PETALING JAYA: Penyedia penyelesaian ruang industri bersepadu AME Elite Consortium Berhad (AME) memperoleh kontrak berjumlah RM359 juta daripada Ye Chiu Non-Ferrous Metal (M) Sdn. Bhd. (Ye Chiu).
Kontrak terbabit untuk membina kemudahan pengeluaran bersepadu baharu, gudang logistik dan bangunan pejabat di Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, Johor.
Di bawah surat penganugerahan, AME akan membina empat blok kemudahan dengan gudang logistik, bersama pejabat dan bangunan sampingan dengan jumlah keseluruhan kawasan binaan kira-kira 2.55 juta kaki persegi.
“Blok baharu akan melengkapkan Kemudahan pengeluaran Ye Chiu yang sedia ada di Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Menurutnya, tempoh projek dijangka kira-kira 18 bulan bermula 3 November 2021 dan akan siap pada 2 Mei 2023.
Sejarah Ye Chiu di Malaysia bermula pada 1984, membabitkan sektor pembuatan dan perdagangan aloi aluminium dan produk sekerap aluminium.
Ye Chiu adalah pemilik penuh tidak langsung anak syarikat Ye Chiu Metal Recycling (China) Ltd. di Malaysia. Syarikat itu disenaraikan di Bursa Saham Shanghai dan beroperasi di China, Malaysia dan Amerika Syarikat.
“Anugerah baharu itu menunjukkan kemampuan AME untuk melakukan pembinaan bagi industri berat dan menyokong pengembangan syarikat multinasional di Malaysia,” jelasnya.
AME telah memulakan semula operasinya bulan ini selepas sekatan (akibat pandemik) ditarik balik, dan disokong oleh tenaga kerja yang telah diberi vaksin sepenuhnya. – UTUSAN










