Jiwa kental Nadea bina empayar tudung Sebawang - Utusan Malaysia

Jiwa kental Nadea bina empayar tudung Sebawang

TULANG belakang tudung Sebawang yang kini seramai 12 orang staf. -UTUSAN/MUHAMMAD SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERJALAN sampai ke batas, belayar sampai ke pulau. Walaupun pernah jatuh beberapa kali, dikhianati dan dikecam sekalipun tidak melunturkan semangat pengasas Sebawang dan Cakenut, Nadea Fauzi, 35, untuk terus bergelar usahawan berjaya.

Nadea atau nama sebenarnya, Nurul Nadiah Sazali pernah menggadai barang kemasnya dan ibunya kira-kira RM10,000 sebagai modal perniagaan tudung sarung atau instant, Sebawang.

“Namun ketika itu bisnes saya gagal. Terpaksa berputih mata. Material yang digunakan sangat tidak elok dan hancur. Ikutkan Sebawang ini sudah terkubur. Namun bernasib baik dapat fikir semula, ini bukan salah diri sendiri tetapi disebabkan produk dan ia masih boleh diperbaiki,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sungguhpun ketika itu Nadea hampir putus harapan selepas dua kali gagal dalam mempertahankan perniagaannya, semangat untuk bangkit dapat sokongan suami,

“Suami beri sokongan ketika itu untuk mendapatkan funder. Funder memberi RM10,000 dan kami bayar balik RM16,000. Alhamdulillah melalui duit itulah saya bangunkan Sebawang sejak dua tahun lalu sehingga hari ini.

NADEA FAUZI

“Ada sesetengah orang, apabila dapat modal atau duit akan ambil sedikit untuk kegunaan sendiri tetapi saya tidak. Modal digunakan fokus untuk perniagaan sahaja. Masa itu, saya sanggup makan tepi jalan dan bersusah,” katanya.

Nadea yang begitu mesra dan bersahaja semasa ditemu bual berkata, Sebawang bermula daripada empat gulung kayu kain kepada 10 gulung. Kini mampu menempah dua kontena yang nilainya cecah RM1 juta.

“Bagaimanapun, kekangan Sebawang adalah dari segi pengeluaran. Pada masa akan datang, saya ingin cari tapak atau gudang untuk menempatkan stok banyak dan pekerja ramai serta modal yang lebih besar untuk persediaan mengambil berpuluh-puluh kontena kain,” katanya.

Sedar akan kekurangan syarikatnya terutama pengeluaran, Nadea bijak memasang strategi untuk tidak mengeluarkan belanja besar bayar iklan di billboard, televisyen dan sebagainya.

Sebaliknya lebih selesa bergerak ikut kemampuan dan kreativiti tersendiri menerpa nama Sebawang sebaris jenama lain.

BEKAS JURURAWAT

Wanita yang kuat bekerja, berjiwa kental dan tidak pernah mensia-siakan masa itulah menggambarkan diri Nadea.

Mengimbau detik sebelum menceburi bidang perniagaan secara serius, Nadea pernah berkhidmat sebagai Jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Ayer Tawar, Perak pada 2007.

Kemudian, memulakan kerjaya sebagai jururawat di Hospital Teluk Intan, Perak dan di Klinik Kesihatan, Sungai Rengit, Johor antara 2012 dan 2015 selepas menamatkan pengajian di sebuah kolej kejururawatan.

Sewaktu bergelar pelajar Diploma Kejururawatan Asas, Nadea mula berkecimpung dalam dunia perniagaan dengan berniaga secara dalam talian melalui blog menjual baju bundle pada 2010.

“Semuanya gara-gara tidak cukup duit untuk bayar bulanan kereta RM555. Elaun pelajar kejururawatan masa itu hanya RM600. Saya pula membeli kereta ketika menjadi Jurulatih PLKN.

“Kemudian, dapat pula tawaran sambung belajar di kolej kejururawatan. Disebabkan terdesak, saya serahkan kereta kepada rakan untuk sambung bayar dan mula berniaga bundle.

“Sehinggalah saya habis belajar dan berkhidmat di hospital pada 2012, saya beranikan diri buka butik menjual baju dan tudung. Saya buat dua kerja ketika itu,” katanya.

Nadea menamatkan zaman bujangnya pada 2013 dan berpindah ke Johor namun akibat tekanan di sekeliling, beliau membuat keputusan berhenti sebagai jururawat.

SERIK ADA RAKAN KONGSI

Nadea kemudian menjalankan perniagaan kosmetik secara serius bersama rakan kongsi pada 2015 namun tidak mampu bertahan disebabkan masalah dalaman.

“Pada awalnya, saya nak buat bisnes tanpa rakan kongsi tapi disebabkan nak bantu dia sakit ketika itu yang memerlukan ubat cecah berpuluh-puluh ribu sebulan maka kami usaha bersama-sama.

“Niat nak tolong tapi lama-kelamaan perniagaan kami mendapat campur tangan keluarganya sehingga mengganggu perjalanan bisnes. Jadi, saya menarik diri daripada bisnes tersebut,” katanya.

Tidak kenal erti kalah, Nadea kemudian membuka syarikat sendiri menjual kosmetik dan membuka butik pada 2016.

“Untuk kosmetik saya bergerak sendiri. Tetapi butik sekali lagi dibuka dengan rakan kongsi. Namun, disebabkan rakan kongsi tidak amanah butik tidak dapat bertahan lama .

“Bisnes terpaksa tutup walaupun syarikat baru sahaja tukar kepada Sdn. Bhd. dan hanya bertahan sehingga 2018,” katanya yang pernah keguguran kerana diserang secara mental ketika itu.

Bertitik-tolak daripada peristiwa itu, Nadea meneruskan minatnya berniaga dengan menjual produk orang lain dan tidak sangka mencapai jualan enam angka dalam masa setahun.

Disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Nadea akhirnya berputus asa dan mengalami kemurungan apabila jualan produk berkenaan goyah akibat menerima kecaman yang teruk kerana tiada kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Walaupun pernah memberitahu pengasas produk tersebut untuk mendapat kelulusan namun tidak diendahkan. Sekali lagi saya rasa down seolah-olah satu dunia kecam dan mentertawakan. Saya ibarat kambing hitam ketika itu.

“Jadi, dua minggu saya tak keluar rumah, rupa pun seakan ‘kain buruk’. Seperti mati laki hanya berlepek, berkurung diri. Nasib tidak depresi ketika itu.

“Saya kemurungan sebab rasa tiada peluang lagi. Buat macam-macam bisnes, tapi semua tak jadi. Saya tanya pada diri, ‘sampai bila nak jadi macam ini?” katanya.

KELUARGA bahagia Nadea bersama suami, Lt. Kdr. Mohd. Fauzi Abdul Halim dan tiga anaknya, Dhia Imanina (tengah), Dhaffa Iman (kanan) dan Inas Yasmin.

CETUS IDEA

Bertitik tolak daripada jatuh bangun sepanjang bergelar usahawan dalam perniagaan ‘tidak menjadi’, Nadea temui kekuatan. Ia membuatkan ibu tiga anak ini bangkit meneruskan mengejar cita-citanya.

Ujar Nadea, suami adalah pencetus idea menjalankan perniagaan tudung sarung kerana suka melihatnya memakai tudung jenis itu selain pantas menggayakan, ironless dan terletak elok. Namun

Nadea cerewet untuk memilih yang selesa untuk dipakai.

“Saya suka beli tudung sarung tapi ada juga yang tidak pakai. Jadi, suami bagi idea untuk saya buat tudung sarung dengan jenama sendiri,” katanya yang terfikir untuk menjual nasi lemak pada awalnya bagi membayar komitmen bulanan.

SEBAWANG UBAH NASIB

Lahirnya tudung sarung Sebawang yang memberi tuah dan mengubah nasib Nadea pada April 2019.

“Masa itu saya tiada idea untuk letak jenama. Satu-satunya insan yang ada bersama saya ketika itu ialah Nurul Nabilah Hazwani Mohd. Saiful atau Bella yang kini sebagai Pengurus Kewangan Sebawang Malaysia (Sebawang).

“Saya anggap Bella seperti adik sendiri. Dialah yang ada ketika syarikat dari zero sehingga sekarang. Saya lantik Bella sebagai orang kanan syarikat.

“Kami bincang pada pukul 3 pagi nak letak nama tudung sarung ini. Macam-macam kombinasi. Kemudian, Bella yang utarakan untuk letak nama sebagai tudung bawang. Dan saya juga akui yang ‘mak cik bawang’ juga pakai tudung jenis sarung.

“Terfikir takkan nak letak nama tudung Bawang sebab tidak komersial. Jadi, saya cadangkan untuk letak S di depan sebagai simbol duit ($). ‘Se’ pula mewakili satu atau sehelai maka jadilah Sebawang,” katanya.

NADEA dan Bella mampu tersenyum bangga daripada empat gulung kayu kain kepada 10 gulung, kini mampu tempah dua kontena kain yang nilainya cecah RM1 juta.

Sebawang mengeluarkan produk utamanya iaitu Tudung Sarung yang mempunyai tiga saiz (Free Size, L dan XL). Ia terkenal dengan awning mudah laras, ironless serta tidak berbulu selepas dibasuh kerana bahan yang custom dan premium.

“Selain tudung Sarung, Sebawang turut mengeluarkan Bawal Instant atau Serlom, Easy Shawl, Bawal dan Shawl Ikat Tepi. Setiap edisi Sebawang mengikut konsep dan bermusim serta warna yang disediakan adalah terhad.

“Harga amat berpatutan antara RM35 hingga RM49 sahaja,” katanya yang mempunyai pelanggan di seluruh negara, Brunei dan Amerika Syarikat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×