MENDIDIK anak-anak dalam era pandemik Covid-19 adalah amat mencabar. Selain sekatan pergerakan, banyak aktiviti pembelajaran bersemuka tergendala dan diganti pembelajaran secara dalam talian.
Belajar dalam talian yang masuk dua tahun memberi kesan yang berbeza kepada anak-anak. Ada yang boleh mengikutinya dengan baik, ada juga yang gagal memahami apa yang disampaikan guru.
Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemubual Timbalan Dekan Pascasiswazah dan Penyelidikan, Kulliyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, PROF. MADYA DR. MASTURA BADZIS bagi mengupas isu ini.
Beliau juga adalah Pakar Perkembangan dan Pendidikan Anak-anak. Bidang pengajaran beliau adalah psikologi pendidikan.

Dalam tempoh PKP, anak-anak terhad pergerakan mereka. Belajar pun hanya dalam talian. Kegiatan sukan pun tidak dibenarkan. Bagaimana nak pastikan hal ini tidak menjejaskan pertumbuhan mereka dan perkembangan fizikal yang sihat?
Perkembangan fizikal secara umumnya dikawal oleh perkembangan otak. Apabila kanak-kanak sudah boleh bergerak sendiri dan melakukan aktiviti-aktiviti fizikal itu bermakna kanak-kanak telah memperolehi kemahiran mengawal tubuh badan mereka.
Pertumbuhan pula adalah perkembangan seseorang individu dalam bentuk saiz badan, misalnya perubahan otot, tulang, rambut, kulit dan kelenjar.
Perkembangan fizikal melibatkan dua kemahiran utama iaitu motor kasar dan motor halus. Kemahiran motor kasar kanak-kanak adalah kawalan ke atas tingkahlaku yang memerlukan bantuan banyak otot dan membolehkan kanak-kanak bergerak balas dengan persekitarannya,
Antara contoh perkembangan kemahiran motor kasar ialah penggunaan otot-otot kasar lengan, kaki, pinggul dan belakang.
Umpamanya bila hendak duduk, merangkak, berjalan, menangkap, menarik, menolak, menendang dan membaling bola, memanjat, berjalan turun naik tangga, membongkok, melakukan aktiviti gerak tari dan sebagainya.
Kemahiran motor halus pula melibatkan koordinasi otot-otot halus tangan, jari untuk menunjuk, melukis, membutang baju, memegang peralatan dapur, menulis, menggenggam, mencubit dan pelbagai lagi.
Selain itu, perkembangan fizikal juga melibatkan perkembangan deria penglihatan, pendengaran, sentuhan, menghidu dan merasa dengan lidah.
Justeru, untuk memastikan perkembangan fizikal yang sihat banyak aktiviti seperti yang dinyatakan boleh dilakukan di rumah tidak hanya terbatas kepada aktiviti luar.
Bagi memastikan pertumbuhan dan perkembangan fizikal yang sihat, perkara asas yang perlu diberi keutamaan ialah pemakanan sihat dan seimbang serta mewujudkan persekitaran yang boleh membantu perkembangan mental yang sihat tanpa tekanan.
Hakikatnya perkembangan bahagian-bahagian anggota adalah saling berkait dan mempengaruhi keseluruhan individu. Perkembangan fizikal turut mempengaruhi perkembangan lain seperti perkembangan bahasa, keyakinan diri dan kemahiran sosial.
Dalam tempoh PKP selama kira-kira dua tahun, banyak perubahan dalam cara hidup. Golongan kanak-kanak terutama 12 tahun ke bawah tak dibenarkan solat di masjid. Ini menimbulkan kebimbangan mereka makin jauh dengan masjid. Bagaimana mengatasi hal ini?
Banyak perkara boleh dilakukan bagi mendekatkan anak dengan masjid. Informasi dari sistem teknologi boleh digunakan bertujuan memahamkan anak tentang fungsi sebenar masjid dalam sistem sosial Islam.
Tuntutan keperluan solat berjemaah secara praktikal boleh dilaksana di rumah dan tidak semestinya perlu ke masjid. Ibu bapa wajar memainkan peranan penting bagi memberi kefahaman kepada anak tentang masjid dan fungsinya.
Ini boleh dilakukan melalui pelbagai cara dan pendekatan melalui aktiviti simulasi, bercerita, main peranan dan sebagainya bagi mengisi masa bersama keluarga sepanjang tempoh PKP tersebut.
Jika si kecil dibawa ke masjid sekalipun dalam keadaan dia belum memahami fungsi masjid, kewajipan bersuci untuk beribadah dan peraturan-peraturan lain yang memerlukan kemahiran menaakul dan sebagainya, ini tidak dapat membantu anak mendekatkan diri dengan masjid.
Sayugia diingatkan, dari sudut teori pembelajaran, pengalaman pertama yang dialami oleh seseorang kanak-kanak akan memberi impak terhadap persepsinya mengenai sesuatu perkara.
Sekiranya anak dibawa ke masjid buat kali pertama dan dia mengalami pengalaman yang kurang menyenangkan contohnya dimarahi, dihalau dan sebagainya, dia akan beranggapan masjid adalah tempat yang perlu dijauhi dan bukan tempat yang dapat memberikan ketenangan.
Justeru, isu ‘makin jauh dari masjid’ adalah suatu yang abstrak. Bergantung kepada bagaimana kanak-kanak itu mendapat pengetahuan atau pengalaman tentang fungsi masjid itu sendiri.

Saidina Ali Abi Talib berkata: “Ajarilah anak-anakmu sesuai dengan zamannya”. Sejauh mana ibu bapa hal ini terutama dalam zaman teknologoi maklumat dan komunikasi (ICT) sekarang?
Dalam konteks ini, suruhan menyampaikan ilmu kepada anak, tersirat pesanan menggesa pengasuh dan pendidik menimba dan memiliki ilmu untuk menjana pembangunan generasi .
Dalam pesanan tersebut terserlah kenyataan bahawa generasi hari ini membesar di zaman yang lain dari zaman yang kita lalui. Justeru ilmu yang perlu ditimba wajarlah selari dengan arus zaman.
Penyampaian ilmu pula memerlukan strategi dan pendekatan khusus agar apa yang disampaikan memberi kesan kepada penerimanya sehingga boleh difahami, dihayati, diamal dan diaplikasikan dalam kehidupan.
Isu berkaitan dunia digital perlu diperbincang dan diketengahkan bukan sekadar menganalisa kesan dunia digital terhadap kanak-kanak atau menghalang penggunaannya dengan meluas.
Malah penyelesaian masalah perlu dilihat dari segi menyediakan isi kandungan digital, konteks digital dan impaknya terhadap kanak-kanak itu sendiri.
Cabaran yang dihadapi hari ini adalah untuk memahami dan mengurus risiko yang dihadapi. Dalam waktu yang sama mengenalpasti kebaikan yang boleh diperolehi dari ketiga-tiga aspek tersebut.
Guru, ibu bapa, penggubal polisi dan ahli masyarakat perlu bekerjasama dalam hal ini.
Anak-anak kini lebih banyak habiskan masa dengan gajet terutama telefon pintar. Sesi berbual mesra dan bergurau senda adik-beradik dan ibu bapa makin dilupakan. Apa kesan perkara kepada hubungan kekeluargaan dalam jangka panjang?
Kelaziman media elektronik dalam kehidupan kanak-kanak ini bermaksud mereka menghabiskan jumlah masa yang begitu banyak di hadapan skrin dan terlibat dengan pelbagai jenis skrin termasuk televisyen, komputer, telefon pintar, tablet, peranti permainan genggam dan konsol permainan.
Dalam membincangkan isu screen time ini, tidak dapat tidak rasa gusar menghantui pemikiran pelbagai pihak. Ini kerana secara umumnya ia memberi impak yang negatif terhadap kanak-kanak dan remaja dari segi kesihatan, aspek pemikiran, hubungan sosial, tatasusila peradaban dan sebagainya terutama bagi kanak-kanak dan remaja.
Penularan pandemik Covid-19 dan penyelesaian masalah penutupan sekolah dengan menjadikan pengajaran dan pembelajaran di rumah sebagai modus operandi telah menjadikan kanak-kanak dan remaja semakin tidak boleh dipisahkan daripada skrin. Malah ia mengambil sebahagian besar masa mereka dalam kehidupan seharian.
Justeru, mahu tidak mahu kita terpaksa akur bahawa kanak-kanak dan kandungan digital sudah tidak dapat dipisahkan di abad ini.
Kesan kepada hubungan kekeluargaan bergantung kepada bagaimana cara ibu bapa sesebuah keluarga menanganinya.
Ruangan masa yang diberi kepada anak bermain dengan gajet jika ditukar kepada aktiviti yang membolehkan mereka berkomunikasi dan duduk bersama dengan ibu bapa seperti masak bersama, mengemas rumah bersama, bermain catur bersama dan sebagainya juga adalah langkah yang bijak bagi mengalihkan perhatian anak kepada aktiviti yang lebih berbentuk hubungan kemanusiaan dan interaksi sosial.
Selain itu, ibu bapa juga wajar meluangkan lebih banyak masa mendekatkan anak dengan persekitaran alam semula jadi sebagai satu terapi agar anak tidak terus dikelilingi dengan ‘robot’ yang menyesakkan pemikiran.
Ada ibu bapa yang mendedahkan anak-anak dengan gajet terutama telefon pintar seawal anak-anak berusia dua tahun. Adakah ini tindakan yang betul dari segi pembangunan psikologi mereka?
Pakar psikologi kanak-kanak mengkategorikan telefon pintar atau gajet sebagai ‘permainan pasif’. Ini kerana sifatnya yang tidak merangsang keupayaan kanak-kanak untuk berinteraksi dan tiada hubungan kemanusiaan.
Kanak-kanak sepatutnya tidak dibiarkan bermain dengannya melebihi satu jam sehari.
Adalah lebih baik mendedahkan anak dengan pelbagai aktiviti yang dapat memaksimumkan penggunaan kelima-lima deria melalui penerokaan, eksperimen dan pengalaman secara langsung dengan dunia persekitaran.
Apa yang ditonton atau dilihat oleh anak pada skrin gajet bukanlah perkara yang dapat memberi pengalaman langsung kepada mereka kerana tiada elemen eksplorasi dan membuat ‘eksperimen’ menggunakan sensori.
Sebagai contoh, kalaupun ada gambar buah, tidak dapat dihidu baunya, tidak dapat dirasa manis atau masamnya, tidak dapat disentuh untuk dikenalpasti apakah teksturnya. Apatah lagi jika yang ditumpukan perhatian pada skrin gajet itu adalah elemen khayalan yang tiada kaitan dengan realiti.
Sebagai akibatnya, si kecil akan semakin jauh dari persekitaran semula jadi dan semakin hilang kefahaman tentang hubungan kemanusiaan dan tatacara peradaban.
Contoh yang paling mudah untuk diteliti dan dianalisis; bila si kecil begitu ghairah bermain angry bird, apa yang diamalkan berdasarkan peraturan permainan tersebut ialah bila benda dimusnahkan, mata akan dikutip.
Semakin banyak benda yang dimusnahkan semakin puaslah hati kerana dapat mencapai dan mengumpul mata yang banyak. Bagaimana kalau perkara ini direalisasikan dalam kehidupan seharian?
Bukankah ini akan membiasakan anak untuk bertindak ganas setiap kali ingin mencapai apa yang diinginkan?

Peralihan kebergantungan manusia kepada teknologi dilihat semakin menghakis sifat kasih sayang dan menghormati golongan lebih tua. Bagaimanakah cara ibu bapa menangani situasi ini?
Dalam usaha mengatasi permasalahan ini, pelbagai teknik dan pendekatan boleh dilakukan. Asalkan ia bersesuaian dengan tahap umur dan kebolehan anak. Pertamanya, cuba punca kenapa si anak menghabiskan sebahagian besar masanya bermain gajet.
Adakalanya anak-anak bermain dengan gajet bukan kerana ketagih tetapi sebagai cara untuk dia melarikan diri dari dunia realiti terutama jika si anak sedang berhadapan dengan sesuatu masalah.
Ibu bapa juga perlu mengenalpasti sejauh mana si anak ketagih dengan gajet tersebut dan apakah yang ditagihinya; adakah anak ketagih dengan sejenis permainan tertentu atau ketagih untuk chatting online atau sekadar melayari internet bagi mendapatkan maklumat.
Meletakkan kata kunci bagi gajet tersebut dan memindahkan gajet untuk diletakkan ke ruangan yang lebih terbuka berbanding di ruang bilik tidurnya. Ini akan dapat membantu mengurangkan penggunaan gajet tersebut dan lebih memudahkan ibu bapa memantau penggunaannya.
Jika gajet tersebut merupakan ipad yang mudah dibawa ke mana-mana, pastikan ibu bapa mempunyai autoriti untuk menyimpannya dan anak-anak hanya dibenarkan menggunakannya bila diizinkan berbuat demikian berdasarkan peraturan yang seboleh-bolehnya dipersetujui bersama dari segi masa penggunaan dan sebagainya.
Menggunakan timer adalah salah satu cara mendisiplinkan anak menghormati masa penggunaan gadget dan bermain permainan komputer. Kelembutan adalah perlu tetapi ketegasan juga perlu ditonjolkan kena pada tempatnya.
Mendisiplinkan anak pastinya memerlukan kesabaran yang tinggi kerana bila emosi marah menguasai diri, suasana akan bertukar menjadi regimentasi. Lalu secara tidak sengaja mungkin berlaku penderaan fizikal dan yang paling malang penderaan emosi yang tidak disedari dialami oleh anak-anak.
Antara tanggungjawab ibu bapa ialah menggunakan ilmu mengenai perkembangan anak dan kemahiran berfikir agar dapat melihat sesuatu dari perspektif kanak-kanak. Kunci utama dalam menetapkan sesuatu peraturan atau batasan bagi sesuatu tingkahlaku ialah pandangan yanwg realistik terhadap sesuatu tingkah laku dan kesesuaian tingkah laku dengan usia dan tahap perkembangan anak.
Hakikatnya, teknologi digital bukan semuanya memberi kesan buruk malah ia boleh dimanfaatkan semaksimum mungkin untuk perkembangan, pembelajaran dan pendidikan kanak-kanak. Ia dengan mengambil kira ciri-ciri semula jadi kanak-kanak, tahap perkembangan dan keperluan psikologi mereka.
Tanpa panduan, penggunaan teknologi digital yang sepatutnya mampu membentuk minda kanak-kanak agar lebih banyak berfikir dan bertadabbur, boleh menjadi tidak sesuai malah dibimbangi mengganggu proses perkembangan dan pembelajaran serta menyebabkan pendidikan di era teknologi maklumat ini menjadi pincang.










