“PERUMPAMAAN seorang mukmin adalah seperti anak pokok yang lembut dan mudah dilenturkan angin. Ada kalanya hembusan angin itu menyebabkan ia terkulai menunduk dan kadangkala pula ia menegak. Demikianlah keadaannya sehingga masanya tiba (kering dan mati).” (Muslim)
Petunjuk yang diberikan hadis Nabi SAW ini menunjukkan kehidupan seorang mukmin sarat dengan ujian. Penegasan Nabi SAW ini meneguhkan peringatan al-Quran bahawa dunia merupakan medan ujian.
Ujian ditimpakan atas manusia melalui pelbagai perkara dan cara bagi menguji tahap keimanan serta kesabaran. Pandemik Covid-19 yang mula melanda dunia pada penghujung 2019 membawa rantaian ujian bukan sedikit.
Situasi amat berbeza dari sebelumnya, membuatkan bukan sahaja pesakit bahkan ahli keluarga turut teruji. Pesakit Covid-19 misalnya, terpaksa melalui tempoh rawatan secara bersendirian di wad. Langkah keselamatan yang ditetapkan pengurusan hospital tidak membolehkan mereka diziarahi atau ditemani. Begitu juga untuk berada di sisi pada saat-saat pesakit menghembuskan nafas terakhir.
Bagi sesetengah keluarga yang berinteraksi menerusi panggilan video dengan pesakit yang akan diintubasi, ia merupakan pengalaman sungguh menghibakan. Apatah lagi sekiranya pesakit berkenaan tidak kembali sedar malah meninggal dunia.
Pengurusan jenazah pesakit berkenaan juga begitu berbeza dan perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan. Jika sebelum ini, anggota keluarga sendiri yang lazimnya menyempurnakan urusan itu, namun kini terpaksa diserahkan kepada petugas kesihatan atau agensi lain.
Demikian juga upacara pengebumian yang tidak dapat dihadiri anggota keluarga dan sahabat-handai secara bebas untuk mengelakkan penularan wabak.
Demikian pula halangan untuk menziarahi keluarga terbabit sepanjang melalui fasa kehilangan yang memainkan peranan penting dalam proses pemulihan. Bagi keluarga yang kehilangan ibu, ahli keluarga dan bapa bagi anak-anak yang masih kecil mesti memainkan peranan berkesan.
Hal tersebut dapat memastikan aspek emosi, fizikal, kognitif dan tingkah laku anak-anak dapat dikendalikan dengan baik.
Anthony Mancini dalam artikelnya bertajuk Loss and Grief: The Role of Individual Difference menyatakan, kajian yang dijalankan terhadap 350 individu mendapati selepas dua bulan kehilangan pasangan, 70 peratus daripada mereka masih sukar mempercayai pasangan telah meninggalkan mereka.
Individu yang kehilangan insan tersayang juga lazimnya terlalu memikirkan memori bersama. Ikatan kuat dengan memori tersebut terzahir melalui perubahan identiti selepas melalui fasa kehilangan.
DABDA
Semua pengalaman yang dilalui ini dirumuskan oleh Elisabeth Kübler-Ross dalam bukunya On Death and Dying pada 1969. Beliau menjelaskan lima peringkat kesedihan dikenali sebagai DABDA. Ia meliputi peringkat penafian (denial), kemarahan (anger), tawar-menawar (bargaining), kemurungan (depression) dan penerimaan (acceptance).
Menurut Ross, peringkat ini tidak bersifat linear dan sesetengah individu mungkin hanya melalui beberapa peringkat atau tidak melaluinya sama sekali. Petunjuk daripada al-Quran dan hadis menyatakan kesedihan merupakan perkara lumrah dalam kehidupan.
Al-Quran menceritakan kedukaan dilalui Nabi Ya’qub a.s. disebabkan kehilangan Nabi Yusuf a.s. sehingga matanya berselaput putih disebabkan tangisan. Al-Quran turut memberikan panduan terbaik melalui Nabi Ya’qub a.s. bagaimana kesedihan perlu ditangani: “Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan kedukaanku kepada Allah.” (surah Yusuf 12:86 dan “…bersabarlah daku dengan sebaik-baiknya dan Allah jualah yang dipohon pertolongan-Nya tentang apa yang kamu katakan itu…” (surah Yusuf 12:18).
Kata-kata penuh hikmah ini malah turut dirujuk serta dilafazkan Sayyidatuna Aisyah r.a. sewaktu beliau menghadapi kedukaan berat akibat fitnah yang dilemparkan terhadap dirinya dan Safwan ibn al-Muattal al-Sulami. Selain al-Quran, hadis Nabi SAW juga memberikan banyak petunjuk untuk menangani kesedihan yang menyelubungi diri.
Sirah baginda sendiri merakamkan pelbagai ujian berat yang membawa kedukaan dalam hidup. Sebagai contoh, baginda kehilangan isteri yang amat dicintai, Sayyidatuna Khadijah r.a. dan bapa saudara pada tahun yang sama, iaitu pada 619M atau 620M sehingga digelar ‘tahun dukacita.’
Demikian juga kehilangan enam daripada tujuh cahaya mata sepanjang hayat baginda serta sahabat-sahabat yang dikasihi yang syahid dalam peristiwa seperti Perang Uhud dan Bi’r Ma’unah. Begitu juga pemulauan kaum Quraisy Mekah terhadap Bani Hasyim dan Bani Abdul Muttalib yang berlangsung selama tiga tahun.
Tindakan tersebut antara lain melarang urusan perniagaan dengan kedua-dua kabilah berkenaan menyebabkan Nabi SAW dan pengikut-pengikut baginda menghadapi situasi amat sukar apabila bekalan makanan terputus. Situasi yang sangat menekan inilah juga menyebabkan kemerosotan kesihatan Abu Talib serta Sayyidatuna Khadijah r.a. dan akhirnya meninggal dunia.
Dalam semua situasi ini, Nabi SAW menunjukkan teladan terbaik untuk menghadapi setiap ujian dalam kehidupan termasuk kehilangan insan tersayang. Hal ini umpamanya jelas dalam jawapan baginda kepada Abdul Rahman bin ‘Auf yang menanyakan perihal tangisan baginda ketika putera baginda, Ibrahim meninggal dunia.
Menurut baginda, tangisan merupakan rahmat dan air mata yang dititiskan serta kesedihan yang menyelubungi jiwa sehingga mendorong perkara yang tidak diredai Allah dilafazkan.
Dengan kata-kata lain, tangisan dan kesedihan merupakan fitrah insani. Namun pada masa sama, sebagaimana diajar baginda SAW, setiap ujian mesti dihadapi dengan kesabaran, kesyukuran dan keyakinan terdapat pelbagai hikmah di sebaliknya. Hikmah yang barangkali kemudiannya dapat disaksikan oleh hamba yang diuji atau pula selama-lamanya hanya kekal menjadi rahsia Allah SWT.
PENULIS ialah Felow Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










