Najib dakwa Tun M menipu keputusan ICJ muktamad, tak boleh dirayu  - Utusan Malaysia

Najib dakwa Tun M menipu keputusan ICJ muktamad, tak boleh dirayu 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad berbohong apabila menyatakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan Pulau Batu Puteh adalah muktamad dan tidak boleh dirayu. 

Beliau berkata, ini kerana Artikel 61 ICJ jelas membenarkan semakan terhadap keputusannya sekiranya negara mengemukakan bukti-bukti baharu yang tidak wujud semasa keputusan ICJ dibuat pada tahun 2008.

“Tun (Dr. Mahathir) boleh baca sendiri di https://www.icj-cij.org/en/statute,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Rabu lepas, Dr. Mahathir berkata, kedua-dua negara bersetuju untuk merujuk isu tuntutan pulau berkenaan kepada ICJ dan kedua-dua pihak perlu berjanji secara bertulis akan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh ICJ termasuk tidak ada rayuan terhadap keputusan ICJ dan ia adalah muktamad.

“Rujukan kepada ICJ hanya akan diterima oleh ICJ jika perjanjian menerima tanpa soal dan keputusannya dihormati. Negara yang bermaruah mesti hormati janji. Hanya negara yang tidak bermaruah yang akan mungkir janji.

“Muktamad adalah muktamad. Jika sebuah negara tidak hormati janji, tidak ada negara lain yang akan buat perjanjian dengan negara berkenaan. Ia menjadi negara pariah,” katanya dalam kenyataan menerusi laman web beliau.

Mengulas lanjut, ahli Parlimen Pekan itu berkata, persoalan kini timbul apabila Kabinet erajaan Pakatan Harapan (PH) menarik balik tuntutan negara. 

Katanya, tuntutan itu hanya berbaki dua minggu sebelum perbicaraan di ICJ bermula, sedangkan kebanyakan kos siasatan dan guaman sudah dibelanja ketika itu. 

“Pada tahun 2011 hingga 2013, National archives United Kingdom telah melepaskan 3,000 dokumen yang sebelum ini dirahsiakan, dan dari 3,000 dokumen ini, hasil siasatan kita berjaya mengesan beberapa dokumen penting yang sangat membantu kes kita.

“Ini termasuk dokumen pegawai British yang menulis kepada Advisor Johor yang mengaku Pulau Batu Puteh (ataupun Pedra Brance dengan bangunan light house Horsburgh tidak termasuk dalam kawasan yang diberi kepada British oleh kesultanan Johor dalam perjanjian tahun 1824.

Tambah beliau, terdapat juga satu laporan angkatan laut British tahun 1958 yang mengaku mereka dihalang untuk mengambil tindakan terhadap sebuah kapal Indonesia yang sedang mengancam kapal Singapura di sekitar Pulau Batu Puteh kerana perairan di sana adalah di bawah kerajaan Johor.

“Memandangkan kerajaan BN semasa saya (menjadi Perdana Menteri) telah berjaya menemui bukti-bukti dokumen kukuh ini, maka persoalannya kenapa Tun Mahathir dan kabinet kerajaan PH menarik balik tuntutan kita,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini