PETALING JAYA: Jumlah keseluruhan industri (TIV) sektor automotif pada September lalu meningkat 153 peratus kepada 44,275 unit berbanding 17,500 unit pada Ogos.
Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), peningkatan tersebut berikutan operasi perniagaan yang kembali berlangsung sepanjang bulan selepas kelonggaran sekatan pergerakan diberikan.
Jumlah itu bagaimanapun menurun tujuh peratus berbanding bulan sama tahun lalu yang mencatatkan jualan 57,758 unit.
“Kekurangan cip komputer memberi kesan kepada jualan beberapa jenama.
“Beberapa jenama turut berhadapan dengan pembatalan tempahan disebabkan sentimen pelanggan yang rendah,” kata MAA dalam kenyataan semalam.
Menurut data yang diterbitkan MAA, Sebanyak 45,972 unit kenderaan dihasilkan pada September lalu, berkurang berbanding 51,987 unit yang dihasilkan pada bulan sama tahun lalu.
Jumlah keseluruhan penghasilan pada tahun ini sehingga September juga belum dapat mengatasi jumlah penghasilan dalam tempoh sama tahun lalu, iaitu 303,996 unit berbanding 315,863 unit.
Begitu juga dari segi jualan apabila jumlah jualan dalam sembilan bulan pertama tahun ini sebanyak 318,874, kurang berbanding 344,019 unit yang dijual dalam tempoh sama tahun lalu.
MAA bagaimanapun menyasarkan jualan pada Oktober akan mengatasi jualan September berdasarkan beberapa faktor pertumbuhan untuk sektor automotif.
Ia termasuk operasi perniagaan yang sudah pulih di seluruh negara disebabkan kelonggaran sekatan pergerakan rentas negeri dan peralihan kebanyakan negeri ke fasa yang lebih tinggi dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Tambahan lagi, menurut MAA, syarikat-syarikat pembuat kenderaan turut meningkatkan pengeluaran dan penghantaran kenderaan pada bulan ini. – UTUSAN









