Diesel naik RM2.70 seliter, nelayan C2 `tenat' - Utusan Malaysia

Diesel naik RM2.70 seliter, nelayan C2 `tenat’

BOT-bot nelayan perikanan laut dalam tersadai selepas hampir 15 bulan tidak dapat ke laut berikutan ketiadaan pekerja di Kuala Perlis beberapa bulan lalu. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kira-kira 450 pengusaha bot kelas C2 di seluruh negara semakin ‘tenat’ sehingga ramai terpaksa menghentikan operasi kerana ti­dak mampu menanggung kenaikan harga diesel sehingga RM50,000 sebulan bagi sebuah bot sebelum keluar menangkap ikan.

Harga diesel yang dijual kepa­da pengusaha bot kelas C2 kini me­ningkat daripada RM2.05 se­liter kepada RM2.70 seliter kelmarin.

Pada tahun lalu direkodkan terdapat 594 buah bot C2 di negara ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, wakil nelayan C2 Pahang, Tengku Adnan Tengku Husin berkata, untuk sebuah bot nelayan C2, isian penuh tangki sekitar 3,000 liter dan harga diesel bagi bot C2 tidak bersubsidi.

Katanya, situasi dihadapi nelayan C2, kini seolah-olah mahu ‘dibunuh’ kerajaan yang bukan sahaja tidak mahu memberi subsidi tetapi terpaksa menanggung kenaikan drastik sehingga .65 sen seliter.

Tengku Adnan memberi­tahu, kehidupan pemegang lesen C2 dianaktirikan sejak tiga tahun lalu kerana mereka tidak menerima bantuan seperti elaun sara hidup dan insentif hasil tangkapan bagi setiap kilogram ikan seperti nelayan lain.

“Kini harga diesel pula mendadak, saya percaya bebanan ini bukan sahaja ditanggung kira-kira 65 nelayah C2 di Pahang, malah seluruh negara.

“Cuba bayangkan untuk isi minyak (diesel) sahaja perbelanjaan sebulan RM50,000 untuk satu bot, jika dua bot? Itu belum lagi ambil kira kos penyelenggaraan dan lain-lain,” katanya di sini kelmarin.

Selain itu, beliau percaya nelayan C2 turut perlu membayar pinjaman bank lain setiap bulan.

“Saya contohnya membuat pinjaman dengan Agrobank RM500,000 untuk membeli bot baharu. Bulanan saya perlu bayar RM10,000. Tidak sampai setahun beli, negara dilanda Covid-19.“Kami bukan golongan kaya kerana jika kaya kami tidak ke laut cari rezeki,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta kerajaan Keluarga Malaysia mengkaji semula pemberian subsidi minyak kepada nelayan C2 yang terbeban dengan harga diesel yang mahal.

“Kerajaan kena menilai semula pemberian elaun sara hidup dan insentif hasil tangkapan seperti diberikan sebelum ini,” katanya.

Di Kedah, kos operasi tinggi bot kelas C2 menyebabkan kebanyakan pemiliknya tidak mampu keluar ke laut lebih setahun lalu.

Setiausaha Pertubuhan Pemilik Bot Ikan Negeri Kedah, Tan Chee Seng berkata, seba­nyak 15 buah bot kelas C2 ada di negeri itu tetapi yang berope­rasi tinggal dua buah sahaja.

Menurutnya, pemilik bot kelas C2 itu tidak mahu menanggung kerugian terutamanya selepas kenaikan harga diesel.
“Kerajaan sepatutnya turut memberi subsidi diesel kepada nelayan bot kelas C2 seperti yang dinikmati bot kelas C,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) mengusulkan permohonan kepada kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) agar mempertimbangkan semula subsidi diesel kepada nelayan C2.

Pengerusinya, Hamid Bahari berkata, pihaknya mene­rima aduan pengusaha bot nelayan C2 yang menghadapi masalah kenaikan harga diesel serta masalah tenaga kerja.

“Kebiasaannya harga seliter diesel sekitar RM1.90, tetapi sekarang sudah mencecah sehingga RM2.70 seliter. Sememangnya membebankan yang memerlukan sebanyak 3,000 liter minyak sehari,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN