Lebih ramai jemaah umrah Malaysia akan berlepas ke Arab Saudi - Utusan Malaysia

Lebih ramai jemaah umrah Malaysia akan berlepas ke Arab Saudi

Gambar hiasan - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 300 daripada 18,000 bakal jemaah umrah yang berdaftar dengan Agensi Andalusia Travel & Tour Sdn. Bhd. (Andalusia) berpeluang menunaikan ibadah umrah bulan ini.

Menurut Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md. Daud Che Ngah, agensinya sudah membuat perbincangan serta persiapan bersama kedutaan Arab Saudi dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Katanya, walaupun penetapan baharu prosedur operasi standard (SOP) amat ketat, Andalusia bersiap sedia melakukan tiga penerbangan ke tanah suci pada penghujung bulan Oktober dan awal November bermula 30 Oktober sehingga 10 November.

“Setakat ini, seramai 18,000 bakal jemaah telah berdaftar bersama Andalusia. Namun, hanya separuh memberikan jawapan.

“Daripada jumlah tersebut, segelintir di antara mereka tidak memberi jawapan disebabkan tidak melepasi syarat SOP ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi iaitu hanya membenarkan bakal jemaah dengan dos galakkan bagi vaksin sinovac,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Kerajaan Arab Saudi menetapkan syarat dengan hanya membenarkan individu yang mengambil dos ketiga suntikan vaksin sinovac untuk menunaikan umrah.

Md. Daud berkata, bakal jemaah yang menerima vaksin sinovac terpaksa menangguhkan hasrat untuk menunaikan ibadah umrah kerana ketika ini berikutan tiada lagi pelaksanaan dos pengalak bagi vaksin tersebut di Malaysia.

“Saya berharap pihak kerajaan segera membuat keputusan untuk melaksanakan suntikan dos penggalak untuk memenuhi syarat SOP negara luar untuk melancong terutamanya kepada bakal jemaah umrah,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, kos menunaikan umrah meningkat sebanyak 30 peratus yang boleh mencecah sehingga hampir RM10,000.

Katanya, peningkatan kos tersebut disebabkan penetapan SOP baharu oleh kerajaan Arab Saudi yang menetapkan hanya dua jemaah sahaja dibenarkan menetap di dalam sesebuah bilik.

“Penetapan SOP itu sekali gus meningkatkan kos umrah sehingga hampir RM10,000 daripada RM6,500 sebelum ini,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN