kanak ini juga bakal melalui alam remaja dan dewasa. Apabila mereka meningkat remaja dan dewasa, semakin besar cabarannya dari segi emosi dan fizikal kerana mereka juga bakal melalui zaman baligh dan sebagainya.

“Sabar adalah kata kunci yang perlu ada dalam diri ibu bapa dan sentiasa ingat bahawa anak adalah anugerah dari-Nya. Betulkan minda dan pemikiran, kita boleh mencipta kehidupan terbaik dengan kehadiran anak istimewa ini,” katanya yang turut menguruskan perniagaan minyak aura terapi (essential), doTerra.

Tambah Iman Wan, anak autisme bukan satu bebanan buat keluarga tetapi ia merupakan satu anugerah serta ujian di dunia.

Dalam pada itu, Iman Wan berkata, dia tidak pernah menyertai mendaftar dengan pertubuan bukan kerajaan berkaitan autisme kerana kekangan masa.

 

TIPS KAWAL TANTRUM
» Kenal pasti punca – Contohnya mungkin anak tidak tahan dengan cahaya silau, suara bising, perubahan rutin harian atau rasa makanan yang asing di mulutnya.

Hal ini membuatkan anak autisme menjadi resah. Keresahan ini dilepaskan dengan cara menangis, menjerit-jerit, memukul, menendang atau menggigit kuku.

» Bertenang – Pendekatan efektif adalah dengan membiarkan kanak-kanak yang sedang menghidap tantrum untuk bertenang dan saling memahami.

Setiap punca tantrum harus ditangani sebaiknya mungkin mengikut keadaan. Sebagai contoh, jika kanak-kanak tantrum berkemungkinan beliau sedang lapar atau mengantuk. Kawal jadual tidur dan makan anak-anak.

» Alihkan fokus – Andai pergi ke pasar raya, anak pula sudah tunjuk tanda-tanda yang dia mahukan sesuatu dan jika kita tidak faham atau tidak dapat memenuhi hajatnya, ia akan mencetuskan kemarahannya.

Cepat-cepat alihkan perhatiannya. Fokuskan pada perkara yang lain.

Proses memujuk akan mengambil masa. Bawa dia ke bahagian yang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×