Perlu lebih kreatif urus wakaf - Utusan Malaysia

Perlu lebih kreatif urus wakaf

WAKAF tidak terhad kepada sedekah material yang banyak diamalkan di negara ini seperti penyediaan tanah masjid sebaliknya memiliki aspek dan kemampuan jauh lebih besar. – Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HADIS riwayat Ahmad dan al-Bukhari merekodkan, daripada Abu Hurayrah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mewakafkan kuda di jalan Allah dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka sesungguhnya makannya, tahinya dan kencingnya menjadi amal kebaikan pada timbangan di hari kiamat.” Ini menggambarkan besarnya peranan dan elemen wakaf dalam kehidupan manusia sehingga Allah memberikan janji sedemikian ganjaran kepada mereka yang memberikan harta masing-masing buat manfaat masyarakat umum.

Wakaf dalam takrifan umum masyarakat amat terbatas hanya sekadar tanah kubur, tanah masjid, duit sedekah dalam tabung masjid dan selipar tandas. Namun, hakikatnya wakaf tidaklah terhad kepada sedekah material yang banyak diamalkan di negara ini.

Sebaliknya wakaf memiliki aspek dan kemampuan yang jauh lebih besar.

Ketika kegemilangan empayar Uthmaniyyah, wakaf bukan sekadar instrumen kebajikan tetapi mencakupi aspek yang menyumbang kepada pembentukan peradaban manusia. Misalnya, wakaf menyediakan makanan kepada fakir, tempat perlindungan gelandangan, mempertingkatkan tahap kualiti kesihatan, mempromosikan aktiviti perniagaan dan komersial, menyediakan peluang pekerjaan sehinggakan kebajikan haiwan juga terpelihara.

Jelas, potensi wakaf digunakan bagi manfaat masyarakat umum adalah jauh lebih besar dan lebih kreatif daripada yang kita selalu anggarkan.

Umum mengetahui, pemegang amanah tunggal bagi pentadbiran harta wakaf di Malaysia ialah Majlis Agama Islam Negeri masing-masing meliputi kerja-kerja menerima permohonan, pendaftaran, pindah milik, penyelenggaraan, penguatkuasaan undang-undang dan pelaksanaan skim saham wakaf atau produk-produk lain berkaitan.

Satu pujian kepada majlis agama kerana secara proaktif berani mengaplikasikan model Wakaf Tunai (melalui program seperti Cash Waqf) bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk juga berpeluang berwakaf tanpa mengira tahap kekayaan masing-masing. Sekarang, mereka yang tidak berkemampuan untuk mewakafkan sebidang tanah atau sebiji banggunan juga mampu mewakafkan wang tunai mengikut kemampuan masing-masing.

Wakaf Tunai ini mengumpulkan sejumlah dana daripada orang ramai bermula minimum RM1 sehingga satu jumlah yang mencukupi untuk membeli aset bagi maslahah ummah. Namun begitu, dengan sebegitu usaha dikerahkan melalui pelbagai inovasi model antaranya wakaf tunai, saham wakaf dan wakaf korporat, ia hanya membantu lima peratus daripada jumlah keseluruhan aset wakaf dunia Islam. Baki 95 peratus lagi masih berhadapan dengan kemelut kekurangan dana yang antaranya berpunca daripada defisit kepercayaan.

SEKOLAH TAHFIZ

Penyumbang mula tidak percaya dengan sistem aliran sumbangan yang tidak telus. Mentaliti yang wujud ini sedikit sebanyak membantutkan niat serta mempengaruhi sikap penyumbang yang lebih berwaspada. Sudah tentu skandal penipuan wang wakaf juga memainkan peranan dalam mencipta kegusaran dalam minda dan sikap penyumbang. Contohnya, apabila ada sesetengah pihak peribadi mengumpul dana wakaf untuk binaan masjid atau sekolah tahfiz tapi akhirnya sebutir batu-bata pun tidak didirikan bagi tujuan itu.

Justeru, perlu satu mekanisme yang kukuh, telus, bersifat kekal, dikawal secara berpusat dan terhindar daripada aktiviti penyelewengan dalam menepati skema urus tadbir yang baik (good governance). Teknologi kewangan (fintech) melalui komponen teknologi blok rantaian (blockhain) mungkin boleh diperkenalkan bagi menyelenggara wang dan dana yang diwakafkan untuk tujuan kegunaan serta manfaat masyarakat awam.

Persoalannya, bagaimana teknologi kewangan boleh membantu pembangunan instrumen wakaf? Dan bagaimana pula orang Islam dapat memanfaatkan sistem blok rantaian dalam membangunkan harta wakaf selari dengan syarak dan undang-undang?

Tulisan ini tidaklah berhajat untuk menjelaskan secara terperinci bagaimana dan kenapa sistem blok rantaian menjadi pilihan kepada solusi ketelusan pengurusan wakaf di Malaysia. Saya lebih kepada berhajat menjentik minda pihak-pihak berkepentingan untuk mula bersedia dan mulakan langkah dari sekarang dalam mendepani arus teknologi yang kian pesat membangun.

20 tahun dahulu, kita mungkin tidak terfikir akan membayar makanan menggunakan peranti telefon bimbit, dan begitulah juga 10, 20 tahun akan datang, pengurusan data dan harta wakaf tidak lagi diadakan atas kertas dan sudah boleh melangkaui teknologi terkini. Usaha adaptasi wakaf dan teknologi ini bukan hanya memberi manfaat kepada penyumbang dan penerima manfaat wakaf itu sendiri, bahkan menzahirkan Islam sebagai agama yang telus dan amanah dalam apa jua urusan kehidupan manusia.

Suatu langkah kreatif dan inovatif dalam merealisasikan penggunaan wakaf untuk kebajikan dan manfaat masyarakat perlu dimulakan sekarang agar zaman kegemilangan empayar Uthmaniyyah dapat dijadikan model aspirasi.

PENULIS ialah peguam syarie yang beramal di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang, juga aktivis WAFIQ dan MACSA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×