
PETALING JAYA: British American Tobacco Malaysia Berhad (BAT Malaysia) menggesa kerajaan meningkatkan inisiatif penguatkuasaan di kawasan perairan negara bagi membanteras pasaran gelap tembakau dan penyeludupan rokok dalam Belanjawan 2022.
Pengarah Urusan BAT Malaysia, Nedal Salem berkata, penguatkuasaan bagi memerangi pasaran gelap tembakau dalam Belanjawan 2021 telah menunjukkan kejayaan.
Bagaimanapun katanya, sindiket jenayah kini menghalang usaha penguatkuasaan itu dengan penyeludupan melalui laluan pantai, jeti peribadi dan tempat mendarat yang tidak rasmi.
“Laporan media menunjukkan Polis Marin telah merampas lebih RM220 juta barang seludup dari Januari hingga Jun 2021, berbanding RM55.75 juta pada tempoh yang sama tahun lalu. Lebih 70 peratus barang seludup itu adalah rokok, minuman keras dan dadah,” katanya dalam kenyataan.
Salem turut meminta kerajaan mengekalkan penggunaan cukai tembakau bagi menangani jurang harga produk tembakau antara pasaran sah dan gelap.
Beliau turut menekankan, pengurangan bahaya tembakau (THR) adalah fokus utama untuk mengurangkan kesan kesihatan dalam perniagaan syarikat itu.
Justeru katanya, BAT Malaysia memohon peraturan dan percukaian risiko berkadar dapat ditetapkan untuk produk berisiko rendah seperti rokok elektronik (vape) nikotin.
“Kini, terdapat lebih sejuta pengguna vape di Malaysia yang menggunakan produk tidak dikawal selia.
“Peraturan adalah penting untuk diperkenalkan bagi memastikan pengguna vape mempunyai aksek kepada produk yang dikawal selia, memenuhi kualiti standard dan keselamatan,” jelasnya.
Tambah beliau, percukaian dan peraturan juga harus berdasarkan bukti dengan mempertimbangkan risiko lebih rendah yang dimiliki oleh produk itu dan tidak menganggap ia sama seperti rokok konvensional.
Katanya, itu akan memberikan pengguna akses kepada alternatif yang kurang berisiko yang dikategorikan secara saintifik. – UTUSAN










