PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) akan merebut semula dua kerusi yang pernah dimenangi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berkata, untuk mendapatkan kerusi tersebut ketika Bersatu masih bersama PH, pihaknya akan meletakkan calon-calon terbaik dan boleh menang sekali gus menjadi kayu ukur kemenangan pembangkang.
Pada masa yang sama, katanya, PH juga akan bertanding di semua 28 kerusi DUN Melaka selain yakin tidak berdepan masalah besar dalam soal agihan kerusi antara parti komponen kerana ia akan diberikan secara adil dan saksama.
“Isu agihan kerusi bagi kami tidak begitu perit jika dibandingkan pihak di sebelah ‘sana’ dan saya menjangkakan setidak-tidaknya kita akan bertembung tiga penjuru di setiap kerusi tetapi mungkin juga lebih.
“Pun begitu, kami tidak boleh alpa dan leka atau menganggap laluan ini mudah tetapi yang penting kita memastikan gerak kerja berjalan lancar dan kesiapsiagaan mesti dalam keadaan terbaik,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Ditanya mengenai perpecahan pola undian akibat lebih banyak parti Melayu bertembung dalam pilihan raya negeri akan datang, ahli Parlimen Lembah Pantai daripada PKR itu berkata, masih terlalu awal menjangkakan sesuatu perkara yang belum pasti berlaku.
“Sukar untuk kita mengetahui keputusan ini kerana ia didorong oleh banyak faktor seperti calon, kawasan, kepimpinan di peringkat nasional dan negeri. Jadi, masih terlalu awal untuk kita benar-benar tahu sentimen pengundi bagaimana.
“Dan saya jangka, kawasan yang telah dikhianati, di situlah kita akan menyaksikan semangat yang mungkin menjadi luar biasa kerana kita akan tahu sama ada pengundi bersedia menghukum pengkhianat mereka,” katanya.
Pada PRU14 lalu, dua ADUN daripada Bersatu iaitu Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) bertanding dan menang di atas tiket PKR menumpaskan UMNO dan Pas ketika parti itu masih menganggotai PH.
Ketika itu, logo PKR terpaksa digunakan sebagai mewakili pembangkang kerana PH dan Bersatu belum didaftarkan sebagai badan politik rasmi di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Namun gabungan itu pecah selepas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa partinya keluar pada Februari lalu dan membentuk blok sendiri dinamakan Perikatan Nasional (PN) bersama 11 ahli Parlimen PKR yang membelot.
Noor Effandi pula antara ADUN yang menarik sokongan terhadap kepemimpinan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali (UMNO) bersama Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) yang membuka jalan kepada PRN Melaka. – UTUSAN ONLINE










